Terkini
Isu kuil: Pemilik tanah, Allahyarham Pengasas Jakel wakafkan untuk bina masjid

- Itu penjelasan Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel Trading Sdn Bhd, Aiman Dazuki susulan isu rancangan pemindahan sebuah kuil Hindu bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid di kawasan berkenaan.
- Tanah lot 328 itu adalah sepenuhnya milik Jakel Trading Sdn Bhd, dan perbincangan mengenai pemerolehan atau pembeliannya telah bermula sejak 2009 lagi.
- “Ini susulan dari hasrat Allahyarham pengasas Jakel iaitu Allahyarham Mohamed Jakel bin Ahmad berkenaan hasratnya mewakafkan tanah tersebut untuk pembinaan masjid bagi menampung keperluan komuniti di sana.
- “Hasrat ini juga adalah sebagai satu simbolik kepada usaha dan contribution kakitangan Jakel seramai 6,000 orang.” – Aiman
KUALA LUMPUR — Pengasas Jakel iaitu Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad telah mewakafkan tanah di Jalan Masjid India di sini untuk dibina sebuah masjid bagi menampung keperluan komuniti sekitar kawasan itu.
Itu penjelasan Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel Trading Sdn Bhd, Aiman Dazuki susulan isu rancangan pemindahan sebuah kuil Hindu bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid di kawasan berkenaan.
Menurut Aiman, tanah lot 328 itu adalah sepenuhnya milik Jakel Trading Sdn Bhd, dan perbincangan mengenai pemerolehan atau pembeliannya telah bermula sejak 2009 lagi.
“Ini susulan dari hasrat Allahyarham pengasas Jakel iaitu Allahyarham Mohamed Jakel bin Ahmad berkenaan hasratnya mewakafkan tanah tersebut untuk pembinaan masjid bagi menampung keperluan komuniti di sana.
“Hasrat ini juga adalah sebagai satu simbolik kepada usaha dan contribution kakitangan Jakel seramai 6,000 orang.
“Kemudian pada 2012, surat offer telah ditandatangani dan Jakel adalah pemilik sah (lot berkenaan) pada masa ini,” kata Aiman menerusi sebuah video sidang media yang dimuat naik di Youtube Astro AWANI di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan dan kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) akan mengadakan sidang media berhubung rancangan perobohan sebuah kuil Hindu yang bersejarah bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid.
Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, terletak di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, dilaporkan berusia 130 tahun – iaitu sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.
Menurut LFL, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan kebenaran merancang kepada sebuah syarikat swasta untuk membina masjid di tapak kuil itu.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif hari ini dilaporkan berkata DBKL berperanan menjadi pemudah cara dalam memastikan urusan perpindahan kuil terbabit yang terletak di atas tanah swasta ke lokasi baharu diselesaikan dengan baik.
Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti lokasi baharu kuil berkenaan dan proses pemindahan akan dilakukan secara telus dan adil, membabitkan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar. — The Merdeka Times
