Kolumnis
Perjanjian perdagangan seharusnya tidak jejas hak petani dan kedaulatan makanan

Malaysia terlibat dalam pelbagai perbincangan perjanjian perdagangan dengan negara-negara maju seperti Kesatuan Eropah dan juga dengan Amerika Syarikat.
Tahukah anda? Pada 11 April 2025, kita telah memeterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi dengan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA), yang terdiri daripada Iceland, Liechtenstein, Norway, dan Switzerland.
Namun, rakyat Malaysia masih tidak tahu menahu berkenaan hal ini dan tiada penjelasan rasmi yang dikeluarkan. Kepentingan nasional apakah yang sedang dirundingkan secara tertutup dalam EFTA?
Tuntutan yang sering diulang-ulang dalam majoriti rundingan perdagangan dengan negara maju ialah agar Malaysia menyertai perjanjian yang kurang dikenali tetapi sangat kontroversi iaitu Akta International Union for the Protection of New Plant Varieties 1991 — atau lebih dikenali sebagai Konvensyen UPOV 1991.
Kerangka undang-undang ini telah direka di Eropah demi kepentingan pembiakbakaan tumbuhan komersial dan pertanian berskala perindustrian.
UPOV 1991 menawarkan perlindungan harta intelek yang luas kepada pembiak baka, iaitu monopoli ke atas jenis varieti tumbuhan baru yang memenuhi kriteria tertentu selama sekurang-kurangnya 20 tahun.
UPOV 1991 adalah sebuah undang-undang Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan (PVP) yang bertindak seolah-olah seperti paten terhadap tumbuhan.
Ia sangat ketat dan sangat memihak kepada pembiak baka komersial, dengan mengorbankan hak petani, kepentingan awam, serta ruang dasar untuk melaksanakan langkah-langkah yang perlu untuk melindungi kepentingan nasional.
UPOV 1991 tidak membenarkan petani untuk bebas menyimpan, berkongsi dan menjual benih tanaman yang diberikan hak pembiak baka, yang mereka tuai daripada ladang mereka sendiri.
Malaysia mahupun negara membangun lain tidak pernah dirujuk dalam merangka akta UPOV 1991. Oleh itu, ia tidak mencerminkan realiti pertanian negara membangun.
Sejak Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) wujud pada tahun 1995, negara perindustrian telah menggunakan perjanjian perdagangan untuk mendesak negara membangun mengguna pakai akta UPOV 1991.
Namun begitu, peraturan WTO tidak mewajibkan ahlinya menyertai UPOV. Negara-negara anggota WTO bebas membangunkan sistem PVP mereka sendiri yang sesuai dengan kepentingan nasional mereka.
Dalam hal ini, Malaysia telah memilih untuk menggubal Akta Perlindungan Jenis Tumbuhan Baru 2004 (PNVP 2004). Ia sebuah undang-undang tersendiri yang menyeimbangkan kepentingan petani, penyelidik, institusi awam, pembiak baka dan keperluan nasional.
PNVP 2004 adalah selari dengan deklarasi-deklarasi dan perjanjian-perjanjian yang disertai Malaysia di peringkat antarabangsa antaranya, Perjanjian Antarabangsa mengenai Sumber Genetik Tumbuhan untuk Makanan dan Pertanian (ITPGRFA), Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) dan Protokol Nagoya.
Yang penting, undang-undang kita yang sedia ada ini mengiktiraf peranan petani kecil dalam pembiakbakaan tumbuhan, termasuk hak mereka untuk menyimpan, menggunakan, berkongsi dan menjual benih yang diperolehi dari tuaian ladang mereka sendiri.
Akta ini juga merangkumi perlindungan terhadap bio-piracy dan memastikan penggunaan sumber genetik tempatan dalam pembiakbakaan tumbuhan melibatkan persetujuan komuniti tempatan dan perkongsian faedah secara adil (ABS).
Selanjutnya, ia memastikan pembiak baka tidak hanya meraih keuntungan tetapi memenuhi tanggungjawab awam seperti menyediakan benih berkualiti dalam kuantiti yang munasabah dan pada harga yang adil.
Akta ini secara jelas mengiktiraf hak kerajaan untuk menamatkan hak monopoli demi memenuhi keperluan komuniti petani dan mengekang import yang berlebihan.
Berbeza dari UPOV, sistem Malaysia adalah berkesan untuk negara membangun. Ia berjaya menarik pendaftaran dari pembiak baka tempatan dan antarabangsa. Dari perspektif jumlah pendaftaran, ia berprestasi lebih baik daripada banyak negara membangun lain yang melaksanakan UPOV 1991.
