Antarabangsa
Gajah liar ‘serang’ kedai runcit cari makanan manis
- Sebuah kedai runcit di Timur Laut Thailand menerima kunjungan tidak dijangka daripada seekor gajah liar yang masuk bersahaja untuk menikmati makanan manis sebelum keluar seperti biasa.
- Video dan gambar yang tular di media sosial menunjukkan gajah tersebut berada di dalam kedai sambil mengunyah snek manis dengan bahagian kepala dan badannya bergesel dengan siling kedai.
THAILAND – Sebuah kedai runcit di Timur Laut Thailand menerima kunjungan tidak dijangka daripada seekor gajah liar yang masuk bersahaja untuk menikmati makanan manis sebelum keluar seperti biasa.
Gajah jantan tersebut, yang digelar sebagai Plai Biang Lek, cukup dikenali oleh penduduk tempatan berhampiran Taman Negara Khao Yai, kira-kira 200 kilometer dari Bangkok kerana tabiatnya yang suka meneroka kawasan penempatan manusia.
Sebelum ini, gajah itu pernah menceroboh sebuah kampung berdekatan dan “menyerang” kedai makan kecil untuk mendapatkan makanan.
Namun, kejadian pada Isnin lalu merupakan kali pertama ia memasuki sebuah kedai runcit.
Video dan gambar yang tular di media sosial menunjukkan gajah tersebut berada di dalam kedai yang sesak, sambil mengunyah snek manis dengan bahagian kepala dan badannya bergesel dengan siling kedai.
Selepas kenyang, ia berjalan keluar dengan tenang.
Pemilik kedai, yang dikenali sebagai Ploy, memberitahu media tempatan bahawa dia sedang melayan pelanggan ketika gajah itu melangkah masuk pada jam 3 petang, menyebabkan orang ramai lari menyelamatkan diri.
Dia segera menghubungi pegawai dari taman negara, yang datang dan cuba menghalau gajah itu.
Namun, gajah tersebut tidak menghiraukan tindakan itu dan terus mencari makanan, memakan snek Thai rangup manis dan telur ayam.
Pemilihan snek oleh gajah tersebut agak luar biasa, kerana kebiasaannya gajah lebih menggemari makanan masin apabila menceroboh kawasan manusia.
Kerosakan akibat kejadian itu dianggarkan bernilai 1,000 baht iaitu sekitar RM165. -The Merdeka Times