Connect with us

Terkini

Kalimah Allah: Agong zahir kegusaran, titah kerajaan harmonikan keadaan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah “Allah” yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara jika tidak diselesaikan segera.

Wartawan TMT

Published

on

Kalimah Allah: Agong zahir kegusaran, titah kerajaan harmonikan keadaan
Foto: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
  • Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah “Allah” yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara jika tidak diselesaikan segera.
  • Al-Sultan Abdullah bertitah ini memandangkan polemik penggunaan kalimah Allah, bukan merupakan perdebatan berhubung terminologi dan linguistik, sebaliknya berkait isu akidah umat Islam dengan sebarang kekeliruan akan hanya mengundang musibah.
  • “Kerajaan Beta hendaklah mengharmonikan situasi semasa dan pada masa yang sama meletakkan penggunaan kalimah Allah pada konteks yang betul dengan mengambil kira keselamatan negara kemaslahatan ummah dan kedudukan Beta serta Raja-Raja Melayu yang lain sebagai ketua agama Islam,” titah Seri Paduka.
  • Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 di Istana Negara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, semalam.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah “Allah” yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara jika tidak diselesaikan segera.

Al-Sultan Abdullah bertitah ini memandangkan polemik penggunaan kalimah Allah, bukan merupakan perdebatan berhubung terminologi dan linguistik, sebaliknya berkait isu akidah umat Islam dengan sebarang kekeliruan akan hanya mengundang musibah.

“Kerajaan Beta hendaklah mengharmonikan situasi semasa dan pada masa yang sama meletakkan penggunaan kalimah Allah pada konteks yang betul dengan mengambil kira keselamatan negara kemaslahatan ummah dan kedudukan Beta serta Raja-Raja Melayu yang lain sebagai ketua agama Islam,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 di Istana Negara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, semalam.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka bertitah sebarang polemik yang berhubung kait dengan agama jika gagal ditangani dengan segera, adalah umpama sumbu yang akhirnya bakal menyalakan api permusuhan antara kaum.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah dalam berhadapan dengan isu sensitif sedemikian, semua pihak sewajarnya mengambil pendekatan yang bijak, tertib dan disulami dengan semangat toleransi yang tinggi.

Titah Seri Paduka ini selaras dengan prinsip pertama rukun negara iaitu ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’, yang antara lain menekankan bahawa konsep beragama adalah amat penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan ia tidak sewajarnya dijadikan asas kepada pertikaian dan perbalahan.

Al-Sultan Abdullah bertitah ketinggian dan kesucian agama Islam telah sekian lama terpelihara dalam pembentukan negara Malaysia yang merdeka sehingga agama Islam akhirnya didaulatkan sebagai agama Persekutuan di bawah Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Kedudukan agama Islam yang ditempatkan pada darjat yang amat tinggi di dalam Perlembagaan Persekutuan, dicapai menerusi persefahaman dan persetujuan oleh semua pihak ketika negara memperoleh kemerdekaan,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong bertitah perpaduan memerlukan resipi yang efektif dengan hati yang terbuka jiwa yang luhur dan semangat kesetiaan kepada raja serta negara selain, tidak mempersoal dan mencampuri serta memandang rendah urusan dan kepercayaan agama yang diamalkan bangsa lain.

“Demi perpaduan dan masa hadapan negara, sebarang polemik agama hendaklah diselesaikan segera.

“Semangat perpaduan perlu disemai serta dibentuk di rumah, dibaja, disiram dengan pendidikan serta nilai-nilai murni hidup bermasyarakat di bangku sekolah dan seterusnya diperkasa di institusi-institusi pengajian tinggi.

Pada 17 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan memaklumkan Jemaah Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

Bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi, seramai 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023.

Sumber: Bernama

Author

Terkini

(VIDEO) Pengharmonian undang-undang syariah-sivil, apa langkah kerajaan boleh lakukan?

Malaysia dari segi ilmu dan substantif mempunyai bahan-bahan yang mencukupi untuk melaksanakan pengharmonian undang-undang syariah dan sivil di negara ini.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz.
  • Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata semua agensi kerajaan perlu digerakkan untuk menjayakan usaha tersebut sebagaimana ia dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dalam Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia.
  • Ini kerana semua pihak yang terlibat dalam undang-undang itu akan terkesan, sekiranya penambahbaikan undang-undang dilakukan termasuk, pindaan Perlembagaan Persekutuan.
  • “…Usaha (pengharmonian undang-undang) yang berlangsung hampir 40 tahun ini perlu diselaraskan dan cara untuk melaksanakan pengharmonian ini, perlu disusun dengan rapi dan ini memerlukan usaha kerajaan yang berterusan dengan melantik mereka atau agensi yang bertanggungjawab dalam usaha pengharmonian ini.
  • “Kalau ini tidak dilakukan, kita akan bercakap tentang perkara sama walaupun pada 40 tahun akan datang,” katanya ketika ditemui The Merdeka Times di Putrajaya hari ini.
  • Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang langkah atau strategi yang boleh dilakukan kerajaan, khususnya agensi agama, untuk menjayakan usaha pengharmonian undang-undang syariah dan sivil di negara ini .

KUALA LUMPUR — Malaysia dari segi ilmu dan substantif mempunyai bahan-bahan yang mencukupi untuk melaksanakan pengharmonian undang-undang syariah dan sivil di negara ini.

Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata untuk itu semua agensi kerajaan perlu digerakkan untuk menjayakan usaha tersebut sebagaimana ia dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dalam Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia.

Shamrahayu berkata ini kerana semua pihak yang terlibat dalam undang-undang berkenaan akan terkesan sekiranya penambahbaikan undang-undang dilakukan termasuk, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Saya berpendapat bahawa seperti dinyatakan Yang Berhormat Perdana Menteri dalam ucapan perasmian beliau sekejap tadi bahawa pengharmonian undang-undang ini ataupun pelaksanaan keadilan dalam bidang undang-undang ini bukan sesuatu yang mudah.

“Jadi antara perkara saya sering bicarakan sebelum ini pun ialah bagaimana agensi-agensi kerajaan terutamanya perlu menyatupadukan gerak kerja mereka dan meletakkan agenda yang jelas tentang pengharmonian undang-undang.

“…Usaha (pengharmonian undang-undang) yang berlangsung hampir 40 tahun ini perlu diselaraskan dan cara untuk melaksanakan pengharmonian ini, perlu disusun dengan rapi dan ini memerlukan usaha kerajaan yang berterusan dengan melantik mereka atau agensi yang bertanggungjawab dalam usaha pengharmonian ini.

“Kalau ini tidak dilakukan, kita akan bercakap tentang perkara sama walaupun pada 40 tahun akan datang,” katanya ketika ditemui The Merdeka Times di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang langkah atau strategi yang boleh dilakukan kerajaan, khususnya agensi agama, untuk menjayakan usaha pengharmonian undang-undang syariah dan sivil di negara ini.

Ia susulan pembentangan pertama di Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia yang bertajuk, “Mendasari Pengharmonian Syariah-Sivil Ke Arah Pemartabatan Undang-Undang Syariah di Malaysia”, yang telah disampaikan Timbalan Ketua Bahagian, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-undang, Jabatan Peguam Negara, Ramzi Osman.

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata langkah lain yang penting dilaksanakan adalah memahamkan para hakim yang bertugas di mahkamah pada peringkat Persekutuan, bukan hanya hakim mahkamah syariah.

“Satu lagi yang saya fikir tidak disebut ialah untuk memperkasakan institusi-institusi atau personnel yang menyumbang kepada pelaksanaan perundangan di mahkamah syariah terutamanya mereka yang menguatkuasakan undang-undang iaitu pengawai penguatkuasa agama dari segi penyiasatannya dan pendakwaannya. 

“Dan saya fikir jika kedua jawatan ini, penguatkuasa dan pendakwaan ini tidak diperkasakan selaras mahkamah syariah maka ia juga tidak akan mendatangkan keharmonian sepatutnya atau yang terbaiknya dalam penguatkuasaan undang-undang syariah,” katanya.

Shamrahayu berkata pelaksanaan pengharmonian undang-undang syariah dan sivil di negara ini penting kerana ia adalah untuk mencapai keadilan dan supaya negara ini mempunyai identiti perundangannya sendiri.

“Pengharmonian (undang-undang syariah dan sivil) bermaksud untuk kita mencari sesuatu yang sama dan adil, sekarang ini terdapat perbezaan. 

“Contohnya suatu perkara itu dijenayahkan dalam perundangan syariah, tetapi tidak dijenayahkan dalam perundangan yang diamalkan di peringkat Persekutuan… Jadi untuk mencari kebaikan dalam sesuatu undang-undang itu, maka pengharmonian ini perlu dilakukan,” katanya. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending