Terkini
Isu tiket mahal: Kerajaan setuju hasrat Sarawak tubuh syarikat penerbangan sendiri
Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan permohonan Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri bagi menangani masalah harga tiket penerbangan Semenanjung-Borneo yang terlalu mahal.
- Ia bagi menangani masalah harga tiket penerbangan Semenanjung-Borneo yang terlalu mahal.
- Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat Kerajaan Sarawak untuk mewujudkan syarikat penerbangan butik itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, Rabu ini.
- “Saya menerima cadangan penubuhan syarikat penerbangan butik itu bagi membantu menangani kos penerbangan (antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak) yang terlalu tinggi.
- “Kerajaan Sarawak mendepani banyak hal seperti kenderaan elektrik, hidrogen serta gas, dan dengan prestasi ditunjukkan, kita bersetuju dengan permohonan untuk menubuhkan syarikat penerbangan butik,” katanya pada Majlis Perasmian Raia Hotel and Convention Centre Kuching serta Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Anak Yatim di sini hari ini.
KUCHING: Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan permohonan Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri bagi menangani masalah harga tiket penerbangan Semenanjung-Borneo yang terlalu mahal.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat Kerajaan Sarawak untuk mewujudkan syarikat penerbangan butik itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, Rabu ini.
Perdana Menteri berkata, beliau juga sudah beberapa kali mengutarakan isu penerbangan antara wilayah itu, dalam perbincangan dengan Jemaah Menteri serta majlis di Universiti Teknologi MARA (UiTM), baru-baru ini.
“Saya menerima cadangan penubuhan syarikat penerbangan butik itu bagi membantu menangani kos penerbangan (antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak) yang terlalu tinggi.
“Kerajaan Sarawak mendepani banyak hal seperti kenderaan elektrik, hidrogen serta gas, dan dengan prestasi ditunjukkan, kita bersetuju dengan permohonan untuk menubuhkan syarikat penerbangan butik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perasmian Raia Hotel and Convention Centre Kuching serta Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Anak Yatim, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg; dua Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; serta Pengerusi Urusharta Jamaah Property Management Sdn Bhd (UJPM), Datuk Othman Semail.
Dalam pada itu, Anwar turut memuji pengurusan dalam pentadbiran Kerajaan Sarawak, dan berpandangan ia harus menjadi contoh kepada negeri lain.
“Sarawak menunjukkan prestasi pengurusan yang cukup cemerlang, dan ia harus dicontohi negeri lain.
“Pengurusan kerajaan negeri yang lemah bukan saja akan membebankan Kerajaan Persekutuan tetapi juga akan membebankan rakyat negeri itu sendiri,” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau yakin dengan prestasi cemerlang itu, Kerajaan Sarawak mampu menguruskan syarikat penerbangan butik yang dirancang berkenaan.
“Menguruskan syarikat penerbangan bukannya mudah dan memerlukan pengalaman tetapi melihat prestasi Kerajaan Sarawak, saya setuju kerana yakin mereka boleh melakukannya,” katanya.
Terdahulu, Abang Johari dalam ucapannya meminta Anwar mempertimbangkan permohonan Kerajaan Sarawak itu.
Beliau berkata, Sarawak kini menjadi tumpuan pelawat, termasuk dari Semenanjung untuk melancong ataupun urusan perniagaan, namun masalah utama dihadapi adalah berkaitan penerbangan.
“Tidak ada cara lain yang mudah untuk ke Borneo kecuali dengan menaiki kapal terbang, namun masalahnya ialah tiket penerbangan terlalu mahal.
“Sekarang harga tiket penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur hampir sama dengan harga dari Kuala Lumpur ke Hong Kong,” katanya.
Abang Johari menjelaskan, hasrat Kerajaan Sarawak menubuhkan syarikat penerbangan butik itu bukan untuk bersaing dengan syarikat penerbangan sedia ada, namun bagi menstabilkan harga tiket.
“Oleh itu, Kerajaan Sarawak sudah bersedia untuk melabur dalam syarikat penerbangan kecil bagi merealisasikan hasrat berkenaan,” katanya.
Sumber: Berita Harian