Connect with us

Terkini

Lima anggota keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram didakwa

Lima anggota keluarga suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram bulan lepas sehingga mengakibatkan kematian dua anggota polis dan seorang lagi cedera, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan berkaitan keganasan.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Lima anggota keluarga suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram bulan lalu.
  • Lima anggota keluarga suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram bulan lalu hingga mengakibatkan kematian dua anggota polis dan seorang lagi cedera, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan berkaitan keganasan.
  • Pertuduhan terhadap Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, Radin Romyullah Radin Imran, 34, Rosna Jantan, 59, Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19, dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, namun tiada pengakuan direkodkan daripada kelima-lima mereka kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
  • Radin Imran yang juga bapa suspek insiden serangan 17 Mei lalu itu didakwa menggalakkan perbuatan pengganas dengan cara menanamkan fahaman ideologi keganasan berkait kumpulan pengganas Islamic State (IS) kepada isterinya, dua anak lelakinya, termasuk suspek berumur 21 dan dua anak perempuannya.
  • Radin Imran juga didakwa tiga lagi pertuduhan menyokong perbuatan pengganas dengan menyimpan 4 pucuk senjata api jenis senapang angin (buatan sendiri) untuk menjalankan aktiviti IS; berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas berkenaan iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi dan memiliki buku berkaitan IS.
  • Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, di sini antara hujung tahun 2014 hingga 17 Mei lalu.

JOHOR BAHRU — Lima anggota keluarga suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram bulan lepas sehingga mengakibatkan kematian dua anggota polis dan seorang lagi cedera, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan berkaitan keganasan.

Pertuduhan terhadap Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, Radin Romyullah Radin Imran, 34, Rosna Jantan, 59, Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19, dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, namun tiada pengakuan direkodkan daripada kelima-lima mereka kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Radin Imran yang juga bapa suspek kejadian serangan pada 17 Mei lepas itu didakwa menggalakkan perbuatan pengganas dengan cara menanamkan fahaman ideologi keganasan yang berkait kumpulan pengganas Islamic State (IS) kepada isterinya, Rosna, dua anak lelakinya termasuk suspek yang berumur 21, dan Radin Romyullah serta dua anak perempuannya Farhah Sobrina dan Mariah.

Radin Imran juga didakwa dengan tiga lagi pertuduhan memberi sokongan kepada perbuatan pengganas dengan menyimpan empat pucuk senjata api jenis senapang angin (buatan sendiri) untuk menjalankan aktiviti IS; berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas berkenaan iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi; dan memiliki sebuah buku yang berkaitan dengan IS.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, di sini antara hujung tahun 2014 hingga 17 Mei lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun beserta denda; Seksyen 130J(1) Kanun Keseksaan iaitu penjara seumur hidup atau tidak lebih 40 tahun atau denda dan dirampas harta yang digunakan; dan Seksyen 130JB(1) (a) Kanun Keseksaan iaitu penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda dan dilucutkan bahan dimiliki itu, jika sabit kesalahan.

Sementara itu tertuduh kedua, Radin Romyullah yang juga abang suspek pula didakwa dengan dua pertuduhan iaitu berbaiah kepada pemimpin kumpulan IS iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi dan memiliki satu “external hard disc” yang mengandungi bahan berkaitan IS dan aktiviti kumpulan itu di lokasi yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara hujung tahun 2014 hingga 17 Mei lepas mengikut Seksyen 130(1) (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak lebih 40 tahun beserta denda dan Seksyen 130JB(1) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Ibu suspek Rosna yang merupakan warga Singapura; kakak suspek Farhah Sobrina dan adik suspek Mariah pula didakwa masing-masing atas satu pertuduhan iaitu dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat berkenaan kesalahan berkaitan ideologi keganasan.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama antara April 2017 hingga 17 Mei lepas mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 31 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara Putrajaya Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan Fazeedah Faik, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini dikawal ketat sekumpulan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Penyiasatan Jenayah (CID) Polis Diraja Malaysia (PDRM) seawal pukul 8 pagi.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi, 17 Mei lepas, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang oleh suspek bertopeng dan bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, ditembak dan dilaporkan stabil selepas dirawat di Hospital Sultan Ismail di sini. — BERNAMA

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Terkini

Gangguan IT global jejaskan operasi penerbangan, bank, media & hospital

Institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, media dan hospital di beberapa negara dilaporkan terjejas akibat gangguan siber besar-besaran, menurut beberapa laporan media melalui platform X.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • “Kegagalan siber global: Platform keselamatan siber CrowdStrike mengalami kejatuhan di seluruh dunia, menyebabkan masalah IT global, gangguan dalam syarikat penerbangan antarabangsa, bank dan saluran media,” menurut agensi berita Sputnik melalui akaun X @SputInt.
  • Agensi Anadolu (AA) pada platform X @anadoluagency melaporkan hospital dan perkhidmatan kesihatan juga telah terjejas oleh kegagalan pelayan, dengan Kementerian Kesihatan Israel mengesahkan gangguan tersebut.
  • Perkhidmatan MAHB tidak terjejas oleh gangguan IT global yang mengakibatkan gangguan perjalanan besar di Eropah, Amerika Syarikat dan lapangan terbang Australia.
  • Syarikat penerbangan tambang rendah tempatan AirAsia berkata walaupun ia mengalami gangguan sistem dalaman, tiada pembatalan penerbangan.

KUALA LUMPUR — Institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, media dan hospital di beberapa negara dilaporkan terjejas akibat gangguan siber besar-besaran, menurut beberapa laporan media melalui platform X.

“Kegagalan siber global: Platform keselamatan siber CrowdStrike mengalami kejatuhan di seluruh dunia, menyebabkan masalah IT global, gangguan dalam syarikat penerbangan antarabangsa, bank dan saluran media,” menurut agensi berita Sputnik melalui akaun X @SputInt.

BBC pada akaun X @BBCBreaking melaporkan bahawa gangguan IT secara besar-besaran telah menyebabkan pesawat tidak boleh berlepas dan menjejaskan bank, penyiar dan perniagaan di seluruh dunia.

Akaun X Bloomberg @business melaporkan bahawa satu siri gangguan teknikal, yang dicetuskan oleh gangguan Microsoft dilaporkan, mengganggu perkhidmatan di seluruh dunia, menjejaskan sektor daripada syarikat penerbangan hingga perbankan.

Agensi Anadolu (AA) pada platform X @anadoluagency melaporkan bahawa hospital dan perkhidmatan kesihatan juga telah terjejas oleh kegagalan pelayan, dengan Kementerian Kesihatan Israel mengesahkan gangguan tersebut.

Di Australia, Al Jazeera di X @AJEnglish melaporkan gangguan IT besar yang menjejaskan bank, telekomunikasi, saluran media dan syarikat penerbangan.

Juga di Australia, Lapangan Terbang Melbourne melalui akaun Xnya @MelAir berkata bahawa ia sedang mengalami isu teknologi global yang memberi kesan kepada prosedur daftar masuk untuk beberapa syarikat penerbangan.

Frontier Airlines melalui @FlyFrontier melaporkan kesan gangguan Microsoft pada sistem mereka, menjejaskan tempahan, daftar masuk, akses kepada pas masuk dan beberapa penerbangan.

Sementara itu, perkhidmatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak terjejas oleh gangguan IT global yang mengakibatkan gangguan perjalanan besar di Eropah, Amerika Syarikat serta lapangan terbang Australia.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan tambang rendah tempatan AirAsia berkata walaupun ia mengalami gangguan sistem dalaman, tiada pembatalan penerbangan.

Difahamkan Malaysia Airlines juga tidak terjejas.

Walaupun nampaknya tiada pembatalan setakat ini, penerbangan ke destinasi yang terjejas akibat gangguan global boleh menjejaskan penerbangan Malaysia Airlines. — BERNAMA/Harian Metro

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending