Connect with us

Terkini

Isu undang-undang jenayah syariah akan diselesaikan dalam tempoh lapan bulan – Menteri Agama

Kerajaan Persekutuan menyatakan komitmen menyelesaikan isu berbangkit berkaitan undang-undang jenayah syariah negara ini dalam tempoh lapan bulan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu. 

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mempengerusikan MKI juga mahu syor berhubung Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan kemungkinan kaedah meluaskan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam tempoh rangka kerja ditetapkan Perlembagaan menjelang akhir tahun ini.
  • Beliau berkata Sultan Selangor turut bertitah supaya Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-Undang Islam dan pengerusinya, bekas ketua hakim negara, Tun Zaki Azmi berbuat demikian dalam tahun ini.
  • “Sultan Selangor memberi mandat kepada jawatankuasa dan Tun Zaki untuk memuktamadkan segala-galanya dalam tempoh setahun tetapi saya mempunyai komitmen untuk menyelesaikan aku janji itu dalam tempoh tidak lebih daripada lapan bulan,” katanya dipetik Berita Harian di sini, pada Ahad.

KUALA LUMPUR — Kerajaan Persekutuan menyatakan komitmen menyelesaikan isu berbangkit berkaitan undang-undang jenayah syariah negara ini dalam tempoh lapan bulan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mempengerusikan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) juga mahu syor berhubung Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan kemungkinan kaedah meluaskan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam tempoh rangka kerja ditetapkan Perlembagaan menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata Sultan Selangor turut bertitah supaya Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-Undang Islam dan pengerusinya, bekas ketua hakim negara, Tun Zaki Azmi berbuat demikian dalam tahun ini.

“Sultan Selangor memberi mandat kepada jawatankuasa dan Tun Zaki untuk memuktamadkan segala-galanya dalam tempoh setahun tetapi saya mempunyai komitmen untuk menyelesaikan aku janji itu dalam tempoh tidak lebih daripada lapan bulan,” katanya dipetik Berita Harian di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Perasmian Karnival Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Tasik Titiwangsa.

Mohd Na’im berkata sebarang cadangan sama ada daripada parti pembangkang atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh dihantar kepada Tun Zaki.

Beliau berkata kerajaan pusat juga akan membabitkan seramai mungkin individu bagi memastikan isu itu ditangani secara holistik.

Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, termasuk bagi kesalahan liwat, gangguan seksual, menawarkan atau menyediakan khidmat maksiat dan memusnahkan atau mencemar rumah ibadat adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel itu dilaporkan sebagai berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya. — The Merdeka Times

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending