Connect with us

Terkini

‘Gerakan Selamatkan Malaysia’ tidak akan goncang kedudukan kerajaan

Himpunan ‘Gerakan Selamatkan Malaysia’ yang dirancang diadakan di hadapan Kompleks Sogo Sabtu ini serentak dengan sambutan Hari Malaysia 2023 tidak akan menggoncang kedudukan kerajaan.

Wartawan TMT

Published

on

‘Gerakan Selamatkan Malaysia’ tidak akan goncang kedudukan kerajaan
Foto: Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari.
  • Himpunan ‘Gerakan Selamatkan Malaysia’ yang dirancang diadakan di hadapan Kompleks Sogo Sabtu ini serentak dengan sambutan Hari Malaysia 2023 tidak akan menggoncang kedudukan kerajaan.
  • Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) meminta kerajaan permudahkan perjalanan himpunan yang bakal disertai anak muda, kesediaan penganjur menukar tempat berhimpun jika diarahkan.
  • “Kalau perlu tukar tempat kami tukar tempat dan sebagainya. Sekadar untuk meluahkan rasa rakyat tidak puas hati dengan isu pengurusan undang-undang pada hari ini. Saya sudah dipanggil oleh pihak polis, tidak ada masalah untuk kita bagi keterangan.
  • “Cuma saya mahu perbetulkan kenyataan perhimpunan perlukan permit. Tidakkah perhimpunan sudah tak perlukan permit, cuma perlukan makluman kepada polis,” katanya berucap pada sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR: Himpunan ‘Gerakan Selamatkan Malaysia’ yang dirancang diadakan di hadapan Kompleks Sogo Sabtu ini serentak dengan sambutan Hari Malaysia 2023 tidak akan menggoncang kedudukan kerajaan.

Justeru, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) meminta kerajaan permudahkan perjalanan himpunan itu yang bakal disertai anak muda, di samping kesediaan penganjur menukar tempat berhimpun jika diarahkan.

“Jadi pihak kerajaan permudahkanlah, tak ramai pun yang mahu berhimpun ini. Kalau datang 10,000 pun masih belum mencukupi untuk menggoncang kerajaan.

“Kami Ahli Parlimen membuat undang-undang. Kita tak akan berkonfrontasi dengan pihak polis, dengan penguat kuasa, tetapi kita minta pihak kerajaan permudahkanlah urusan untuk berhimpun,” katanya berucap pada sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang juga penganjur himpunan itu turut mengesahkan beliau sudah dipanggil polis untuk memberi keterangan mengenai penganjuran berkenaan.

“Kalau perlu tukar tempat kami tukar tempat dan sebagainya. Sekadar untuk meluahkan rasa rakyat tidak puas hati dengan isu pengurusan undang-undang pada hari ini. Saya sudah dipanggil oleh pihak polis, tidak ada masalah untuk kita bagi keterangan.

“Cuma saya mahu perbetulkan kenyataan perhimpunan perlukan permit. Tidakkah perhimpunan sudah tak perlukan permit, cuma perlukan makluman kepada polis,” katanya.

Advertisement

Pagi tadi, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap penganjur dan peserta himpunan itu.

Setakat ini, kata beliau, pihaknya tidak menerima sebarang makluman berhubung himpunan itu seperti yang termaktub di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Katanya juga, mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang perhimpunan perlu membuat permohonan mengikut prosedur di bawah Seksyen 9 (1) APA 2012 dalam tempoh lima hari sebelum acara.

Ahmad Fadhli sebelum ini menjelaskan, himpunan itu antara lain dibuat berikutan keputusan mahkamah yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Sumber: Berita Harian

Author

Terkini

Belanda sekat visa peneroka pelampau Israel

Selepas Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan visa ke atas peneroka pelampau Israel, Belanda juga akan melarang kelompok ekstremis zionis dari memasuki negara itu.

A.R. Khan

Published

on

Belanda sekat visa peneroka pelampau Israel
Foto: Perdana Menteri Belanda, Alexander De Croo.
  • Selepas Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan visa ke atas peneroka pelampau Israel, Belanda juga akan melarang kelompok ekstremis zionis dari memasuki negara itu.
  • Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Belanda, Alexander De Croo pada Rabu ke atas peneroka pelampau Israel di Tebing Barat.
  • Dalam ucapannya di Persidangan Antarabangsa 75 tahun Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat di Universiti Ghent, De Croo menekankan komitmennya untuk melindungi orang awam dari keganasan di Timur Tengah.
  • “Peneroka ekstremis di Tebing Barat akan dilarang memasuki Belanda. Kami akan bekerjasama dengan AS mengenai sekatan menyasarkan individu terlibat dalam tindakan menjejaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Tebing Barat,” kata De Croo dipetik Brussels Times.
  • Kenyataan itu dibuat selepas Setiausaha Negara AS, Antony Blinken mengumumkan langkah sekatan visa semalam.

Selepas Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan visa ke atas peneroka pelampau Israel, Belanda juga akan melarang kelompok ekstremis zionis dari memasuki negara itu.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Belanda, Alexander De Croo pada Rabu ke atas peneroka pelampau Israel di Tebing Barat.

Dalam ucapannya di Persidangan Antarabangsa 75 tahun Deklarasi  Hak Asasi Manusia Sejagat di Universiti Ghent, De Croo menekankan komitmennya untuk melindungi orang awam dari keganasan di Timur Tengah.

Kenyataan itu dibuat selepas Setiausaha Negara AS, Antony Blinken mengumumkan langkah sekatan visa semalam.

“Peneroka ekstremis di Tebing Barat akan dilarang memasuki Belanda. Kami akan bekerjasama dengan AS mengenai sekatan menyasarkan individu terlibat dalam tindakan menjejaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Tebing Barat.

“Kami akan bekerjasama dengan AS berkaitan sekatan ini dan akan mendorong Kesatuan Eropah (EU) untuk mengikutinya,” kata De Croo dipetik Brussels Times.

Sejak serangan dilancarkan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu, keganasan semakin meningkat di Tebing Barat dengan sekurang-kurangnya 258 warga Palestin terbunuh, menurut statistik Pihak Berkuasa Palestin.

Advertisement

Majoritinya terbunuh dalam pertembungan dengan tentera zionis dengan majoriti orang awam menjadi mangsa keganasan tanpa provokasi peneroka pelampau Israel.

Ia juga disebabkan kerajaan sayap kanan Israel yang terdiri daripada peneroka ultranasionalis, mengisyaratkan sokongan terhadap tindakan kumpulan peneroka haram Israel. 

Setakat ini, lebih 17,150 warga Palestin, termasuk lebih 7,000 kanak-kanak, terbunuh dalam tempoh lebih lapan minggu serangan rejim zionis Israel ke atas Gaza, manakala 1,200 orang terkorban di Israel. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending