Antarabangsa
(VIDEO) Kongres terus dana zionis ketika veteran AS bunuh diri sebab bajet dipotong
KUALA LUMPUR – “Kamu, selaku Kongres, bersubahat dengan genosid (pembunuhan beramai-ramai rejim Israel ke atas rakyat Palestin) di Gaza.
“Kamu tetap menghantar berbilion dolar ke Israel. Sementara itu, veteran tiada rumah dan membunuh diri, dengan lebih banyak pemotongan bajet bakal dilakukan,” kata veteran tentera Amerika Syarikat (AS), Kapten Josephine Guilbeau.
Guilbeau, yang lengkap beruniform tentera, menyuarakan bantahan ketika sesi pendengaran Kongres mengenai hal ehwal veteran pada Rabu yang disiarkan dalam video Al Jazeera Plus di Instagram, hari ini.
Bekas pegawai risikan tentera itu ternyata tidak berpuas hati dengan tindakan Kongres yang terus meluluskan dana untuk Israel melakukan perang genosid di Gaza.
“Sebagai veteran selama 17 tahun dan pegawai risikan, saya menyaksikan kamu (Kongres) memusnahkan nilai Amerika dan membahayakan keselamatan nasional,” kata Guilbeau.
Dua kali veteran wanita itu berteriak, “Israel membakar kanak-kanak hidup-hidup (di Gaza)”.
“Selama setahun saya telah melihat Israel bakar kanak-kanak hidup-hidup.
“Kamu (Kongres) tidak peduli tentang veteran. Kamu tidak peduli nilai Amerika. Kamu memusnahkan negara ini. Shame on all of you!,” kata Guilbeau dalam nada marah dan kecewa.
Veteran wanita itu kemudiannya dilihat melaungkan “moga Tuhan beri kamu keberanian moral untuk buat perkara betul,” sebelum kedengaran suara dipercayai ahli kongres meminta Guilbeau dikeluarkan.
“Shame on you!,” laung Guilbeau ketika diheret keluar dari sesi pendengaran Kongres. – The Merdeka Times