Terkini
Penyelidik cadang Menteri Pendidikan PH & PN bentang Pelan Pembangunan Pendidikan ‘LIVE’ di TV
Penyelidik Pendidikan mencadangkan supaya Menteri Pendidikan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) membentangkan Pelan Pembangunan Pendidikan masing-masing secara langsung di televisyen.

- Dr Anuar Ahmad yang juga Pensyarah UKM berkata ini kerana peranan rakyat sepatutnya adalah memilih idea pihak mana lebih baik untuk hala tuju pendidikan anak-anak mereka.
- Katanya, rakyat adalah pengguna sistem pendidikan yang sudah tentu menginginkan pihak bertanggungjawab memberikan idea dan cadangan untuk memajukan pendidikan negara, di mana cadangan yang baik mesti datang dari hasil kajian, penelitian secara ilmiah dan perbandingan dengan negara lain.
- “Sebab itu saya suka mencadangkan supaya Menteri Pendidikan PH dan ‘Menteri Pendidikan’ PN membentangkan Pelan Pembangunan Pendidikan masing-masing kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin ketika memuat naik tangkap layar artikel bertajuk ‘Orang Ramai Disaran Beri Cadangan Pelan Pembangunan Pendidikan Baharu’.
KUALA LUMPUR — Penyelidik Pendidikan mencadangkan supaya Menteri Pendidikan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) membentangkan Pelan Pembangunan Pendidikan masing-masing secara langsung di televisyen.
Dr Anuar Ahmad yang juga Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata ini kerana peranan rakyat sepatutnya adalah memilih idea pihak mana lebih baik untuk hala tuju pendidikan anak-anak mereka.
Beliau berkata rakyat adalah pengguna sistem pendidikan yang sudah tentu menginginkan pihak bertanggungjawab memberikan idea dan cadangan untuk memajukan pendidikan negara, di mana cadangan yang baik mesti datang dari hasil kajian, penelitian secara ilmiah dan perbandingan dengan negara lain.
Malah, katanya pelbagai idea, keluhan dan pandangan sudah lama diberikan rakyat dalam berbagai sesi libat urus, wacana dan media sosial yang sekiranya dikumpul dan direkodkan kita sudah boleh memahami dengan jelas apa rakyat inginkan.
“Sebab itu saya suka mencadangkan supaya Menteri Pendidikan PH dan ‘Menteri Pendidikan’ PN membentangkan Pelan Pembangunan Pendidikan masing-masing kepada rakyat.
“Ini isu hala tuju pendidikan dan masa depan anak-anak kita. Tak perlu tunggu dekat pilihan raya untuk bersemuka membentangkan perancangan pendidikan negara.
“Yang penting, biar rakyat dengar idea dan cadangan dari kedua belah pihak. Biar rakyat sendiri tentukan idea dan cadangan siapa yang lebih menyakinkan. Idea pendidikan PH atau PN?
“RTM, TV3 atau AWANI boleh jadi host/penganjur siaran langsung ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin ketika memuat naik tangkap layar artikel bertajuk ‘Orang Ramai Disaran Beri Cadangan Pelan Pembangunan Pendidikan Baharu’.
Antara petikan artikel itu adalah Kementerian Pendidikan (KPM) berkata pihaknya mengalu-alukan cadangan pelbagai pihak dalam bentuk memorandum atau kertas cadangan untuk membantu menghasilkan pelan pendidikan masa depan yang komprehensif dan holistik.
Pelan baharu itu bertujuan menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang hampir sampai ke penghujung pelaksanaannya. — The Merdeka Times
Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/
