Connect with us

Terkini

Pilihan raya PBT bukan keutamaan KPKT buat masa ini – Nga Kor Ming

Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan keutamaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ketika ini, kata Menteri KPKT, Nga Kor Ming.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Pilihan raya PBT bukan keutamaan KPKT buat masa ini – Nga Kor Ming
Foto: Menteri KPKT, Nga Kor Ming.
  • Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan keutamaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ketika ini, kata Menteri KPKT, Nga Kor Ming.
  • Mengulas gesaan pemimpin DAP supaya pilihan raya itu diadakan semula, Kor Ming berkata jawapannya berhubung isu berkenaan adalah konsisten dan keutamaan KPKT pada waktu ini adalah fokus kepada tujuh bidang baharu yang ingin dilaksanakan.
  • “Bagi saya 10 tahun, lepas saya siapkan 50,000 projek kemudahan awam (di seluruh negara), mungkin Insya-Allah itulah masanya (mengadakan pilihan raya PBT),” katanya dipetik Harian Metro ketika sidang media di Pasar Bazar Rakyat MBSJ, Seri Kembangan, hari ini.
  • Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai pada 17 Disember lalu dilaporkan menggesa Kerajaan Madani mengadakan semula pilihan raya PBT di peringkat bandar raya Kuala Lumpur susulan rombakan Kabinet, yang menyaksikan pelantikan menteri bagi portfolio khusus untuk Wilayah Persekutuan.

KUALA LUMPUR – Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan keutamaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ketika ini, kata Menteri KPKT, Nga Kor Ming.

Mengulas gesaan pemimpin DAP supaya pilihan raya itu diadakan semula, Kor Ming berkata jawapannya berhubung isu berkenaan adalah konsisten dan keutamaan KPKT pada waktu ini adalah fokus kepada tujuh bidang baharu yang ingin dilaksanakan.

“Jawapan saya konsisten dan keutamaan KPKT waktu ini adalah untuk memfokus kepada tujuh bidang yang saya umumkan pada hari pertama saya diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai Menteri KPKT.

“Negara kita baru pulih daripada pergolakan politik pada Julai lalu, baru selesai dan waktu kini adalah untuk meredakan suhu politik dan fokuskan kepada kerja yang boleh membawa manfaat kepada rakyat.

“Bagi saya 10 tahun, lepas saya siapkan 50,000 projek kemudahan awam (di seluruh negara), mungkin Insya-Allah itulah masanya (mengadakan pilihan raya PBT),” katanya dipetik Harian Metro ketika sidang media di Pasar Bazar Rakyat MBSJ, Seri Kembangan, hari ini.

Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai pada 17 Disember lalu dilaporkan menggesa Kerajaan Madani mengadakan semula pilihan raya PBT di peringkat bandar raya Kuala Lumpur susulan rombakan Kabinet, yang menyaksikan pelantikan menteri bagi portfolio khusus untuk Wilayah Persekutuan.

Kok Wai berkata cadangan dikemukakan itu bertujuan memperkukuhkan demokrasi di Wilayah Persekutuan.

Cadangan Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras itu mengundang bantahan ramai pihak, termasuk Perikatan Nasional (PN) dan UMNO

Kebanyakan bantahan membangkitkan risiko pergeseran kaum dengan dakwaan orang Melayu akan hilang kuasa di kawasan bandar. 

“Setiap perkara akan berlaku pada masa yang betul, perkara seperti pilihan raya PBT yang telah pun ditangguhkan sejak tahun 1963 ini pada ketika ini bukan keutamaan.

“Kami (KPKT) akan memberikan fokus kepada apa yang perlu dilakukan kerana kita memberikan keutamaan kepada kehidupan rakyat,” kata Kor Ming.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan memaklumkan jawapan sama turut diberikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang sudah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu sebelum ini.

“Saya sentiasa berinteraksi dengan YB Zaliha dan kita sentiasa bekerja sebagai satu pasukan maka jawapan saya dengan dia konsisten, keutamaan kita adalah pastikan tujuh bidang fokus KPKT itu dapat dilaksanakan (dahulu),” katanya.

Pada 27 Februari lalu, Kor Ming berkata pihak kementeriannya tidak memberikan keutamaan terhadap Pilihan Raya PBT ketika ini.

Sebaliknya, beliau menegaskan Kerajaan Perpaduan melalui KPKT memberi tumpuan kepada tujuh bidang fokus utama yang antaranya adalah membangun dan memperkasakan peranan kerajaan tempatan. — The Merdeka Times

Author