Connect with us

Terkini

Penubuhan jawatankuasa khas perkasa Mahkamah Syariah perlu disegerakan – PPMM

Inisiatif kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas yang diperakui Majlis Raja-Raja dalam usaha memperkasa dan memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah perlu disegerakan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Penubuhan jawatankuasa khas perkasa Mahkamah Syariah perlu disegerakan – PPMM
Foto: Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki.
  • Inisiatif kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas diperakui Majlis Raja-Raja dalam usaha memperkasa dan memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah perlu disegerakan.
  • Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata ia mengambil kira keadaan semasa melibatkan pelbagai cabaran undang-undang dihadapi akibat pertindihan kuasa Negeri dan Persekutuan.
  • “PPMM menegaskan penyelesaian ini perlulah dilaksanakan segera memandangkan sebelum ini terdapat 157 syor cadangan yang disarankan untuk pelaksanaan yang telah diperincikan suatu Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

KUALA LUMPUR — Inisiatif kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas yang diperakui Majlis Raja-Raja dalam usaha memperkasa dan memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah perlu disegerakan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata ia mengambil kira keadaan semasa melibatkan pelbagai cabaran undang-undang dihadapi akibat pertindihan kuasa Negeri dan Persekutuan.

Katanya, perkara itu juga dizahirkan secara jelas melalui titah Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 28 Ogos lalu.

“PPMM menegaskan penyelesaian ini perlulah dilaksanakan segera memandangkan sebelum ini terdapat 157 syor cadangan yang disarankan untuk pelaksanaan yang telah diperincikan suatu Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan sebelum ini. 

“Malah, perkara ini telah lama timbul dan dikenal pasti untuk dicadangkan pindaan-pindaan yang wajar di dalam undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Muhamad Hisham berkata segala usaha penyelesaian melalui syor yang pernah diperincikan perlu dimuktamad dan dilaksanakan supaya pihak kerajaan boleh mengambil tindakan segera demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia.

Beliau menyokong penuh usaha ke arah menyelesaikan isu pertindihan bidang kuasa antara negeri dan Persekutuan itu dan komited untuk memastikan prinsip Perlembagaan Persekutuan terus terpelihara demi keamanan dan keharmonian rakyat negara ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas diperakui Majlis Raja-Raja dalam usaha mengangkat martabat Mahkamah Syariah.

Anwar dilaporkan berkata nama individu yang menganggotai jawatankuasa khas itu telah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja dan mengikut prosesnya mereka perlu berbincang dengan Majlis Agama Islam Negeri dan kerajaan Negeri sebelum memuktamadkan sebarang perkara.

“PPMM menzahirkan penghargaan kepada usaha pihak Kerajaan mengukuhkan pendirian di dalam menyelesaikan perkara ini secara tuntas dan menyeluruh. 

“Selain itu, PPMM juga menyokong penuh usaha untuk memperkasa kuasa Mahkamah Syariah yang sedia melalui jawatankuasa tersebut yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pakar di dalam bidang undang-undang termasuk Syariah,” katanya. — The Merdeka Times

Sumber : Facebook Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Author