Connect with us

Terkini

Majlis Profesor Negara salah guna dana – Laporan Ketua Audit Negara

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 2/2024 hari ini mendedahkan Majlis Profesor Negara (MPN) menyalahgunakan pembiayaan kewangannya.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto : Gambar sekadar hiasan.
  • Menurut LKAN siri 2/2024, MPN sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan dikawal selia JPM, didapati membiayai operasi dua syarikat persendirian RM373,516.
  • Ia juga dilaporkan mewujudkan konflik kepentingan apabila dua ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) tidak isytiharkan kepentingannya sebagai pemilik saham kepada dua syarikat itu, selaras Akta 777 (Akta Syarikat 2016).
  • MPN didapati membayar elaun RM207,000 kepada pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.
  • LKAN syorkan JPM kaji semula status MPN sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan dan status MPN perlu diputuskan sebelum dipertimbangkan sama ada penyaluran peruntukan geran wajar diteruskan atau sebaliknya.

KUALA LUMPUR — Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 2/2024 hari ini mendedahkan Majlis Profesor Negara (MPN) menyalahgunakan pembiayaan kewangannya.

Menurut laporan itu, MPN sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) yang dikawal selia Jabatan Perdana Menteri (JPM), didapati membiayai operasi dua syarikat persendirian berjumlah RM373,516.

Malah, ia dilaporkan mewujudkan konflik kepentingan apabila dua ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) tidak mengisytiharkan kepentingannya sebagai pemilik saham kepada dua syarikat terbabit, selaras Akta 777 (Akta Syarikat 2016).

MPN juga didapati membayar elaun besar RM207,000 kepada pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.

Pembayaran juga dibuat tanpa kelulusan LPA iaitu membabitkan ‘Honorarium’ felo penyelidik berjumlah RM399,000; pemasangan lif dan pengubahsuaian pejabat RM82,500; penyelarasan gaji pengurusan tertinggi RM62,500 dan pembayaran elaun tetap Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif RM66,000.

LKAN turut menemui pengurusan geran yang tidak cekap membabitkan pengiktirafan geran tertunda sebagai hasil RM2.43 juta tanpa dokumen sokongan, sebanyak RM0.92 juta dibelanjakan tidak mengikut tujuan geran diluluskan dan RM475,000 peruntukan tidak digunakan. 

Pembayaran kad kredit korporat RM98,076 dan wang pendahuluan RM20,000 turut dibuat tanpa dokumen sokongan.

Seksyen 212 dibaca bersama Jadual Ketiga perenggan 24 Akta 777 menetapkan saraan, gaji dan komisen Pengarah Urusan tertakluk kepada terma ditentukan Lembaga Pengarah. 

Manual Skim Perkhidmatan MPN diluluskan pada 26 Julai 2022 menetapkan skala gaji bagi jawatan kumpulan pengurusan tertinggi ditentukan ahli LPA.

Semakan Audit mendapati penetapan kadar kenaikan gaji tahunan pengurusan tertinggi tidak diluluskan ahli LPA dan jadual penyelarasan gaji tahun 2022 serta 2023 hanya diluluskan Presiden/KPE dan diperakui Pengerusi MPN. Penyelarasan gaji itu melibatkan kenaikan gaji tahunan 10 peratus daripada gaji pokok pengurusan tertinggi.

Bagi tempoh April 2022 hingga Januari 2024, RM62,500 dibayar kepada Presiden/KPE dan Ketua Pegawai Operasi tanpa kelulusan LPA di mana masing-masing RM46,000 dan RM16,500.

Menurut laporan itu, pindaan Artikel Pertubuhan pada 2019 mengakibatkan objektif MPN tidak lagi selari matlamat asal penubuhannya dan kerajaan tiada kawalan terhadap MPN.

Justeru, LKAN mengesyorkan JPM mengkaji semula status MPN sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan dan status MPN perlu diputuskan sebelum dipertimbangkan sama ada penyaluran peruntukan geran wajar diteruskan atau sebaliknya.

Sekiranya MPN kekal sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan, MPN perlu meminda Artikel Pertubuhan dengan memasukkan wakil kerajaan dalam LPA untuk memantau operasi dan kewangan MPN.

JPM perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan MPN bagi ketakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk agensi penguatkuasaan berkaitan dan pengurusan MPN perlu dirombak secara menyeluruh.

Berdasarkan fakta audit dikemukakan LKAN, MPN tidak pernah diaudit Jabatan Audit Negara sejak diperbadankan pada 2014. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *