Terkini
Muslim diharamkan masuk rumah ibadat agama lain tanpa keperluan – Mufti Pulau Pinang
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menasihati umat Islam agar menghindarkan diri dari terdedah kepada rumah ibadat agama lain.

- “Haram juga bagi seorang Muslim memasuki gereja atau rumah ibadat orang bukan Islam tanpa sebarang keperluan,” – Mufti Pulau Pinang
- Lebih-lebih lagi jika program itu terdapat perkara-perkara mungkar seperti tarian, pendedahan aurat, hidangan arak, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.
- Harus bagi seorang Muslim yang mantap keimanannya untuk memasuki rumah ibadat orang bukan Islam jika ada tujuan berdakwah atau berdialog secara baik.
- Umat Islam digalakkan hormat-menghormati masyarakat bukan Islam untuk menjamin kesejahteraan hidup bersama.
KUALA LUMPUR – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menasihati umat Islam agar menghindarkan diri dari terdedah kepada rumah ibadat agama lain.
Wan Salim berkata tindakan itu boleh mendatangkan dosa atau menjejaskan iman umat Islam.
Menurutnya, tidak diharuskan atau haram bagi seorang Muslim yang kurang mantap keimanannya kepada agama Islam memasuki gereja.
“Atau mana-mana rumah ibadat orang bukan Islam kerana dibimbangi perbuatan ini akan merosakkan aqidah Islamiyyahnya!
“Haram juga bagi seorang Muslim memasuki gereja atau rumah ibadat orang bukan Islam tanpa sebarang keperluan,” katanya kepada The Merdeka Times ketika dihubungi minggu ini.
Beliau menjelaskan lebih-lebih lagi jika program itu terdapat perkara-perkara mungkar atau maksiat.
Antaranya, tarian, pendedahan aurat, hidangan arak, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan atau sebagainya.
“Malah hukum haram ini tidak terhad kepada rumah-rumah ibadat sahaja tetapi meliputi semua tempat yang didapati kemungkaran dan maksiat,” katanya.
Selain itu, harus bagi seorang Muslim yang mantap keimanannya untuk memasuki rumah ibadat orang bukan Islam jika ada tujuan berdakwah atau berdialog secara baik.
Tambah Wan Salim, ini bagi menjinakkan hati orang bukan Islam kepada agama Islam dan umatnya.
“Walaupun demikian, saya amat menggalakkan umat Islam supaya sentiasa menghormati warganegara Malaysia yang bukan beragama Islam.
“Hubungan yang harmoni, bertoleransi dan saling memahami antara satu sama lain adalah amat penting untuk menjamin kesejahteraan hidup semua pihak di dalam sebuah negara yang rakyatnya berbeza keturunan, agama dan budaya,” katanya.
Sejak Isnin, tular di media sosial Impact Malaysia yang didakwa mempunyai agenda tersembunyi ‘mengajak’ kepada golongan Muslim untuk menziarahi gereja pada 18 Mac ini.
Program yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu menjemput belia bertujuan memberi pendedahan mengenai persamaan dan perbezaan agama lain menerusi aktiviti lawatan serta kesukarelawan.
Bagaimanapun pada Selasa, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilaporkan menolak tuduhan Jom Ziarah menyama ratakan semua agama. – The Merdeka Times
Antarabangsa
Kumpulan hak asasi manusia tuduh Beijing bunuh,dera etnik Uyghur Muslim di kem tahanan Xinjiang
Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.

- Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.
- Kumpulan hak asasi manusia menuduh Beijing melakukan penderaan, termasuk buruh paksa, pengawasan besar-besaran dan menempatkan sejuta atau lebih etnik Uyghur yang kebanyakan Islam dalam rangkaian kem tahanan di Xinjiang.
- Keadaan di Xinjiang ‘sepatutnya memberi amaran kepada dunia mengenai kepimpinan di bawah PKC’.
- Panel Dewan mendengar pengalaman diceritakan seorang wanita Uyghur, Gulbahar Haitiwaji yang berkongsi dia menghadapi penderaan dan pendidikan patriotik yang dipaksa sepanjang berada di dalam kem tersebut.
WASHINGTON: Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.
Kumpulan hak asasi manusia menuduh Beijing melakukan penderaan, termasuk buruh paksa, pengawasan besar-besaran dan menempatkan sejuta atau lebih etnik Uyghur yang kebanyakan Islam dalam rangkaian kem tahanan di Xinjiang.
