Terkini
Hanya individu diberi tauliah layak digelar ustaz/ustazah — Mufti Pulau Pinang
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mencadangkan hanya individu diberi tauliah mengajar agama oleh pihak berkuasa agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri sahaja layak digelar ustaz atau ustazah.

- Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mencadangkan hanya individu diberi tauliah mengajar agama oleh pihak berkuasa agama Islam seperti JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri layak digelar ustaz atau ustazah.
- Individu ingin mendapatkan tauliah itu perlu mengikuti temu duga untuk memastikan pencapaian tahap akademiknya mencukupi.
- Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang saranan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berhubung gelaran ustaz mahupun ustazah hanya buat asatizah yang diiktiraf kepakaran ilmunya.
- Senada dengan saranan itu, Wan Salim menegaskan gelaran ustaz atau ustazah tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya.
- Gelaran itu sepatutnya diberikan kepada individu berkelayakan dalam bidang ilmu agama Islam sahaja sebagai pengiktirafan terhadap ketinggian ilmu dimiliki dalam bidang berkenaan.
- “Bukan semua orang kuat pegangan agamanya, rajin beribadah dan berkelakuan baik itu merupakan seorang alim yang boleh dipanggil ustaz (bagi lelaki) atau ustazah (bagi wanita),” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini, semalam.
KUALA LUMPUR — Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mencadangkan hanya individu diberi tauliah mengajar agama oleh pihak berkuasa agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri sahaja layak digelar ustaz atau ustazah.
Katanya, individu yang ingin mendapatkan tauliah itu perlu mengikuti temu duga untuk memastikan pencapaian tahap akademiknya mencukupi.
“Jika kriteria kelayakan seorang guru takmir boleh diguna pakai sebagai piawaian dalam konteks ini maka sekurang-kurangnya seseorang yang layak diberi tauliah mengajar perlu memiliki syahadah empat senawi atau pernah mengikuti pengajian pondok sekurang-kurangnya selama lima tahun di samping lulus temuduga lisan dan tulisan!” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang saranan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berhubung gelaran ustaz mahupun ustazah hanya buat asatizah yang diiktiraf kepakaran ilmunya.
Senada dengan saranan itu, Wan Salim menegaskan gelaran ustaz atau ustazah tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya.
Katanya, gelaran itu sepatutnya diberi kepada individu berkelayakan dalam bidang ilmu agama Islam sahaja sebagai pengiktirafan terhadap ketinggian ilmu dimiliki dalam bidang berkenaan.
“Masyarakat mesti difahamkan di dalam Islam ada perbezaan antara seorang yang soleh dan seorang alim atau antara seorang rajin beribadah dan seorang ilmuwan.
“Bukan semua orang kuat pegangan agamanya, rajin beribadah dan berkelakuan baik itu merupakan seorang alim yang boleh dipanggil ustaz (bagi lelaki) atau ustazah (bagi wanita).
“Seorang alim lazimnya juga merupakan seorang yang soleh, tetapi tidak sebaliknya iaitu seorang soleh tidak semestinya memiliki ilmu agama yang tinggi yang digelar alim,” katanya.
Wan Salim berkata sekiranya ada gelaran lain bagi individu yang rajin beribadah dan berkelakuan baik misalnya ‘Tuan Haji’ atau ‘Tuan Lebai’, maka panggilan itu lebih baik digunakan untuk mengelak daripada berlaku kekeliruan. — The Merdeka Times
