Connect with us

Terkini

OPR dijangka naik 3 peratus Mei ini

Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka dibuat pada Mei ini selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah di luar jangkaan mengekalkannya pada paras 2.75 peratus Januari lalu, demikian menurut Standard Chartered.

Wartawan TMT

Published

on

OPR dijangka naik 3 peratus Mei ini
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Ketua Ahli Ekonomi ASEAN dan Asia Selatan Standard Chartered Bank (Singapore) Limited, Edward Lee menjangkakan BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus Mei ini.
  • Bagaimanapun Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM akan mengekalkan kadar penanda aras pinjaman dan deposit itu pada paras semasa pada mesyuaratnya 9 Mac ini.
  • Memandangkan subsidi masih ada, inflasi Januari menyederhana sedikit, dan dengan hanya satu bulan data sejak Januari, BNM diunjur mengekalkan pendirian tunggu dan lihat untuk menilai kesan pelarasan OPR terkumpul yang lalu.

KUALA LUMPUR: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka dibuat pada Mei ini selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah di luar jangkaan mengekalkannya pada paras 2.75 peratus Januari lalu, demikian menurut Standard Chartered.

Ketua Ahli Ekonomi ASEAN dan Asia Selatan Standard Chartered Bank (Singapore) Limited, Edward Lee, berkata pihaknya menjangkakan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM akan mengekalkan kadar penanda aras pinjaman dan deposit itu pada paras semasa pada mesyuaratnya 9 Mac ini.

Beliau berkata, memandangkan subsidi masih ada, inflasi Januari menyederhana sedikit, dan dengan hanya satu bulan data sejak Januari, BNM diunjur mengekalkan pendirian tunggu dan lihat untuk menilai kesan pelarasan OPR terkumpul yang lalu.

Justeru, pihaknya akan memerhatikan penilaian BNM terhadap pertumbuhan domestik dan prospek perkembangan inflasi.

“Walaupun bank pusat menghentikan seketika pada Januari (menaikkan OPR), nada penyataan dasar monetari adalah tidak lembut.

“BNM mempunyai penilaian positif terhadap ekonomi domestik dan membiarkan ruang terbuka untuk kenaikan selanjutnya,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Mengulas lanjut, Lee berkata, pihaknya mengekalkan jangkaannya bahawa BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus Mei ini.

Beliau berkata, jangkaan itu berdasarkan kemungkinan rasionalisasi subsidi bahan api pada separuh kedua, yang mungkin mengecualikan kumpulan pendapatan 20 peratus teratas (T20) daripada subsidi bahan api.

Katanya, berdasarkan andaian harga minyak AS$80 setong oleh Kementerian Kewangan (MoF), pihaknya menganggarkan bahawa pemansuhan subsidi bahan api untuk kumpulan pendapatan T20 akan menambah 0.5 mata peratusan kepada inflasi setiap tahun.

Januari lalu, BNM menerusi MPC membuat keputusan mengejut dengan mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut tahun lalu.

OPR dinaikkan bermula Mei, Julai, September dan November tahun lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Terkini

Gangguan IT global jejaskan operasi penerbangan, bank, media & hospital

Institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, media dan hospital di beberapa negara dilaporkan terjejas akibat gangguan siber besar-besaran, menurut beberapa laporan media melalui platform X.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • “Kegagalan siber global: Platform keselamatan siber CrowdStrike mengalami kejatuhan di seluruh dunia, menyebabkan masalah IT global, gangguan dalam syarikat penerbangan antarabangsa, bank dan saluran media,” menurut agensi berita Sputnik melalui akaun X @SputInt.
  • Agensi Anadolu (AA) pada platform X @anadoluagency melaporkan hospital dan perkhidmatan kesihatan juga telah terjejas oleh kegagalan pelayan, dengan Kementerian Kesihatan Israel mengesahkan gangguan tersebut.
  • Perkhidmatan MAHB tidak terjejas oleh gangguan IT global yang mengakibatkan gangguan perjalanan besar di Eropah, Amerika Syarikat dan lapangan terbang Australia.
  • Syarikat penerbangan tambang rendah tempatan AirAsia berkata walaupun ia mengalami gangguan sistem dalaman, tiada pembatalan penerbangan.

KUALA LUMPUR — Institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, media dan hospital di beberapa negara dilaporkan terjejas akibat gangguan siber besar-besaran, menurut beberapa laporan media melalui platform X.

“Kegagalan siber global: Platform keselamatan siber CrowdStrike mengalami kejatuhan di seluruh dunia, menyebabkan masalah IT global, gangguan dalam syarikat penerbangan antarabangsa, bank dan saluran media,” menurut agensi berita Sputnik melalui akaun X @SputInt.

BBC pada akaun X @BBCBreaking melaporkan bahawa gangguan IT secara besar-besaran telah menyebabkan pesawat tidak boleh berlepas dan menjejaskan bank, penyiar dan perniagaan di seluruh dunia.

Akaun X Bloomberg @business melaporkan bahawa satu siri gangguan teknikal, yang dicetuskan oleh gangguan Microsoft dilaporkan, mengganggu perkhidmatan di seluruh dunia, menjejaskan sektor daripada syarikat penerbangan hingga perbankan.

Agensi Anadolu (AA) pada platform X @anadoluagency melaporkan bahawa hospital dan perkhidmatan kesihatan juga telah terjejas oleh kegagalan pelayan, dengan Kementerian Kesihatan Israel mengesahkan gangguan tersebut.

Di Australia, Al Jazeera di X @AJEnglish melaporkan gangguan IT besar yang menjejaskan bank, telekomunikasi, saluran media dan syarikat penerbangan.

Juga di Australia, Lapangan Terbang Melbourne melalui akaun Xnya @MelAir berkata bahawa ia sedang mengalami isu teknologi global yang memberi kesan kepada prosedur daftar masuk untuk beberapa syarikat penerbangan.

Frontier Airlines melalui @FlyFrontier melaporkan kesan gangguan Microsoft pada sistem mereka, menjejaskan tempahan, daftar masuk, akses kepada pas masuk dan beberapa penerbangan.

Sementara itu, perkhidmatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak terjejas oleh gangguan IT global yang mengakibatkan gangguan perjalanan besar di Eropah, Amerika Syarikat serta lapangan terbang Australia.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan tambang rendah tempatan AirAsia berkata walaupun ia mengalami gangguan sistem dalaman, tiada pembatalan penerbangan.

Difahamkan Malaysia Airlines juga tidak terjejas.

Walaupun nampaknya tiada pembatalan setakat ini, penerbangan ke destinasi yang terjejas akibat gangguan global boleh menjejaskan penerbangan Malaysia Airlines. — BERNAMA/Harian Metro

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending