Connect with us

Terkini

Penurunan ketara sumbangan Palestin, GSPP seru rakyat Malaysia terus menyumbang

Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) menyeru rakyat Malaysia untuk kembali menyumbang kepada rakyat Palestin susulan penurunan jumlah sumbangan yang dilihat begitu ketara pada tahun ini.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Pengerusi GSPP, Muhammad Fauzi Asmuni berkata suasana di sana amat kritikal dari hari ke hari di mana lebih dua juta penduduk Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 500 kontena makanan setiap hari, namun berkemungkinan hanya puluhan sahaja kontena yang masuk dalam sehari.
  • Serangan berlanjutan memburukkan keadaan, termasuk fasiliti perubatan yang rosak menjadikan keadaan lebih mendukacitakan ditambah dengan suhu tidak menentu ketika ini susulan berlaku pertukaran musim sejuk ke musim panas. 
  • “Saya merayu kepada rakyat Malaysia untuk kembali menyumbang bagi memenuhi keperluan penduduk Gaza khasnya dan warga Palestin di merata tempat umumnya. 
  • “Saya serahkan kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada siapa sahaja melalui cara yang diyakini oleh masing-masing. Tetapi menyumbanglah dan jangan berhenti,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Ahad.

KUALA LUMPUR — Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) menyeru rakyat Malaysia untuk kembali menyumbang kepada rakyat Palestin susulan penurunan jumlah sumbangan yang dilihat begitu ketara pada tahun ini.

Pengerusi GSPP, Muhammad Fauzi Asmuni berkata suasana di sana amat kritikal dari hari ke hari di mana lebih dua juta penduduk Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 500 kontena makanan setiap hari, namun berkemungkinan hanya puluhan sahaja kontena yang masuk dalam sehari.

Malah, serangan berlanjutan memburukkan keadaan, termasuk fasiliti perubatan yang rosak menjadikan keadaan lebih mendukacitakan ditambah dengan suhu tidak menentu ketika ini susulan berlaku pertukaran musim sejuk ke musim panas. 

“Saya merayu kepada rakyat Malaysia untuk kembali menyumbang bagi memenuhi keperluan penduduk Gaza khasnya dan warga Palestin di merata tempat umumnya. 

“Di dalam harta kita ada hak mereka sepertimana Allah sebutkan di dalam al-Quran: “Di dalam harta mereka terdapat hak bagi orang yang meminta dan orang yang tiada sumber pendapatan.” (Az-Zariyat: 19)

“Saya serahkan kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada siapa sahaja melalui cara yang diyakini oleh masing-masing. Tetapi menyumbanglah dan jangan berhenti,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Ahad.

Muhammad Fauzi berkata pengurangan sumbangan dari Malaysia ke Palestin pada tahun ini amat ketara, tidak seperti sebelum ini di mana sumbangan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan(NGO) Malaysia ke Palestin agak besar dan banyak.

Katanya, terdapat beberapa peristiwa berlaku memberi kesan banyak kepada sumbangan masyarakat terhadap rakyat Palestin.

“Antaranya kes Aman Palestin dan cadangan penggubalan undang-undang kawalan lebih ketat terhadap kutipan awam oleh mana-mana badan berdaftar bawah ROS. 

“Selain itu beberapa usaha pihak berwajib yang seolah-olah cuba me’monopoli’ saluran sumbangan ke Palestin juga memberi kesan terhadap isu ini,” katanya. — The Merdeka Times

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending