Connect with us

Terkini

Kerajaan Pusat sekat, lengah urusan kewangan negeri bawah PAS – Hadi Awang

PAS mendakwa, negeri di bawah pentadbiran parti itu, berdepan banyak sekatan apabila urusan kewangan yang wajib mengikut Perlembagaan, perjanjian dan prinsip demokrasi tidak dihormati Kerajaan Pusat.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Kerajaan Pusat sekat, lengah urusan kewangan negeri bawah PAS – Hadi Awang
Foto: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
  • PAS mendakwa, negeri di bawah pentadbiran parti itu, berdepan banyak sekatan apabila urusan kewangan yang wajib mengikut Perlembagaan, perjanjian dan prinsip demokrasi tidak dihormati Kerajaan Pusat.
  • Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mendakwa sekatan itu termasuk dalam isu pemberian royalti petroleum yang mana ia dinafikan kepada negeri yang ditadbir PAS tetapi tidak dinafikan kepada Sarawak dan Sabah.
  • Katanya, kini penafian hak ini dirasai Terengganu, Kedah, dan Perlis yang mana pemberian dilengah-lengahkan dengan pelbagai dalih, bukannya ‘dalil’.
  • “Keseluruhan pengamat politik lawan PAS, termasuk ilmuwan mereka meremehkan perjuangan PAS dalam menegakkan Islam.
  • “Seolah-olah tanpa peduli akan masalah keperluan kehidupan rakyat di negeri yang diperintah oleh PAS seperti air, barangan keperluan, rumah kediaman, dan lain-lain.
  • “Satu anggapan yang tidak matang berpolitik secara tabii,” katanya dalam Minda Presiden di media sosial rasminya, semalam.

KUALA LUMPUR: PAS mendakwa, negeri di bawah pentadbiran parti itu, berdepan banyak sekatan apabila urusan kewangan yang wajib mengikut Perlembagaan, perjanjian dan prinsip demokrasi tidak dihormati Kerajaan Pusat.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mendakwa sekatan itu termasuk dalam isu pemberian royalti petroleum yang mana ia dinafikan kepada negeri yang ditadbir PAS tetapi tidak dinafikan kepada Sarawak dan Sabah.

Katanya, kini penafian hak ini dirasai Terengganu, Kedah, dan Perlis yang mana pemberian dilengah-lengahkan dengan pelbagai dalih, bukannya ‘dalil’.

“Keseluruhan pengamat politik lawan PAS, termasuk ilmuwan mereka meremehkan perjuangan PAS dalam menegakkan Islam.

“Seolah-olah tanpa peduli akan masalah keperluan kehidupan rakyat di negeri yang diperintah oleh PAS seperti air, barangan keperluan, rumah kediaman, dan lain-lain.

“Satu anggapan yang tidak matang berpolitik secara tabii,” katanya dalam Minda Presiden di media sosial rasminya, semalam.

Abdul Hadi berkata, PAS gigih berusaha secara politik mengurus keperluan kehidupan rakyat.

Malah, katanya PAS sudah membuktikan prinsip integriti dan tadbir urus yang beramanah walaupun dengan sumber kewangan yang terhad.

“Sila lihat bahawa UMNO-BN yang kini bersama DAP, pernah memerintah Kelantan pada tahun 1978 hingga 1990 dulu, pada masa mereka bersama Kerajaan Pusat.

“UMNO-BN juga lebih lama di Terengganu dan Kedah pada masa semuanya memiliki kemudahan kewangan.

“Mengapa masalah itu tidak diselesaikan dan terus berkekalan?” soalnya.

Beliau menegaskan, apabila PAS mengambil alih pentadbiran, PAS diperlakukan dengan begitu banyak sekatan atau birokrasi dilengah-lengahkan.

“Mereka tidak pula melakukan sedemikian kepada Singapura ketika berada dalam Malaysia dulu dan terkini kepada Pulau Pinang,” katanya.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, menegaskan PAS adalah parti yang tidak lupa dengan apa yang dilakukan Kerajaan Pusat kini kerana parti itu bukan Melayu yang mudah lupa.

Katanya, apabila PAS mula bertindak pada tahun 1990 dengan membatalkan premis perjudian dan penjualan arak dibenarkan kepada orang bukan Islam saja.

“Dalam keadaan lesennya di bawah Kementerian Kewangan yang menterinya ialah Perdana Menteri terkini yang berslogankan madani, tetapi beliau tidak membantu dan tidak bertindak sama mengikut Islam,” katanya.

Beliau berkata, DAP pula lantang menentang PAS, walaupun langkah dan tindakan yang dilakukan oleh PAS berkait dengan penganut Islam saja tanpa gangguan terhadap orang bukan Islam.

“Begitu pula apabila PAS berta’awun dengan UMNO mencadangkan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 bagi meminda hukuman sebatan kepada hukum Islam yang mendidik, bukan sebatan yang menyeksa mengikut undang-undang Barat.

“Tiba-tiba, usaha ini mendapat tentangan daripada sebahagian UMNO, DAP, dan rakan-rakannya daripada PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan lain-lain,” katanya.

Maka, katanya, beliau tidak terkejut jika UMNO kini bersekongkol dengan DAP membelakangi prinsip perjuangannya.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), menegaskan PAS terus teguh beristiqamah membawa mesej Islam dan menyedari wajib menunaikan kewajipan terhadap segala pembangunan kebendaan tanpa perlu sibuk mengumumkannya.

“Hal ini kerana, sememangnya pembangunan itu wajib ditunaikan sekiranya mempunyai sumber kewangan yang mencukupi,” katanya.

Abdul Hadi juga memberi amaran supaya tidak perlu takut dengan kebangkitan ‘Gelombang Hijau’ yang bersifat menyelamat, bukan berpunca daripada sifat khianat dan dendam.

“Janganlah berfahaman salah dan bodoh; seolah-olah apabila Islam mentadbir, maka hilanglah segala jalan raya, elektrik, air, dan perumahan kerana menganggap Islam itu semata-mata menyentuh hal akhirat saja,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author