Terkini
Perbincangan butiran peraturan kawal selia vape wajar babitkan industri – MVIA
Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) memohon Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membabitkan industri dalam perbincangan membangunkan peraturan dan butiran dalam kawal selia.

- Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) memohon KKM untuk membabitkan industri dalam perbincangan membangunkan peraturan dan butiran dalam kawal selia.
- Presidennya, Rizani Zakaria berkata industri menyokong langkah untuk mengawal selia industri vape dan libat urus dengan pemain industri adalah amat penting kerana peraturan ini bakal dilaksanakan ke atas industri dan butiran dalam peraturan harus dibincangkan bersama semua pihak.
- “Oleh yang demikian, kali ini, kerajaan perlu membuat perbincangan dengan industri dan mengambil kira pandangan dari semua pihak untuk memastikan peraturan yang bakal diperkenalkan adalah sesuai untuk dilaksanakan,” kata Rizani.
KUALA LUMPUR: Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) memohon Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membabitkan industri dalam perbincangan membangunkan peraturan dan butiran dalam kawal selia.
Minggu lalu, Kerajaan telah mengambil langkah pertama untuk mengawal selia industri vape dengan mengecualikan cecair dan gel vape yang mengandungi nikotin daripada Akta Racun dan mengenakan cukai ke atas produk itu.
Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan juga menyatakan bahawa suatu peraturan akan diperkenalkan untuk industri dalam masa terdekat.
Menurut Presiden MVIA, Rizani Zakaria, industri menyokong langkah untuk mengawal selia industri vape dan berkata libat urus dengan pemain industri adalah amat penting kerana peraturan ini bakal dilaksanakan ke atas industri dan butiran dalam peraturan harus dibincangkan bersama semua pihak.
“Industri menyambut baik keputusan Kerajaan untuk mengambil langkah dalam mengawal selia industri vape. Langkah seterusnya adalah untuk memperkenalkan peraturan serta butiran untuk mengawal selia industri ini,” katanya.
Sebelum ini, apabila Kerajaan membentangkan RUU Kawalan Tembakau dan Merokok yang membawa dasar GEG, tentangan hebat telah diberikan bukan sahaja dari industri tetapi dari pakar ekonomi, ilmuan, pakar kesihatan dan ahli parlimen,
“Oleh yang demikian, kali ini, kerajaan perlu membuat perbincangan dengan industri dan mengambil kira pandangan dari semua pihak untuk memastikan peraturan yang bakal diperkenalkan adalah sesuai untuk dilaksanakan,” kata Rizani.
Beliau juga berkata, sejak penubuhan Kerajaan Madani ini, industri dan KKM tidak berpeluang untuk membuat sebarang perbincangan dan industri tidak jelas dengan hala tuju yang bakal ditetapkan untuk industri vape dan produk.
“Sehingga kini, kami tiada sebarang perbincangan serta makluman berkenaan butiran kawal selia yang bakal diperkenalkan. Industri tiada butiran yang jelas dalam kadar nikotin yang dibenarkan, bahan-bahan yang terlarang dalam cecair dan gel vape, serta spesifikasi produk yang dibenarkan untuk jualan dan pemasaran.”
“Dan perkara ini tidak boleh ditangguhkan lagi. Perbincangan harus diadakan sekarang supaya keputusan tidak dibuat terburu-buru yang akan memberikan impak dan kesan kepada pemain industri.
“Pihak industri sedia untuk berbincang dengan KKM untuk mencari penyelesaian dalam perkara ini,” kata Rizani.
Sumber: Berita Harian