Laporan terbaru kami bertajuk “Kesan Potensi UPOV 1991 ke atas Sektor Benih, Petani dan Amalan Mereka di Malaysia” menunjukkan bahawa 33.5 peratus petani padi (dari 200 petani yang dikaji) di Kedah dan Perak menyimpan kira-kira 10-20 peratus dari hasil tuaian mereka untuk dijadikan benih.
83.58 peratus petani menyimpan benih kerana mereka percaya kualiti benih itu terjamin, kerana mereka memproses benih itu sendiri. Yang lain, menyimpan benih untuk menjimatkan kos. Petani juga bertukar dan menjual benih yang disimpan di ladang kepada rakan-rakan untuk tujuan penanaman.
Di Sabah dan Sarawak, temu bual yang dijalankan di kalangan 40 petani padi juga mendedahkan penjimatan dan pertukaran benih sebagai amalan biasa di kalangan petani yang menggunakan benih padi tradisional atau yang disubsidi kerajaan (sebahagian daripadanya dilindungi PVP).
Dalam kes yang kedua, penjimatan benih dianggap perlu kerana sering berlaku kelewatan dalam pengedaran benih padi sah oleh kerajaan.
Analisis pakar telah menunjukkan bahawa sistem perlindungan jenis tumbuhan gaya UPOV boleh menyebabkan pasaran benih yang tertumpu, peningkatan kos benih dan bahan tanaman, serta penurunan kepelbagaian biologi pertanian. Ini menimbulkan risiko yang signifikan terhadap keterjaminan makanan dan kelestarian. Secara global, kritikan terhadap UPOV 1991 semakin meningkat kerana ia jelas menjejaskan hak petani dan membatasi fleksibiliti dasar nasional.
Dalam keputusan penting pada tahun 2021, Mahkamah Agung Honduras mengisytiharkan undang-undang perlindungan jenis tumbuhan berdasarkan UPOV adalah tidak berperlembagaan dengan memetik pelanggaran kewajipan hak asasi manusia, terutamanya hak penduduknya terhadap makanan dan hak petani serta orang asli terhadap benih.
Sebuah kajian oleh kerajaan Jerman telah membuat kesimpulan bahawa UPOV 1991 tidak sesuai untuk negara membangun dan memberi amaran bahawa model tersebut tidak fleksibel dan tidak sesuai dengan sistem pertanian mereka.
Menuru kajian itu, undang-undang PVP berasaskan UPOV 91 didapati tidak merealisasikan hak petani; sebaliknya ia hanya berkesan untuk sistem pertanian negara-negara maju.
Pelapor Khas PBB mengenai Hak untuk Makanan, Michael Fakhri, juga telah menggesa negara-negara untuk menghapuskan UPOV 1991 dari teks perjanjian perdagangan sama sekali. Sebelum ini, teks perjanjian perdagangan EFTA menyenaraikan komitmen untuk menyertai UPOV 1991 sebagai satu prasyarat.
Kemudian, pada tahun 2020, pegawai EFTA telah berkata bahawa “EFTA tidak menjadikan penyertaan kepada UPOV atau kepatuhan kepada peraturannya sebagai prasyarat untuk memeterai perjanjian perdagangan bebas”.
Walau bagaimanapun, ketika berita mengenai pemeteraian perjanjian perkongsian ekonomi dengan EFTA muncul, kami cemas kerana ia dibuat secara tertutup.
Kita tidak tahu sama ada kerajaan telah secara diam-diam memperdagangkan hak petani dengan menerima UPOV 1991 sebagai prasyarat.
Sebarang perjanjian yang menjejaskan petani, kepelbagaian biologi, dan keterjaminan makanan mestilah tertakluk kepada perundingan awam dan penelitian di parlimen, bukannya di meterai oleh kementerian perdagangan antarabangsa secara senyap.
Di bawah ITPGRFA, kerajaan Malaysia harus melibatkan petani dalam pembuatan keputusan nasional berkaitan sumber genetik tumbuhan untuk makanan dan pertanian. Tiada apa-apa yang boleh ditandatangani secara tertutup. Ketelusan adalah keperluan demokrasi.
Dalam semua rundingan perdagangan, Malaysia mesti menolak UPOV 1991 dan mengekalkan hak berdaulat dan autonomi dasar kita untuk memutuskan cara terbaik melindungi sistem benih, sistem makanan, serta petani kecil kita.
Dalam berbuat demikian, kita harus berpegang teguh dalam mempertahankan sistem PVP Malaysia yang unik dan adil daripada diperdagangkan secara diam-diam. — The Merdeka Times
Koordinator, Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Nurfitri Amir Muhammad.
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
