Terkini
Firdaus Wong sentiasa jaga fakta, bertanggungjawab dengan undang-undang negara – PERKASA
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyifatkan Firdaus Wong Wai Hung sebagai pendakwah bebas yang sentiasa menjaga fakta dan pertuturan supaya tidak terlanjur menghina mana-mana agama.

- Presiden PERKASA, Syed Hassan Syed Ali berkata bukan perkara menghairankan apabila pendakwah bebas bersuara lantang itu diminta hadir ke IPD Petaling Jaya untuk dirakam keterangan kerana beliau sudah biasa dipanggil soal siasat atas laporan beberapa pihak, terutama dari persatuan-persatuan agama Hindu.
- Setakat ini katanya tiada satu kes pun menyaksikan Firdaus Wong didakwa selepas berdepan siasatan.
- “PERKASA sudah lama mengenali pendakwah Firdaus Wong ini dan beliau sentiasa menjaga fakta dan pertuturan agar tidak terlanjur terhina mana-mana agama.
- “PERKASA percaya pendakwah Firdaus Wong tiada masalah berdepan pihak berkuasa untuk disoal siasat dan Allah sentiasa melindungi beliau kerana beliau seorang penceramah bebas yang bertanggungjawab dengan undang-undang negara,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Selasa.
- Syed Hassan berkata demikian mengulas laporan The Merdeka Times berkenaan Firdaus Wong memaklumkan semalam beliau dipanggil polis untuk disoal siasat susulan satu laporan dibuat ke atasnya.
KUALA LUMPUR — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyifatkan Firdaus Wong Wai Hung sebagai pendakwah bebas yang sentiasa menjaga fakta dan pertuturan supaya tidak terlanjur menghina mana-mana agama.
Presidennya, Syed Hassan Syed Ali berkata beliau percaya Firdaus Wong tiada masalah berdepan dengan pihak berkuasa untuk disoal siasat kerana beliau seorang pendakwah bebas yang bertanggungjawab dengan undang-undang negara.
Syed Hassan berkata bukan perkara menghairankan apabila pendakwah bebas bersuara lantang itu diminta hadir ke IPD Petaling Jaya untuk dirakam keterangan kerana beliau sudah biasa dipanggil soal siasat atas laporan beberapa pihak, terutama dari persatuan-persatuan agama Hindu.
Bagaimanapun, setakat ini katanya tiada satu kes pun menyaksikan Firdaus Wong didakwa selepas berdepan siasatan.
“PERKASA sudah lama mengenali pendakwah Firdaus Wong ini dan beliau sentiasa menjaga fakta dan pertuturan agar tidak terlanjur terhina mana-mana agama.
“PERKASA percaya pendakwah Firdaus Wong tiada masalah berdepan pihak berkuasa untuk disoal siasat dan Allah sentiasa melindungi beliau kerana beliau seorang penceramah bebas yang bertanggungjawab dengan undang-undang negara.
“Semoga Saudara Firdaus Wong dipermudahkan oleh Allah SWT dalam segala urusan hariannya termasuk dengan soal siasat ini,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Selasa.
Syed Hassan berkata demikian mengulas laporan The Merdeka Times berkenaan Firdaus Wong memaklumkan semalam beliau dipanggil polis untuk disoal siasat susulan satu laporan dibuat ke atasnya.
Firdaus Wong bagaimanapun tidak pasti laporan itu berkenaan kes apa dan siapakah pengadu kerana beliau hanya diminta hadir ke IPD Petaling Jaya untuk merakamkan keterangan.
Dalam pada itu, Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh, mewakili Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy dilaporkan mengesahkan pihak berkuasa membuka kertas siasatan terhadap Firdaus Wong di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan susulan laporan dibuat kumpulan itu.
NGO itu sebelum ini membuat laporan polis dengan mendakwa Firdaus Wong memuat naik video mengenai cara untuk mengislamkan kanak-kanak bukan Islam secara rahsia.
Video dimuat naik Firdaus Wong di TikToknya memaparkan beliau menjawab pertanyaan seorang penulis, Adnin Roslan tentang cara menangani permintaan remaja bawah umur yang bukan beragama Islam ingin memeluk Islam.
Pendakwah bebas itu antaranya menjelaskan dari sudut Islam tiada masalah untuk individu tersebut ingin memeluk agama Islam tidak kira berapa umurnya kerana beliau boleh diislamkan, bagaimanapun penukaran agama mereka tidak perlu didaftarkan atau diumumkan. — The Merdeka Times
Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/
