Connect with us

Terkini

Kerajaan negeri teliti isu tanah ancam 700 anjing di 4PAWS, Teluk Bahang – Exco

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H'ng Mooi Lye
  • Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye bagaimanapun berkata buat masa ini belum ada cadangan tindakan berhubung perkara itu dan difahamkan kontrak sewaan tapak 4PAWS adalah sehingga 2030, dan mereka kini sedang berusaha mengutip dana untuk membeli tapak berkenaan.
  • H’ng berkata masa depan anjing dalam pusat perlindungan itu akan terjejas jika tiada individu yang menguruskan, malah 4PAWS secara tidak langsung membantu MBPP dalam usaha menempatkan anjing terbiar di Pulau Pinang yang telah divaksin antirabies, dimandulkan dan untuk tujuan adopsi (anjing angkat).

GEORGE TOWN — Kerajaan negeri sedang meneliti isu yang dibangkitkan Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) berkaitan masalah tanah yang mengancam masa depan Persatuan Kebajikan Haiwan Pulau Pinang (4PAWS) di Teluk Bahang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye bagaimanapun berkata buat masa ini belum ada cadangan tindakan berhubung perkara itu dan difahamkan kontrak sewaan tapak 4PAWS adalah sehingga 2030, dan mereka kini sedang berusaha mengutip dana untuk membeli tapak berkenaan.

“Pada Februari dan Mac lepas, pihak 4PAWS melalui pengurusnya Yan Naung Thet atau Murugan menghubungi pihak kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk membantu beliau yang juga warga asing melanjutkan tempoh tinggal di Malaysia supaya beliau dapat menjalankan kerja sukarela di pusat perlindungan anjing liar itu secara tetap.

“Ini adalah kerana keadaan kesihatan pengasas 4PAWS Barbara Janssen kurang baik. Semasa itu, tidak ada perbincangan mengenai isu penamatan perjanjian sewa di tapak sedia ada pusat perlindungan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau mengulas gesaan SAFM yang meminta kerajaan negeri campur tangan dan menyelesaikan krisis tanah yang mengancam masa depan pusat perlindungan 4PAWS di Teluk Bahang yang menempatkan sekitar 700 ekor anjing.

Sebelum ini, Presiden SAFM, R. Kalaivanan berkata lebih 700 ekor anjing dalam jagaan 4PAWS kini dalam risiko kehilangan tempat tinggal kerana pemilik tanah berhasrat untuk menjual hartanah itu dan memberikan tempoh sehingga akhir bulan ini bagi memutuskan sama ada boleh membeli tanah itu pada harga RM2.2 juta.

Sehubungan itu, SAFM merayu kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow agar dapat segera memperuntukkan tanah kekal bagi menjamin masa depan tempat perlindungan itu.

H’ng berkata 4PAWS adalah sebuah badan bukan kerajaan yang terletak di Teluk Bahang bagi menyediakan pusat perlindungan kepada anjing terbiar di Pulau Pinang.

Beliau berkata masa depan anjing dalam pusat perlindungan itu akan terjejas jika tiada individu yang menguruskan, malah 4PAWS secara tidak langsung membantu MBPP dalam usaha menempatkan anjing terbiar di Pulau Pinang yang telah divaksin antirabies, dimandulkan dan untuk tujuan adopsi (anjing angkat).

“4PAWS tidak berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana pendaftaran tempat perlindungan haiwan itu adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Lembaga Kebajikan Haiwan,” katanya.– BERNAMA

Author