Connect with us

Terkini

Percepatkan Dana Kesihatan Negara, tangani kenaikan insurans & takaful

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Lampiran Kenyataan Media Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan pada Rabu

KUALA LUMPUR — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa percepatkan usaha untuk menubuhkan ‘Dana Kesihatan Negara’ bagi memastikan pembiayaan kesihatan rakyat yang lebih terjaga.

Perkara itu dinyatakan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan susulan isu kenaikan mendadak harga insurans dan takaful dari tahun ke tahun.

Pengerusi JKPK, Suhaizan Kaiat berkata pihaknya memandang serius tentang perkara itu kerana ia memberi kesan langsung kepada rakyat dalam mendapatkan perlindungan kesihatan yang mencukupi.

“Situasi ini turut membangkitkan kebimbangan terhadap kemampuan masyarakat untuk mengakses rawatan perubatan berkualiti pada kos yang berpatutan,

“Sekaligus menimbulkan cabaran kepada sistem kesihatan negara untuk terus menyediakan perkhidmatan yang mampan dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Lampiran Kenyataan Media Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan pada Rabu

JKPK memaklumkan pihaknya akan terus memberi komitmen penuh untuk membantu kerajaan dalam memperkukuhkan sistem kesihatan negara menerusi sesi libat urus yang telah diadakan pada Selasa lalu.

Suhaizan berkata JKPK turut mengesyorkan beberapa solusi lain bagi mendepani isu kenaikan harga insurans tersebut dengan menyarankan kerajaan untuk meneliti semula dasar sedia dengan memperkenal pendekatan pilihan bayaran ‘Co-payment’.

Katanya, kos rawatan dapat dikongsikan antara penanggung insurans dan pengendali takaful atau ‘Insurer and Takaful Operator (ITO) bersama pemegang polisi dan peserta takaful.

“Pendekatan ini diharap dapat mengurangkan tekanan terhadap kewangan dan memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan,

“Ini juga memberikan pilihan kepada pemegang polisi dan peserta takaful untuk menentukan tahap  perkhidmatan yang sesuai dengan kemampuan mereka,” katanya.

Untuk syor kedua, kerajaan juga dinasihatkan merangka mekanisme yang lebih menyeluruh dalam mengawal harga perkhidmatan kesihatan.

“Langkah ini bertujuan untuk memastikan struktur harga yang lebih telus dan adil, sekali gus mengelakkan beban kewangan yang tidak wajar kepada pesakit,” katanya.

Beliau berkata, mekanisma itu merangkumi pemantauan berterusan terhadap kos ubat-ubatan, rawatan dan prosedur perubatan.

Bagi syor ketiga, kementerian disarankan mempercepatkan pelaksanaan Diagnosis Related Groups (DRG) bagi mengklasifikasikan rawatan pesakit berdasarkan diagnosis dan prosedur diberikan.

“KKM perlu memperhebatkan usaha menjalin hubungan strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan melalui inisiatif “Rakan KKM.

“Program ini bertujuan menggalakkan penglibatan aktif sektor swasta, NGO, komuniti dan individu dalam menyokong transformasi kesihatan negara,”

Antara syor yang lain adalah kerajaan perlu merancang pelaksanaaan kenaikan harga secara berperingkat terhadap perkhidmatan kesihatan bagi memenuhi keperluan kesihatan yang semakin kompleks.

“Langkah ini termasuklah penambahan kapasiti hospital, peningkatan tenaga kerja kesihatan dan penyediaan infrastruktur serta teknologi perubatan yang lebih moden.

“JKPK Kesihatan yakin bahawa syor-syor ini mampu menangani cabaran kesihatan semasa dan akan datang.

“Usaha ini bukan sekadar meningkatkan keberkesanan perkhidmatan, tetapi juga menjadikannya lebih inklusif, mesra pengguna dan mampan,” kata Suhaizan. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *