Antarabangsa
(VIDEO) Dera tahanan Palestin hingga tidak boleh berjalan, 9 tentera Israel ditahan
Puluhan penunjuk perasaan, termasuk Ahli Parlimen sayap kanan Israel, bertempur dengan polis tentera Israel selepas sekurang-kurangnya sembilan askar ditahan berikutan penganiayaan serius seorang tahanan warga Palestin, lapor Al Jazeera.

Puluhan penunjuk perasaan, termasuk Ahli Parlimen sayap kanan Israel, bertempur dengan polis tentera Israel selepas sekurang-kurangnya sembilan askar ditahan berikutan penganiayaan serius seorang tahanan warga Palestin, lapor Al Jazeera.
Penahanan dan soal siasat mereka dilakukan di pusat tahanan Sde Teiman di selatan Israel.
Penunjuk perasaan mengibarkan bendera Israel dan menyerbu pintu pagar pusat tahanan itu pada Isnin untuk menghalang penahanan askar tersebut sambil melaungkan perkataan “malu”.
Penunjuk perasaan terbabit bertindak mempertahankan askar-askar itu dengan mengatakan mereka menjalankan tugas dan menurut laporan media, orang awam Israel dilaporkan bergegas memberi sokongan kepada askar-askar di situ.
Akhbar Haaretz memetik seorang askar sebagai berkata, beberapa anggota tentera mengarahkan semburan lada (pepper spray) kepada polis tentera yang datang untuk menahan askar-askar itu.
Menurut media tempatan, penunjuk perasaan juga cuba merempuh pangkalan tentera Beit Lid yang merupakan lokasi askar-askar itu dibawa.
Tentera Israel pada Isnin berkata mereka menahan sembilan askar untuk disoal siasat selepas dakwaan penganiayaan terhadap seorang tahanan Palestin di pusat tahanan Sde Teiman.
Tentera tidak mendedahkan butiran lanjutan mengenai penganiayaan itu tetapi hanya menyatakan pegawai undang-undang tertinggi mereka telah melancarkan penyiasatan.
Media Israel melaporkan seorang tahanan Palestin dibawa ke hospital selepas mengalami kecederaan parah dengan maklumat lanjut bahawa dia tidak boleh berjalan. – The Merdeka Times
View this post on Instagram
