Connect with us

Terkini

Hari pertama Karnival Haji/Umrah anjuran LTH-BUMITRA MALAYSIA sesak dengan pengunjung

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Hari pembukaan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-3 (KHUP3) yang berlangsung selama tiga hari di Movenpick Hotel & Convention Centre
  • Hari pembukaan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-3 (KHUP3) yang berlangsung selama tiga hari di Movenpick Hotel & Convention Centre di sini mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengunjung dan bakal jemaah haji.
  • Tinjauan The Merdeka Times (TMT) di karnival anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama BUMITRA MALAYSIA itu mendapati kebanyakan reruai (booth) 37 agensi Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang ‘berkampung’ di karnival itu sesak dengan kehadiran pengunjung dan bakal haji yang meninjau harga atau perkhidmatan ditawarkan agensi, dengan majoritinya menawarkan harga berpatutan dan menjamin keselesaan jemaah.
  • Ustaz Fizal Zulkhairi Kamarul Zaman yang syarikatnya sudah tiga kali mengikuti karnival itu berkata sambutan diterima kali ini jauh lebih menarik dan sangat luar biasa berbanding sambutan di karnival dianjurkan kali pertama dan kedua sebelum ini, termasuk dari segi kedatangan pengunjung dan persediaan booth susulan penglibatan 37 PJH berlesen.
  • Menurut Ustaz Fizal di booth syarikatnya sendiri setakat jam 4 petang ini mereka sudah dikunjungi lebih 700 pengunjung dan bakal haji.

SEPANG — Hari pembukaan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-3 (KHUP3) yang berlangsung selama tiga hari di Movenpick Hotel & Convention Centre di sini mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengunjung dan bakal jemaah haji.

Tinjauan The Merdeka Times (TMT) di karnival anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama BUMITRA MALAYSIA itu mendapati kebanyakan reruai (booth) 37 agensi Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang ‘berkampung’ di karnival itu sesak dengan kehadiran pengunjung dan bakal haji yang meninjau harga atau perkhidmatan ditawarkan agensi, dengan majoritinya menawarkan harga berpatutan dan menjamin keselesaan jemaah.

Don Daniyal Don Biyajid yang lebih dikenali sebagai Ustaz Don berkata ini kali pertama pihaknya menerima lesen kelayakan daripada TH dan sambutan pengunjung sangat baik serta ramai.

Don Daniyal berkata berdasarkan pemerhatiannya tawaran pakej haji ditawarkan syarikatnya adalah antara yang paling murah iaitu RM43,990.

Dari segi tawaran kita, so far berdasarkan pemerhatian saya dalam brochure dan juga dalam dewan semua ni, kami antara yang paling murah iaitu RM43,990 dan kalau P1 (jemaah haji terpilih awal), kita diskaun lagi RM1,500 membuatkan dia jadi RM42,490. 

“…Kalau mai sini, kita ada banyak tawaran, terutamanya kami boleh membantu jemaah rayuan yang telah mendaftar haji daripada tahun 2021 ke bawah… 2021, 2020, 2019 dan sebagainya untuk kami menaikkan nama mereka bersama dengan kami jadi, kalau mereka main sini, banyak benda yang kita boleh berbincang. Jadi, jemput mai,” katanya ketika ditemui TMT di karnival berkenaan hari ini.

Ustaz Fizal Zulkhairi Kamarul Zaman yang syarikatnya sudah tiga kali mengikuti karnival itu berkata sambutan diterima kali ini jauh lebih menarik dan sangat luar biasa berbanding sambutan di karnival dianjurkan kali pertama dan kedua sebelum ini, termasuk dari segi kedatangan pengunjung dan persediaan booth susulan penglibatan 37 PJH berlesen.

Menurut Ustaz Fizal di booth syarikatnya sendiri setakat jam 4 petang ini mereka sudah dikunjungi lebih 700 pengunjung dan bakal haji.

