Connect with us

Terkini

Isu stoking: Perkuatkan undang-undang lindung sensitiviti agama dalam perniagaan – Pemuda AMANAH

Pemuda AMANAH menyarankan kerajaan memperkuatkan undang-undang berkaitan perlindungan sensitiviti agama, termasuk dalam bidang perniagaan susulan insiden stoking tertera kalimah Allah dijual di tiga cawangan KK Mart.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah.
  • Pemuda AMANAH menyarankan kerajaan memperkuatkan undang-undang berkaitan perlindungan sensitiviti agama, termasuk dalam bidang perniagaan susulan insiden stoking tertera kalimah Allah dijual di tiga cawangan KK Mart.
  • Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Nasional, ‘Asim ‘Abdullah Ainullotfi berkata undang-undang lebih tegas memberi isyarat jelas kepada syarikat-syarikat bahawa pelanggaran sensitiviti agama akan dikenakan tindakan serius.
  • Katanya, ia sekali gus mendorong syarikat berkaitan untuk mengambil langkah proaktif dalam mencegah insiden serupa pada masa akan datang. 
  • “Pemuda AMANAH ingin mengingatkan bahawa dalam era globalisasi dan media sosial yang pesat, setiap tindakan syarikat akan disorot dan boleh memberi impak yang besar terhadap reputasi mereka. 
  • “Oleh itu, penting bagi syarikat-syarikat untuk lebih berhati hati dan menghormati nilai-nilai agama tempatan dan mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mengelakkan kemungkinan konflik dengan pelanggan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Pemuda AMANAH menyarankan kerajaan memperkuatkan undang-undang berkaitan perlindungan sensitiviti agama, termasuk dalam bidang perniagaan susulan insiden stoking tertera kalimah Allah dijual di tiga cawangan KK Mart.

Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Nasional, ‘Asim ‘Abdullah Ainullotfi berkata undang-undang lebih tegas memberi isyarat jelas kepada syarikat-syarikat bahawa pelanggaran sensitiviti agama akan dikenakan tindakan serius.

Katanya, ia sekali gus mendorong syarikat berkaitan untuk mengambil langkah proaktif dalam mencegah insiden serupa pada masa akan datang. 

“Pemuda AMANAH mengambil maklum KK MART telah memohon maaf mengenai isu ini namun demikian berpandangan isu ini tidak harus dipandang ringan.

“Pemuda AMANAH ingin mengingatkan bahawa dalam era globalisasi dan media sosial yang pesat, setiap tindakan syarikat akan disorot dan boleh memberi impak yang besar terhadap reputasi mereka. 

“Oleh itu, penting bagi syarikat-syarikat untuk lebih berhati hati dan menghormati nilai-nilai agama tempatan dan mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mengelakkan kemungkinan konflik dengan pelanggan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

‘Asim mengingatkan pengilang mahupun pengedar atau peruncit supaya lebih sensitif terhadap isu-isu agama, terutama berkaitan kalimah Allah kerana perkara berkenaan penting untuk mengekalkan keharmonian agama di Malaysia. 

“Pemuda AMANAH menyeru KK Mart dan mana mana syarikat lain perlu mengambil pendekatan yang lebih berhemah dalam pengurusan produk-produk,” katanya.

Pengendali kedai rangkaian serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) pada 14 Mac lalu, dilaporkan memohon maaf susulan video tular penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya.

KK Super Mart berkata produk itu merupakan ‘consignment’ daripada vendor dan pihaknya sudah berhubung dengan vendor tersebut untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Insiden kontroversi itu menimbulkan kemarahan masyarakat Islam hinggakan terdapat gesaan supaya kedai serbaneka terbabit diboikot dan ia semakin hangat apabila ada individu membuat komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah, termasuk seorang lelaki menyindir reaksi Muslim yang dilihat terlalu ‘sensitif’ dengan isu berkenaan

Semalam, media melaporkan polis membuka dua kertas siasatan terhadap laporan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan sebagai berkata 42 laporan polis diterima dari seluruh negara berkaitan isu tersebut. – The Merdeka Times

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending