Antarabangsa
China penjara wanita Uyghur ajar anak Quran, PBB didesak bertindak – CAIR

- CAIR kutuk tindakan memenjara seorang wanita Islam Uyghur kerana mengajar anak dan jiran mengaji.
- Wanita berkenaan dikenali sebagai Seylihan Rozi, 49 tahun.
- CAIR turut desak PBB pertahan hak beragama di China.
WASHINGTON — Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) mengutuk laporan mengenai pemenjaraan 17 tahun terhadap seorang wanita Islam Uyghur di China kerana mengajar anak-anak dan seorang jirannya Al-Quran.
Seylihan Rozi, 49, dilaporkan dihukum kerana menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan yang tidak dibenarkan iaitu mengajar Al-Quran.
CAIR yang berpangkalan di Washington, D.C. turut mendesak PBB agar bertindak mempertahankan hak beragama di China.
Dalam satu kenyataan CAIR berkata, ia mengutuk penangkapan dan pemenjaraan seorang wanita yang cuma mahu mengamalkan hak asasi beliau untuk beragama yang sepatutnya boleh diamalkan sesiapa sahaja.
“Kami mendesak PBB untuk mengutuk tindakan yang tidak adil kerajaan China serta mengambil tindakan terhadap sesiapa yang hak mereka dicabuli oleh kerajaan diktator,” kata kenyataan tersebut.
Misi CAIR adalah melindungi hak-hak asasi manusia selain mempertingkatkan pemahaman terhadap Islam, memperjuangkan keadilan serta memperkasakan warga Islam Amerika Syarikat. – The Merdeka Times