Ahli Kongres, Mike Gallagher yang juga Pengerusi Republikan Jawatankuasa Pilihan Dewan Perwakilan mengenai Parti Komunis China (PKC), memberitahu pemberita sebelum perbicaraan, keadaan di Xinjiang ‘sepatutnya memberi amaran kepada dunia mengenai kepimpinan di bawah PKC’.
China bersungguh-sungguh menafikan penderaan di Xinjiang dan berkata, ia menubuhkan ‘pusat latihan vokasional’ untuk membendung keganasan, pemisahan dan radikalisme agama.
Perbicaraan itu adalah yang terbaru dalam siri acara yang dirancang untuk dua tahun akan datang, manakala Republikan yang mengawal Dewan Perwakilan untuk meyakinkan rakyat Amerika, bahawa mereka perlu mengambil berat untuk menyaingi China dan untuk ‘memisahkan secara terpilih’ ekonomi negara.
Panel Dewan mendengar pengalaman yang diceritakan seorang wanita Uyghur, Gulbahar Haitiwaji yang bercakap melalui penterjemah, apa yang dikatakannya selama bertahun-tahun di kem di mana dia menghadapi penderaan dan pendidikan patriotik yang dipaksa.
Etnik Uzbekistan, Qelbinur Sidik yang ditugaskan sebagai guru di kem sedemikian melalui penterjemah, turut menggambarkan keadaan seperti penjara yang menurutnya tahanan menghadapi penyeksaan dan soal siasat.
Kedua-dua wanita itu berjaya melakukan perjalanan ke Eropah dan kini mereka menetap di sana.
Keterangan juga didengar daripada peguam terkemuka Amerika Uyghur, Nury Turkel dan penyelidik Jerman, Adrian Zenz, yang berusaha mendokumentasikan tahap kem tahanan di Xinjiang dan Naomi Kikoler dari Muzium Memorial Holocaust AS.
Jurucakap Kedutaan China di Washington, Liu Pengyu, berkata saksi yang dirancang jawatankuasa itu telah ‘mencipta pembohongan berkaitan Xinjiang’ berdasarkan motif politik tersembunyi.
“Kami berharap rakyat Amerika dapat mengenali wajah sebenar pasukan anti-China ini dan tidak terpedaya dengan khabar angin dan pembohongan,” kata Liu sambil menambah, hak asasi manusia semua kumpulan etnik di Xinjiang sudah ‘dilindungi sepenuhnya’.
Kerajaan AS dan parlimen di Britain, Kanada dan negara lain menyifatkan pencegahan kelahiran dan dasar penahanan besar-besaran China di Xinjiang sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu menyatakan China mungkin sudah melakukan jenayah terhadap kemanusiaan di rantau itu.
Jawatankuasa dwipartisan tidak akan menulis undang-undang tetapi akan membuat cadangan dasar, pada garis masa keras terhadap China adalah salah satu daripada beberapa dasar dengan sokongan dwipartisan dalam Kongres AS yang sangat berpecah belah.
Kikoler dari muzium holocaust berkata, kerajaan China menggunakan taktik halus untuk ‘memusnahkan orang Uyghur dengan sengaja’ termasuk pengawasan dan penahanan besar-besaran, penyeksaan, pemindahan kanak-kanak dan mengehadkan kelahiran.
Zenz berkata, walaupun kerajaan China mengatakan pihaknya menutup kem di Xinjiang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun ia adalah pusat ‘pendidikan semula’ keselamatan rendah, selain ada perluasan serentak penjara dengan keselamatan lebih tinggi atau kemudahan buruh paksa.
“Kita boleh mengandaikan ratusan ribu sudah dipindahkan ke kemudahan ini, yang telah diperluaskan secara dramatik,” katanya sambil menyatakan terdapat tanda-tanda tahanan beramai-ramai memuncak pada 2018. – REUTERS
Sumber: Berita Harian
-
Antarabangsa2 days ago
10 hakim berdepan hukuman mati di Arab Saudi
-
Terkini2 days ago
Larangan ke gereja adalah manifestasi disiplin Islam
-
Antarabangsa2 days ago
Kumpulan hak asasi manusia tuduh Beijing bunuh,dera etnik Uyghur Muslim di kem tahanan Xinjiang
-
Antarabangsa2 days ago
Peguam nafi Zakir Naik diusir dari Oman