Terkini
Orang ramai lega kerajaan mempermudah cara ambil lesen memandu
Orang ramai berasa lega dengan keputusan kerajaan memansuhkan keperluan menjalani ujian teori kali kedua untuk memohon lesen dalam kelas berlainan.
- Orang ramai berasa lega dengan keputusan kerajaan memansuhkan keperluan menjalani ujian teori kali kedua untuk memohon lesen dalam kelas berlainan.
- Pengurus Sekolah Memandu Ushawira Roslee Manap yang bersetuju dengan langkah Kementerian Pengangkutan itu berkata tiada keperluan untuk orang ramai mengambil kursus berasingan hanya untuk mendapatkan lesen dalam kelas berlainan.
- “Ia (kursus) tidak perlu dibezakan kerana tidak jauh beza kandungan undang-undang pengangkutan jalan; kepentingan menghadiri Kursus Teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) hanyalah untuk belajar mengawal kenderaan dua tayar (motosikal) dan empat tayar (motokar).
- “Kenapa perlu hadir kursus berasingan dua kali semata-mata untuk tujuan itu? Saya setuju dengan keputusan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke). Ia menjimatkan masa, duit dan tenaga,” katanya kepada BERNAMA ketika dihubungi baru-baru ini.
- Lim Weng Sum, 20, berkata keputusan berkenaan membolehkan dia belajar menunggang motosikal, pada masa sama melakukan kerja sambilan dan meneruskan pengajian.
- Kerani stor Nadia Ibrahim, 31, yang turut bekerja sambilan sebagai penghantar makanan, berkata dia boleh mendapatkan lesen menunggang motosikal tanpa ragu-ragu.
KUALA LUMPUR — Orang ramai berasa lega dengan keputusan kerajaan memansuhkan keperluan menjalani ujian teori kali kedua untuk memohon lesen dalam kelas berlainan.
Pengurus Sekolah Memandu Ushawira Roslee Manap yang bersetuju dengan langkah Kementerian Pengangkutan itu berkata tiada keperluan untuk orang ramai mengambil kursus berasingan hanya untuk mendapatkan lesen dalam kelas berlainan.
“Ia (kursus) tidak perlu dibezakan kerana tidak jauh beza kandungan undang-undang pengangkutan jalan; kepentingan menghadiri Kursus Teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) hanyalah untuk belajar mengawal kenderaan dua tayar (motosikal) dan empat tayar (motokar).
“Kenapa perlu hadir kursus berasingan dua kali semata-mata untuk tujuan itu? Saya setuju dengan keputusan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke). Ia menjimatkan masa, duit dan tenaga,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.
Roslee turut mencadangkan supaya kursus berasingan KPP01 motokar dan motosikal digabungkan bagi mengurangkan pembaziran masa.
“Setiap kursus KPP01 untuk motokar dan motosikal adalah selama enam jam…sebagai contoh, kursus berkenaan boleh digabungkan menjadi tempoh lapan jam. Orang ramai masih perlu menghadiri kursus praktikal berasingan, tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak lagi membazir masa dalam kursus teori,” katanya.
Semalam, Loke mengumumkan berkuat kuasa 15 Sep ini, individu yang telah mempunyai lesen memandu kereta atau motosikal tidak perlu jalani ujian teori kali kedua untuk memohon lesen dalam kelas berlainan.
Loke berkata selain memudahkan cara dan menjimatkan masa pengambilan lesen memandu, langkah itu akan dapat menjimatkan kos sehingga RM100 bagi pemohon lesen.
Lim Weng Sum, 20, berkata keputusan berkenaan membolehkan dia belajar menunggang motosikal, pada masa sama melakukan kerja sambilan dan meneruskan pengajian.
“Sudah tentu menjimatkan masa dan mengurangkan kerisauan. Saya hanya perlu lulus ujian teori sekali dan saya boleh terus menduduki kursus praktikal untuk mendapatkan lesen memandu kereta tanpa perlu mengikuti kursus teori yang panjang tempoh masanya,” katanya.
Kerani stor Nadia Ibrahim, 31, yang turut bekerja sambilan sebagai penghantar makanan, berkata dia boleh mendapatkan lesen menunggang motosikal tanpa ragu-ragu.
“Sejak menjadi rider, memandu kereta agak menyusahkan. Saya perlu memastikan pesanan makanan dihantar tepat pada masanya. Pengumuman MOT ini seumpama penyelamat kerana saya boleh mengambil lesen menunggang motosikal secara terus,” katanya. — BERNAMA
Sumber: Bernama