Terkini
Johnny Lim jadi Leftenan Jeneral ATM pertama berbangsa Cina

- Pemakaian pangkat disempurnakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar di Wisma Pertahanan KL pada Isnin.
- Ia menunjukkan peluang yang wujud dalam ATM adalah terbuka dan berdasarkan kecemerlangan semasa di dalam perkhidmatan.
- “Ini juga diharapkan dapat menarik minat bangsa lain untuk turut menceburkan diri dalam kerjaya keramat ini,” kata ATM dalam kenyataan.
- Johnny ikuti latihan Pegawai Kadet sebagai Tauliah Jangka Tetap Ke-25 (TJT 25) di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom pada 1986, sebelum ditauliahkan ke Rejimen Renjer Diraja (RRD).
- Kuasai bahasa Korea berdasarkan pengalaman ikuti pengajian ketenteraan di Korea Selatan dan Sepanyol.
KUALA LUMPUR — Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Datuk Johnny Lim Eng Seng melakar sejarah dengan menjadi anak berbangsa Cina pertama dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pemakaian pangkat disempurnakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar di Wisma Pertahanan di sini, pada Isnin.
ATM dalam kenyataan berkata, kenaikan pangkat itu menunjukkan peluang yang wujud dalam ATM adalah terbuka dan berdasarkan kecemerlangan semasa di dalam perkhidmatan.
“Ini juga diharapkan dapat menarik minat bangsa lain untuk turut menceburkan diri dalam kerjaya keramat ini.
“ATM seharusnya dilihat sebagai contoh terbaik konsep ‘Unity in Diversity’ (kesatuan dalam kepelbagaian) dan menjadi platform utuh di dalam erti kata perpaduan yang sebenarnya,” katanya dipetik media tempatan hari ini.
Johnny yang berasal dari Melaka mengikuti latihan Pegawai Kadet sebagai Tauliah Jangka Tetap Ke-25 (TJT 25) di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom pada 1986, sebelum ditauliahkan ke Rejimen Renjer Diraja (RRD).
Beliau merupakan graduan Australian Army Command and Staff College dan turut memiliki Ijazah Sarjana daripada University of Canberra serta Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau turut dikenali dengan kemahiran penguasaan bahasa Korea berdasarkan pengalaman mengikuti pengajian ketenteraan di Korea Selatan dan Sepanyol.
Sepanjang perkhidmatannya, Johnny pernah menyandang pelbagai perjawatan penting, termasuk sebagai Ketua Jurulatih di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Panglima 31 Briged Infantri, Inspektor Jeneral Tentera Darat dan Ketua Staf Markas Pemerintahan Medan Barat. — The Merdeka Times
