Antarabangsa
Tahan kumpulan anti-islamofobia Eropah, Kerajaan Perancis dikecam fanatik dan fasis
- Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR), organisasi hak sivil dan advokasi Muslim terbesar di Amerika Syarikat, mengecam tindakan kerajaan Perancis yang menyasarkan sebuah pertubuhan Muslim Eropah yang menentang diskriminasi anti-Muslim, Collectif Contre l’Islamophobie en Europe (CCIE), sebagai tindakan fasis dan tidak berasas yang mencerminkan Islamofobia disokong kerajaan tersebut.
- “Ini adalah cubaan untuk memberi tekanan, mendiskreditkan, dan menggambarkan aktivisme antiperkauman sebagai satu ancaman. Institusi polis digunakan untuk menyekat bentuk ekspresi yang sebenarnya dilindungi oleh prinsip undang-undang asas.” – Collectif Contre l’Islamophobie en Europe (CCIE)
- CAIR sebelum ini turut mengecam kempen kerajaan Perancis yang dianggap hipokrit dan berbahaya kerana menyasarkan komuniti Muslim Perancis, masjid-masjid dan organisasi Islam secara sistematik.
WASHINGTON – Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR), organisasi hak sivil dan advokasi Muslim terbesar di Amerika Syarikat, mengecam tindakan kerajaan Perancis yang menyasarkan sebuah pertubuhan Muslim Eropah yang menentang diskriminasi anti-Muslim, Collectif Contre l’Islamophobie en Europe (CCIE), sebagai tindakan fasis dan tidak berasas yang mencerminkan Islamofobia disokong kerajaan tersebut.
CCIE dalam sebuah kenyataan memberitahu pada Selasa lalu, 13 Mei 2025 pertubuhannya telah menjadi sasaran siasatan kerajaan negara tersebut yang mana pengasas CCIE juga turut ditahan.
“Siasatan ini tidak berasaskan sebarang kesalahan serius atau ancaman yang mendesak. Ia jelas bermotifkan politik. Tujuannya adalah untuk menjejaskan usaha akar umbi dan sokongan kepada mangsa, serta menimbulkan ketakutan terhadap inisiatif yang menentang perkauman anti-Muslim.
“Ini adalah cubaan untuk memberi tekanan, mendiskreditkan, dan menggambarkan aktivisme antiperkauman sebagai satu ancaman. Institusi polis digunakan untuk menyekat bentuk ekspresi yang sebenarnya dilindungi oleh prinsip undang-undang asas,” tegas CCIE.
Susulan tindakan itu, sebanyak 26 organisasi mengeluarkan kenyataan bersama yang menyatakan bahawa tindakan tersebut tidak layak untuk sebuah demokrasi dan mesti dihentikan.
“Serbuan ini menimbulkan banyak persoalan dan mengingatkan kita kepada kegagalan besar Austria dalam Operasi Luxor. Ketaksuban kerajaan Perancis terhadap kebebasan beragama, kebebasan bersuara dan hak sama rata bagi Muslim di negara itu mesti dihentikan,” tambah Pengarah Penyelidikan dan Advokasi CAIR, Corey Saylor.
CAIR sebelum ini turut mengecam kempen kerajaan Perancis yang dianggap hipokrit dan berbahaya kerana menyasarkan komuniti Muslim Perancis, masjid-masjid dan organisasi Islam secara sistematik.
CAIR adalah organisasi yang komited untuk melindungi hak sivil, meningkatkan pemahaman terhadap Islam, mempromosikan keadilan dan memperkasakan masyarakat Muslim di Amerika Syarikat. -The Merdeka Times