Connect with us

Terkini

Paul Yong kekal bersalah rogol amah, tempoh penjara dikurang kepada 8 tahun

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong gagal dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan kesalahan merogol pembantu rumahnya lima tahun lalu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.
  • Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong menjadi 8 tahun.
  • Panel tiga hakim dengan majoriti 2-1 diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Hakim Datuk Azman Abdullah (menolak rayuan Paul selaku perayu) memutuskan demikian, manakala Datuk SM Komathy menentang keputusan majoriti.
  • Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dengan dua sebatan terhadap Paul Yong selepas didapati bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun. 

KUALA LUMPUR — Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong gagal dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan kesalahan merogol pembantu rumahnya lima tahun lalu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Paul Yong menjadi 8 tahun.

Panel tiga hakim dengan majoriti 2-1 diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Hakim Datuk Azman Abdullah (menolak rayuan Paul selaku perayu) memutuskan demikian, manakala Datuk SM Komathy menentang keputusan majoriti.

Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dengan dua sebatan terhadap Paul Yong selepas didapati bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun. 

Pada 30 Januari lalu, panel terbabit selesai mendengar hujahan peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Paul Yong dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fuad Abdul Aziz.

Hisyam dalam hujahnya, menyatakan anak guamnya diprejudiskan apabila tidak diberi peluang berdepan mangsa yang juga bekas pembantu rumahnya warga Indonesia.

Katanya, hakim perbicaraan terkhilaf apabila mengguna pakai Seksyen 265 Kanun Tatacara Jenayah bagi melindungi identiti mangsa adalah tidak wajar dalam kes ini, kerana daripada awal lagi identiti mangsa didedahkan dalam kertas pertuduhan.

Fuad mewakili pendakwaan menghujahkan walaupun pihak pembelaan tidak dapat melihat wajah mangsa, namun mereka masih boleh menyoal balas mangsa.

“Walaupun pihak-pihak lain tidak dapat melihat tingkah laku, mimik muka atas keadaan mangsa ketika memberi keterangan, namun hakim bicara dapat melihatnya. 

“Penilaian yang dibuat oleh hakim bicara telah mengambil kira segala fakta termasuk tingkah laku mangsa,” kata pendakwa raya itu dipetik Berita Harian hari ini.

Pada 27 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed, mendapati Paul Yong bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia dalam bilik di rumahnya dekat Ipoh, Perak antara jam 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Ketika memberikan keterangan membela diri secara bersumpah, Paul Yong menyatakan dakwaan rogol itu satu konspirasi politik bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 dengan kelebihan tiga undi. — The Merdeka Times

Author