Terkini
Jenazah bayi ‘dibeku’ 2 minggu: Hospital swasta disiasat – KKM
- Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) telah memulakan siasatan berhubung dakwaan hospital swasta menahan selama dua minggu jenazah bayi hanya kerana ibu bapa gagal menjelaskan bil hospital.
- Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menasihati semua pihak bertenang memandangkan pihak berkenaan sudah pun dikerahkan untuk menjalankan siasatan.
- “Jadi saya akan menantikan dengan sabar untuk mendapatkan dapatan penuh daripada semua pihak berwajib yang sedang menjalankan siasatan termasuk pihak kami, CKAPS yang telah turun mendekati beberapa pihak terbabit.
- “Jadi saya mahu semua dalam kalangan kita untuk bersikap penuh ihsan, belas kasihan dan menjaga empati kita,” katanya dipetik media tempatan pada sidang media di Dewan Rakyat semalam.
KUALA LUMPUR — Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) telah memulakan siasatan berhubung dakwaan hospital swasta menahan selama dua minggu jenazah bayi hanya kerana ibu bapa gagal menjelaskan bil hospital.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menasihati semua pihak bertenang memandangkan pihak berkenaan sudah pun dikerahkan untuk menjalankan siasatan.
“Jadi saya akan menantikan dengan sabar untuk mendapatkan dapatan penuh daripada semua pihak berwajib yang sedang menjalankan siasatan termasuk pihak kami, CKAPS yang telah turun mendekati beberapa pihak terbabit.
“Jadi saya mahu semua dalam kalangan kita untuk bersikap penuh ihsan, belas kasihan dan menjaga empati kita,” katanya dipetik media tempatan pada sidang media di Dewan Rakyat di sini semalam.
Terdahulu, sebuah hospital swasta didakwa menahan dan menyimpan jenazah seorang bayi lelaki di dalam peti sejuk mayat selama dua minggu kerana bapa kepada bayi berkenaan belum berupaya membayar kos rawatan di situ.
Menyifatkan perbuatan itu sebagai kejam, Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official mendakwa bayi lelaki itu turut dihina apabila dilahirkan dengan satu mata, tiada hidung dan tiada lubang dubur.
Dr Dzulkefly turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga terbabit dan berharap semua pihak tidak menyebar cerita yang belum dipastikan kesahihannya.
“Bukan perkara mudah kerana ada dakwaan di sana sini. Jadi saya percaya kita semua boleh bersabar untuk mendapatkan fakta yang sebenarnya sebelum kita membuat apa-apa andaian yang kita kesal kemudian,” katanya.— The Merdeka Times