Terkini
Mahkamah tetapkan 24 Okt dengar permohonan pengarah, penerbit filem Mentega Terbang
Permohonan pengarah dan penerbit filem bertajuk ‘Mentega Terbang’ untuk merujuk persoalan perlembagaan terhadap pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain melalui filem itu, akan didengar Mahkamah Tinggi di sini pada 24 Okt.
- Permohonan pengarah dan penerbit filem bertajuk ‘Mentega Terbang’ untuk merujuk persoalan perlembagaan terhadap pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain melalui filem itu, akan didengar Mahkamah Tinggi di sini pada 24 Okt.
- Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh itu pada sebutan kes hari ini, yang turut dihadiri pengarah dan penerbit filem berkenaan, Mohd Khairi Anwar Jailani dan Tan Meng Kheng.
- Dua persoalan dikemukakan adalah bagi menentukan sama ada Seksyen 298 Kanun Keseksaan melanggar Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan bersuara dan sama ada frasa ‘melukakan perasaan agama seseorang’, sebab unsur dalam kesalahan seksyen berkenaan melanggar hak untuk perbicaraan adil kerana frasa itu tidak jelas dan demikian melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
- Pada 17 Jan lalu, Mohd Khairi Anwar, 32, yang juga seorang penulis skrip dan Tan, 36, didakwa melukakan perasaan agama orang lain melalui filem itu dengan cara melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan orang di sebuah premis di Jalan Semarak Api di sini pada 12.34 tengah hari, 26 Feb 2023.
KUALA LUMPUR — Permohonan pengarah dan penerbit filem bertajuk ‘Mentega Terbang’ untuk merujuk persoalan perlembagaan terhadap pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain melalui filem itu, akan didengar Mahkamah Tinggi di sini pada 24 Okt.
Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh itu pada sebutan kes hari ini, yang turut dihadiri pengarah dan penerbit filem berkenaan, Mohd Khairi Anwar Jailani dan Tan Meng Kheng.
Kedua-dua mereka diwakili peguam Zaid Malek manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.
Dua persoalan yang dikemukakan adalah bagi menentukan sama ada Seksyen 298 Kanun Keseksaan melanggar Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan bersuara dan sama ada frasa ‘melukakan perasaan agama seseorang’, sebab unsur dalam kesalahan seksyen berkenaan melanggar hak untuk perbicaraan adil kerana frasa itu tidak jelas dan demikian melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
Pada 14 Jun lepas, Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim membenarkan permohonan pengarah dan penerbit filem berkenaan untuk merujuk persoalan perlembagaan itu ke Mahkamah Tinggi.
Pada 17 Jan lepas, Mohd Khairi Anwar, 32, yang juga seorang penulis skrip dan Tan, 36, didakwa melukakan perasaan agama orang lain melalui filem itu dengan cara melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan orang di sebuah premis di Jalan Semarak Api di sini pada 12.34 tengah hari, 26 Feb 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan tayangan dan publisiti filem itu menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 0gos 2023 yang ditandatangani oleh menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Filem yang ditayang menerusi platform penstriman video itu mengundang kecaman dan kegusaran orang awam kerana didakwa memaparkan adegan dengan unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama. — BERNAMA