Agama
Isteri boleh tuntut cerai jika suami jalin hubungan songsang – Mufti Pulau Pinang

- Islam beri hak kepada isteri untuk tuntut cerai secara fasakh jika suami terlibat hubungan songsang, termasuk biseksual.
- Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman berkata isteri juga boleh mendapatkan sokongan mahkamah syariah untuk melindungi haknya.
- Tindakan suami jalin hubungan songsang meskipun telah berkahwin satu pengkhianatan terhadap amanah perkahwinan.
- Ia juga satu kezaliman terhadap isteri dan anak-anak.
- “Jika perbuatan itu mengakibatkan penyebaran penyakit atau membahayakan kesihatan pasangan, ia menjadi dosa berganda kerana merosakkan kesejahteraan insan lain,” katanya kepada The Merdeka Times malam tadi.
KUALA LUMPUR — Jika isteri mengetahui suaminya terlibat hubungan songsang, termasuk biseksual hingga menyebabkan mudarat, Islam memberikan hak kepada isteri untuk melakukan tuntutan cerai secara fasakh (pembubaran perkahwinan) demi melindungi diri dan anak-anak.
Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman berkata dalam hal ini isteri juga boleh mendapatkan sokongan mahkamah syariah untuk melindungi haknya.
Mohd Sukki menegaskan tindakan individu masih terlibat hubungan songsang meskipun telah berkahwin adalah pengkhianatan terhadap amanah perkahwinan.
Ia juga satu kezaliman terhadap isteri dan anak-anak yang tidak bersalah tetapi terpaksa menanggung akibat tindakan itu.
“Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh ada kemudaratan dan tidak boleh memudaratkan,” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibn Majah).
“Jika perbuatan itu mengakibatkan penyebaran penyakit atau membahayakan kesihatan pasangan, ia menjadi dosa berganda kerana merosakkan kesejahteraan insan lain. Tindakan ini harus dihentikan dan diatasi dengan segera.
“… Jika isteri mengetahui suaminya terlibat dengan hubungan songsang hingga menyebabkan mudarat, Islam memberikan hak kepada isteri untuk memohon fasakh (pembubaran perkahwinan) demi melindungi diri dan anak-anak.
“Isteri juga boleh mendapatkan sokongan daripada mahkamah syariah untuk melindungi hak-haknya,” katanya kepada The Merdeka Times di sini malam tadi.
Beliau mengulas berkenaan tindakan seorang biseksual yang masih terlibat hubungan songsang hingga memudaratkan isteri dan anaknya dengan penyakit dialami akibat hubungan sejenis dan apakah bentuk penyelesaian buat si isteri jika mempunyai pasangan seperti itu.
Sebelum ini, seorang bekas guru yang juga pempengaruh media sosial, Mohd Fadli Salleh dilaporkan mengingatkan semua masyarakat supaya menjaga keluarga dan orang terdekat daripada kelompok biseksual yang menjadi ‘pengacau’ dalam hubungan rumah tangga.
Mohd Fadli berkata ramai kelompok biseksual ini sudah mempunyai isteri dan anak, namun menjalinkan hubungan songsang hingga mendapat penyakit yang akhirnya menyebabkan isteri dan anak turut terkesan dengan penyebaran penyakit (seksual).
Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata dalam Islam orientasi seksual dan perilaku songsang seperti hubungan sejenis adalah sesuatu yang jelas dilarang oleh syarak.— The Merdeka Times