“Tahun lepas, 25 syarikat (PJH) sahaja dan kali ni 37 syarikat memang kita akan nampak sesuatu yang sangat luar biasa dari segi kedatangan jemaahnya kemudian dari segi persediaan booth yang dibenarkan kalau dulu sebelum ni berada di dalam dewan kali ini sampai luar dewan pun dibenarkan untuk dibuat booth tu makna dia sangat meriah kali ini,” katanya yang memberitahu bahawa syarikatnya sudah tiga kali mengikuti karnival ini sebagai PJH berlesen di bawah TH.

Sementara itu, Abu Talib Husin berkata sebelum ini beliau pernah mengunjungi karnival berkenaan sebagai pengunjung dan kali ini buat pertama kali syarikatnya diberikan mandat menjadi PJH di bawah Tabung Haji di mana kebanyakan ‘senior’ agensi pelancongan memaklumkan karnival itu sememangnya akan menerima kunjungan ramai orang.

Saya jangkakan hari Sabtu dan Ahad adalah hari kemuncak dan saya berharap jemaah dapat pilih yang terbaik sebab paling penting adalah dapatkan maklumat (terlebih dahulu) sebab syarikat-syarikat yang dalam PJH, yang ada 37 syarikat semua dipantau oleh Tabung Haji… Pilihlah mana-mana. 

“Semuanya InsyaAllah yang terbaik… Harga berpatutan, penuh keselesaan dan dipantau oleh Tabung Haji yang paling penting sebab jemaah kat luar sana, dia kadang-kadang tak dapat maklumat yang betul.

“….Kalau nak katakan kelebihan kepada pakej kita pada mereka yang pilih syarikat kami, kita ada diskaun sehingga RM3,000 yang pertama.. Kita ada sediakan rebate RM1,000 tunai buat mereka-mereka jemaah haji terpilih dan kita juga tawarkan hotel-hotel seperti Elaf Al-Mashaer 430 meter saja daripada Masjid al-Haram,” katanya yang turut memberitahu bahawa syarikatnya mempunyai pengalaman 20 tahun dalam industri umrah.

Datuk Mohd Idzham Mohd Isa yang syarikatnya turut kali pertama mengikuti karnival itu juga meluahkan rasa syukur apabila sambutan diterima, khususnya booth syarikatnya sangat menggalakkan.

Foto: Pengunjung karnival mencuba VR secara percuma untuk menonton sirah Nabi.

Mohd Idzham berkata antara istimewanya di karnival itu, pengunjung yang singgah ke booth syarikatnya berpeluang menonton sirah Nabi menerusi Virtual Reality (VR) secara percuma.

“Alhamdulillah, ramai yang datang, kita tengok kat belakang tu, tempat pendaftaran tu, tengah kelam kabut untuk key in (maklumat) jemaah sebab apa semuanya kena key in dalam sistem… ada yang dah daftar sebagai jemaah terpilih, sebagai rayuan pun ada,” katanya.

Karnival yang berlangsung sejak jam 8 pagi itu turut mengadakan pelbagai aktiviti menarik seperti simulasi haji cilik, program bual bicara haji, podcast, persembahan kumpulan nasyid UNIC, cabutan bertuah, pertandingan mewarna kanak-kanak 12 tahun dan ke bawah serta banyak lagi aktiviti lain di samping pameran interaktif di KHUP3.

Foto: Simulasi Haji Cilik

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut hadir merasmikan pelancaran KHUP3 pada sebelah petang.

Mohd Na’im berkata karnival PJH itu merupakan platform terbaik dalam memupuk pemahaman dan kesedaran berkaitan pengurusan dan perkhidmatan pakej haji kepada bakal-bakal jemaah haji.

“Dalam usaha memberikan perkhidmatan kepada pelbagai lapisan masyarakat dengan nilai pakej tertentu, syarikat PJH juga disyaratkan untuk menawarkan pakej haji ekonomi yang berharga di bawah RM55 ribu untuk memberi pilihan kepada bakal jemaah haji mendapatkan perkhidmatan pakej haji.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua PJH yang telah menyahut cabaran ini dan menawarkan harga pakej di bawah RM55 ribu,” katanya ketika melancarkan karnival itu di sini hari ini. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *