Connect with us

Terkini

Beri lesen pengilangan nikotin: Kerajaan jangan ‘kambing hitamkan’ dasar kesihatan negara untuk pelaburan asing

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Ketua Lajnah Kesihatan Pemuda PAS Terengganu, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi
  • Itu peringatan Ketua Lajnah Kesihatan Pemuda PAS Terengganu, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi susulan sebuah syarikat e-rokok dan vape ganja yang berpangkalan di California, Ispire Technology Inc  – dilapor memperoleh lesen pengilangan nikotin sementara pertama di Malaysia.
  • Beliau turut mempersoalkan apa gunanya pihak terbabit bersusah-payah menyekat vape di sekolah, melabur dalam kempen kesedaran, jika mereka sendiri juga meluluskan kilang pengeluaran nikotin kepada syarikat luar yang mempunyai rekod berkaitan vape ganja.
  • “Siapakah yang menilai risiko kesihatan awam sebelum lesen ini diluluskan? Mengapa tiada pengumuman rasmi dan perbahasan awam berkenaan pemberian lesen kepada syarikat yang terlibat dalam industri peranti vape ganja?” – Dr Fakhruddin.

KUALA LUMPUR — Ketua Lajnah Kesihatan Pemuda PAS Terengganu mengingatkan kerajaan agar tidak menjadikan dasar kesihatan awam sebagai ‘kambing hitam’ kepada pelaburan asing bersifat jangka pendek.

Peringatan itu disuarakan Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi susulan sebuah syarikat e-rokok dan vape ganja yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat, Ispire Technology Inc  – dilapor memperoleh lesen pengilangan nikotin sementara pertama di Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura itu turut mempersoalkan apa gunanya pihak terbabit bersusah-payah menyekat vape di sekolah, melabur dalam kempen kesedaran, jika mereka sendiri juga meluluskan kilang pengeluaran nikotin kepada syarikat luar yang mempunyai rekod berkaitan vape ganja.

Dr Fakhruddin berkata lagi pemberian lesen itu amat membimbangkan atas beberapa asas yang nyata dan tidak boleh disangkal, termasuk ia dilihat bercanggah semangat kawalan penggunaan nikotin dan vape.

“Pada saat negara sedang berdepan krisis penggunaan vape yang menular dalam kalangan remaja sekolah dan belia, keputusan memberi lesen kepada pengilang nikotin berskala besar seperti Ispire menunjukkan kegagalan dasar kesihatan awam.

“Ironinya, syarikat ini juga terkenal dalam industri peranti vape ganja, sekali gus membuka ruang kebimbangan terhadap kemungkinan peralihan budaya ketagihan lebih parah,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Dr Fakhruddin juga melihat pemberian lesen itu sebagai membuka ruang kepada pengeluaran besar-besaran nikotin tanpa kawalan ketat yang disifatkan satu bentuk penggadaian kesihatan awam.

“Kita sedang berusaha membendung ketagihan nikotin di sekolah, tetapi dalam masa sama membenarkan pengilang asing melabur secara besar-besaran dalam industri yang sama? Ini bukan pembangunan, ini pembiaran!”tegasnya yang turut membangkitkan tentang ‘ketidakkonsistenan’ dasar antara negeri dan Persekutuan dalam hal ini.

Ini kerana, katanya fasiliti pengilangan Ispire dilapor bertempat di Senai, Johor iaitu negeri yang sejak 2016 telah mengharamkan penjualan vape.

Situasi ini sekali gus menimbulkan tanda tanya dipihaknya tentang adakah ia tidak memperlihatkan ketidaksepadanan dasar antara kerajaan negeri dan persekutuan, serta bagaimana kita boleh mempromosikan pengilangan sesuatu yang tidak dibenarkan dijual di lokasi sama.

“Siapakah yang menilai risiko kesihatan awam sebelum lesen ini diluluskan? Mengapa tiada pengumuman rasmi dan perbahasan awam berkenaan pemberian lesen kepada syarikat yang terlibat dalam industri peranti vape ganja?

“Saya menyeru agar Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi berkaitan menilai semula kelulusan lesen ini secara telus, dengan mengambil kira kesan jangka panjang kepada masyarakat, khususnya anak muda.

“Kita tidak menolak pelaburan asing, tetapi jangan sampai membuka pintu kepada ketagihan baru demi keuntungan korporat,” kata Dr Fakhruddin. — The Merdeka Times

Author