Connect with us

Terkini

Nafi terlibat rasuah, Daim akan ambil tindakan undang-undang

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mendakwa dan mengaitkan beliau dan keluarganya memiliki kekayaan luar biasa. 

Wartawan TMT

Published

on

Nafi terlibat rasuah, Daim akan ambil tindakan undang-undang
Foto: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
  • Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mendakwa dan mengaitkan beliau dan keluarganya memiliki kekayaan luar biasa. 
  • Daim berkata dakwaan tidak berasas itu sudah dibincangkan bersama peguamnya dan tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil pada masa yang sesuai. 
  • “Perbincangan sudah diadakan dengan peguam saya dan tindakan undang-undang akan diambil,” katanya dalam kenyataan dipetik Astro Awani pada Khamis.
  • Merujuk kepada kenyataan Anwar, ‘it is an open secret. Someone had reaped so much wealth’, dalam ucapannya pada 22 Disember lalu, Daim menyifatkan ia sebagai sindiran yang tidak berasas yang memberi gambaran beliau sudah bersalah walaupun siasatan sedang berjalan.
  • Daim turut mendakwa tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki membuat komen-komen bersifat prejudis secara terbuka mengenai dirinya sebagai tidak profesional dan mencurigakan memandangkan siasatan masih lagi berjalan.
  • Sebelum ini, SPRM mengesahkan penyitaan Menara Ilham di Kuala Lumpur berkaitan siasatannya atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Daim.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mendakwa dan mengaitkan beliau dan keluarganya memiliki kekayaan luar biasa. 

Daim berkata dakwaan tidak berasas itu sudah dibincangkan bersama peguamnya dan tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil pada masa yang sesuai. 

“Perbincangan sudah diadakan dengan peguam saya dan tindakan undang-undang akan diambil,” katanya dalam kenyataan dipetik Astro Awani pada Khamis.

Ahli perniagaan berusia 85 tahun itu, menafikan sekeras-kerasnya beliau dan keluarganya terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah sebagaimana didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya, beliau menyifatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berbentuk a political witch-hunt atau kempen politik yang mensasarkan dirinya dan keluarga.

Katanya, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan mengenai kesalahan yang dilakukannya walaupun sudah berkali-kali mengajukan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

“Tiada penjelasan, dan saya boleh mendedahkan surat yang ditandatangani sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki … beliau enggan memaklumkan kesalahan yang disiasat,” katanya.

Sementara itu, merujuk kepada kenyataan Anwar, ‘it is an open secret. Someone had reaped so much wealth’, dalam ucapannya pada 22 Disember lalu, Daim menyifatkan ia sebagai sindiran tidak berasas yang memberi gambaran beliau sudah bersalah walaupun siasatan sedang berjalan.

“Tindakan itu bukan sahaja menunjukkan beliau tergugat dengan saya. Malah mendedahkan beliau menyalahguna kedudukannya sebagai Perdana Menteri dengan mencampuri urusan siasatan yang sedang berjalan,” katanya.

Daim turut mendakwa tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki membuat komen-komen bersifat prejudis secara terbuka mengenai dirinya sebagai tidak profesional dan mencurigakan memandangkan siasatan masih lagi berjalan.

“Sebagai ketua badan penguatkuasa, Azam Baki seharusnya bertanggungjawab ke atas sekumpulan ‘sumber’ yang membocorkan berita-berita mengenai perjalanan siasatan.

“Saya yakin kumpulan yang disebut sebagai ‘sumber’ itu hanya boleh melibatkan orang dalam,” katanya.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan penyitaan Menara Ilham di Kuala Lumpur berkaitan siasatannya atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Daim.

Azam Baki bagaimanapun enggan memberikan butiran lanjut mengenai kes tersebut. 

“Apabila kami menyiasat dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dan melibatkan harta tak alih, kami dibenarkan di bawah Akta SPRM menghantar permohonan sitaan kepada timbalan pendakwa raya.

“Itulah apa yang berlaku (dalam kes ini). Kami menggunakan kuasa diperuntuk kepada timbalan pendakwa raya untuk mengarahkan pejabat tanah meletakkan kaveat terhadap tanah berkenaan,” kata Azam Baki. — The Merdeka Times

Author

Terkini

Enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung, bunuh Zulfarhan

Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini dilaporkan menjatuhi hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada tujuh tahun lalu.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.
  • Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini dilaporkan menjatuhi hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada tujuh tahun lalu.
  • Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang sebulat suara membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
  • Enam tertuduh itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; Muhammad Azamuddin Mad Sofi; Muhammad Najib Mohd Razi; Muhammad Afif Najmudin Azahat; Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
  • Hakim Hadhariah dilaporkan berkata hukuman mati adalah wajar dikenakan terhadap mereka kerana jenayah yang dilakukan adalah kejam.

KUALA LUMPUR — Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini dilaporkan menjatuhi hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada tujuh tahun lalu.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang sebulat suara membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Enam tertuduh itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; Muhammad Azamuddin Mad Sofi; Muhammad Najib Mohd Razi; Muhammad Afif Najmudin Azahat; Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Hakim Hadhariah dilaporkan berkata hukuman mati adalah wajar dikenakan terhadap mereka kerana jenayah yang dilakukan adalah kejam.

“Mahkamah memutuskan hanya satu hukuman terhadap keenam-enam OKT iaitu mereka perlu dibawa ke suatu tempat penggantungan di mana di sana mereka akan digantung sampai mati.

“Rayuan pendakwaan dibenarkan, hukuman penjara selama 18 tahun ditolak,” katanya dipetik Harian Metro ketika bersidang bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Sebelum ini, keenam-enam perayu yang juga responden dalam rayuan itu dilaporkan dihukum penjara 18 tahun kerana menyebabkan kematian tanpa niat terhadap arwah Zulfarhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. 

Pada 15 Mei lalu, pihak pendakwaan berhujah tindakan enam bekas penuntut universiti itu mendera dan menyebabkan 80 peratus badan rakan mereka Zulfarhan melecur akibat tekapan seterika wap adalah perbuatan melampau.

Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai berhujah terdapat keterangan menunjukkan lima bekas penuntut itu atas arahan seorang lagi rakan mereka bergilir-gilir menekap seterika pada anggota badan si mati (Zulfarhan) kecuali pada bahagian muka dan belakang tapak tangan mengakibatkan beliau mengalami 90 kesan lecur yang menyebabkan kematiannya.

Sementara itu, 12 lagi tertuduh yang sebelum ini dikenakan hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan, diketepikan dan digantikan hukuman penjara empat tahun.

“Dalam kes ini, kami sebulat suara mendapati faktor-faktor yang memberatkan hukuman mengatasi faktor-faktor peribadi tertuduh.

“Pada hemat kami, hukuman yang wajar ialah empat tahun penjara. Oleh itu hukuman penjara tiga tahun diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara empat tahun dari tarikh sabitan,” katanya dipetik Astro Awani.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka ketika insiden berusia 21 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.

Dalam kejadian menyayat hati itu, Zulfarhan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending