Connect with us

Terkini

Firdaus Wong berhak dihormati, dilindungi walau berdepan isu kontroversi – PUTRA

Pempengaruh dan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berhak untuk dihormati dan dilindungi walaupun ketika ini beliau difahamkan berdepan isu kontroversi.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Ketua Penerangan Parti PUTRA, Shahrulufti Sharif.
  • Ketua Penerangan Parti PUTRA, Shahrulufti Sharif berkata dalam ketika polis sedang menyiasat dakwaan terhadap pendakwah bebas itu, prinsip keadilan tetap juga harus dijunjung tinggi.
  • Shahrulufti berkata Firdaus Wong mempunyai hak untuk menyampaikan ajaran agama secara bebas seiring Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan.
  • “Meskipun kontroversial, Firdaus Wong memiliki hak untuk dihormati dan dilindungi oleh undang-undang. Polis sedang menyiasat dakwaan terhadapnya, tetapi prinsip keadilan harus dijunjung tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
  • Pada 26 Jun lalu, polis dilaporkan membuka kertas siasatan ke atas Firdaus Wong susulan tular video beliau yang menasihatkan seorang lelaki mengenai cara menangani permintaan remaja bawah umur untuk memeluk Islam.
  • Firdaus Wong pada Sabtu memaklumkan beliau sudah memberi keterangan kepada pihak polis di IPD Petaling Jaya pada Rabu lalu bersabit satu laporan polis dilakukan individu berbangsa India.

KUALA LUMPUR — Pempengaruh dan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berhak untuk dihormati dan dilindungi walaupun ketika ini beliau difahamkan berdepan isu kontroversi.

Ketua Penerangan Parti PUTRA, Shahrulufti Sharif berkata dalam ketika polis sedang menyiasat dakwaan terhadap pendakwah bebas itu, prinsip keadilan tetap juga harus dijunjung tinggi.

Shahrulufti berkata Firdaus Wong mempunyai hak untuk menyampaikan ajaran agama secara bebas seiring Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan.

Beliau berpandangan pendakwah bebas yang juga seorang mualaf itu telah menjalankan tugas berdakwah dengan penuh tanggungjawab di mana beliau menekankan penggunaan hikmah dan cara dakwah yang baik. 

“Meskipun kontroversial, Firdaus Wong memiliki hak untuk dihormati dan dilindungi oleh undang-undang. Polis sedang menyiasat dakwaan terhadapnya, tetapi prinsip keadilan harus dijunjung tinggi.

“Pentingnya Dakwah: Dakwah adalah warisan dari Rasulullah SAW. Firdaus Wong, sebagai pendakwah, berusaha menyampaikan risalah Islam kepada manusia sejagat.

“Semoga keadilan ditegakkan dan hak-hak individu dihormati dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Pada 26 Jun lalu, polis dilaporkan membuka kertas siasatan ke atas Firdaus Wong susulan tular video beliau yang menasihatkan seorang lelaki mengenai cara menangani permintaan remaja bawah umur untuk memeluk Islam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata setakat ini empat laporan polis sudah diterima dan tiga individu sudah dirakam percakapan.

Video dimuat naik Firdaus Wong di TikToknya memaparkan beliau menjawab pertanyaan seorang penulis, Adnin Roslan tentang cara menangani permintaan remaja bawah umur yang bukan beragama Islam ingin memeluk Islam.

Pendakwah bebas itu antaranya menjelaskan dari sudut Islam tiada masalah untuk individu tersebut ingin memeluk agama Islam tidak kira berapa umurnya kerana beliau boleh diislamkan, bagaimanapun penukaran agama mereka tidak perlu didaftarkan atau diumumkan. 

Firdaus Wong pada Sabtu berkata beliau sudah  memberikan keterangan kepada pihak polis di IPD Petaling Jaya pada Rabu lalu bersabit satu laporan polis yang dilakukan individu berbangsa India.

Dalam perkembangan dikongsikan menerusi hantaran Facebook itu, Firdaus Wong berkata polis turut merampas telefon bimbit beliau untuk membantu siasatan.

“Atas nasihat peguam-peguam, saya tidak akan memberikan sebarang komentar atau respon terhadap kes ini yang masih di bawah siasatan polis tetapi tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu/kelompok yang memfitnah,” katanya. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *