Terkini
Ambil langkah tegas kawal selia jualan vape, elak manipulasi sindiket dadah
Kerajaan perlu mengambil langkah tegas dalam memastikan penjualan serta pengedaran cecair rokok elektronik – vape – tidak disalah guna sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah.

- Kerajaan perlu mengambil langkah tegas dalam memastikan penjualan serta pengedaran cecair rokok elektronik vape tidak disalah guna sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah.
- Pensyarah Kanan Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang UPNM, Dr Amer Fawwaz Mohamad Yasid berkata, modus operandi sindiket adalah dengan mencampurkan dadah ke dalam cecair perisa rokok elektronik sebelum menghantar bekalan berkenaan kepada pengguna.
- Sindiket pengedaran dadah mengambil kesempatan di sebalik trend menghisap vape untuk mengaburi pihak berkuasa bagi mengedar dadah.
- Beliau bimbang sindiket dadah menjadikan golongan remaja dan belia sebagai sasaran kerana sifat ingin tahu yang tinggi serta keinginan mereka untuk mencuba perkara baharu.
BANGI – Kerajaan perlu mengambil langkah tegas dalam memastikan penjualan serta pengedaran cecair rokok elektronik – vape – tidak disalah guna sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah.
Pensyarah Kanan Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang UPNM, Dr Amer Fawwaz Mohamad Yasid berkata, modus operandi sindiket adalah dengan mencampurkan dadah ke dalam cecair perisa rokok elektronik sebelum menghantar bekalan berkenaan kepada pengguna.
“Sindiket pengedaran dadah mengambil kesempatan di sebalik trend menghisap vape untuk mengaburi pihak berkuasa bagi mengedar dadah.
“Dadah diproses dalam bentuk cecair seperti methamphetamine, morfin ataupun ganja dapat dimasukkan ke dalam cecair vape.
“Ia sekali gus memudahkan pengguna untuk menghisap dadah secara terus tanpa menggunakan suntikan jarum ataupun menghisap secara biasa,” katanya.
Beliau bimbang sindiket dadah menjadikan golongan remaja dan belia sebagai sasaran kerana sifat ingin tahu yang tinggi serta keinginan mereka untuk mencuba perkara baharu.
“Gejala itu sekiranya tidak dibanteras menyeluruh, ia mungkin akan menyebabkan berlakunya epidemik penagihan dadah kepada remaja terutama pelajar di peringkat menengah serta pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya dalam artikel disiarkan di Berita Harian.
Beliau turut memberikan cadangan kepada pihak kerajaan berkaitan langkah yang boleh diambil bagi mengawal penyeliaan jualan vape.
“Antara langkah wajar dilaksanakan adalah melalui sistem kawalan bersepadu oleh KDN bagi prosedur penjualan dan pengedaran rokok elektronik serta cecair vape di pasaran.
“Pada masa sama, kerajaan boleh menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau penjualan rokok elektronik di pasaran.
“Namun, pendidikan awal berkaitan amalan menghisap rokok elektronik perlu diketengahkan kepada murid sekolah rendah, menegah serta pelajar IPT untuk memberikan kesedaran berkaitan kesan menghisap rokok elektronik terhadap kesihatan manusia,” katanya.
Sumber: Ismaweb
