Connect with us

Terkini

Bekalan ayam, telur dijamin cukup sepanjang Ramadan dan Syawal

Rakyat dinasihatkan tidak perlu risau kerana bekalan ayam dan telur menjelang bulan Ramadan dan Syawal cukup di seluruh negara.

Wartawan TMT

Published

on

Bekalan ayam, telur dijamin cukup sepanjang Ramadan dan Syawal
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, kementeriannya peka dan sentiasa bersedia dengan langkah proaktif bagi memastikan bekalan makanan itu mencukupi.
  • “FAMA sebagai salah satu agensi di bawah kementerian ini telah memainkan peranan proaktif contohnya mereka pernah membawa telur dari negeri lain ke negeri Pantai Timur yang memerlukan supaya keperluan setempat dipenuhi.
  • “Jadi saya mahu beritahu rakyat, jangan risau sangat. Kita selalu memainkan peranan terbaik,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat FAMA di Selayang.

KUALA LUMPUR: Rakyat dinasihatkan tidak perlu risau kerana bekalan ayam dan telur menjelang bulan Ramadan dan Syawal cukup di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, kementeriannya peka dan sentiasa bersedia dengan langkah proaktif bagi memastikan bekalan makanan itu mencukupi.

Katanya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga telah mengambil beberapa langkah penting dalam usaha menjamin bekalan ayam dan telur.

“Setakat ini kementerian peka dengan isu bekalan ini. Kita mendapati bekalan masih mencukupi untuk pasaran pada masa ini.

“FAMA sebagai salah satu agensi di bawah kementerian ini telah memainkan peranan proaktif contohnya mereka pernah membawa telur dari negeri lain ke negeri Pantai Timur yang memerlukan supaya keperluan setempat dipenuhi.

“Jadi saya mahu beritahu rakyat, jangan risau sangat. Kita selalu memainkan peranan terbaik,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat FAMA di Selayang.

Mendepani cabaran dalam segmen keterjaminan makanan, FAMA bersedia dalam memastikan ketersediaan agromakanan atau rantaian pemasaran agromakanan hingga ke pengguna terus diperkasa.

Sehingga Februari lalu, FAMA telah membangunkan 1,568 outlet peruncitan dan 57,108 usahawan dan mencatatkan nilai jualan RM387 juta.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Datuk Mohamad Mustahapa Awang, berkata, FAMA meningkatkan perkhidmatan dalam membantu para usahawan tani untuk memasarkan produk pertanian melalui outlet-outlet peruncitannya yang berada di seluruh negara di samping membantu pengguna untuk ketersediaan produk agromakanan di pasaran sentiasa mencukupi.

“Mengambil contoh situasi kekurangan bekalan komoditi telur ayam, FAMA mengambil langkah proaktif dalam mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dan berbincang untuk memasarkan komoditi telur ayam ke seluruh negara.

“Dari November 2022 sehingga 21 Mac 2023, FAMA telah mengedarkan sejumlah 18.06 juta biji telur ayam ke seluruh negara dan dipasarkan melalui 369 outlet peruncitan FAMA,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia

Author

Terkini

Kerajaan terbuka bangunkan tanah wakaf asalkan tepati hukum syarak

Kerajaan dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bersifat terbuka dalam apa jua langkah bagi membangunkan tanah wakaf di Malaysia, asalkan ia memberi manfaat kepada seluruh masyarakat dan menepati hukum syarak termasuk memenuhi niat pewakaf.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
  • Kerajaan dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bersifat terbuka dalam apa jua langkah bagi membangunkan tanah wakaf di Malaysia, asalkan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat dan menepati hukum syarak, termasuk memenuhi niat pewakaf.
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata selain itu, semua pembangunan tanah wakaf perlu mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa seperti Kanun Tanah Negara.
  • Mohd Na’im menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang ingin tahu langkah kerajaan mengawal selia pembangunan tanah wakaf dalam memacu ekonomi Islam serta statistik hasil wakaf harta dan wakaf tunai sepanjang 2022 hingga 2024.
  • Berdasarkan statistik, kutipan wakaf tunai meningkat daripada RM67.19 juta pada 2020 kepada RM106 juta pada 2022, menunjukkan pembangunan wakaf semakin mendapat perhatian umum, khususnya dalam aspek pembangunan hartanah wakaf dan pengenalan produk-produk wakaf.

KUALA LUMPUR — Kerajaan dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bersifat terbuka dalam apa jua langkah bagi membangunkan tanah wakaf di Malaysia, asalkan ia memberi manfaat kepada seluruh masyarakat dan menepati hukum syarak termasuk memenuhi niat pewakaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata selain itu, semua pembangunan tanah wakaf perlu mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa seperti Kanun Tanah Negara.

Katanya dalam urusan mengawal selia pembangunan tanah wakaf di Malaysia bagi memacu ekonomi Islam, kerajaan sentiasa menunjukkan komitmen menerusi penyediaan peruntukan pembangunan dalam setiap Rancangan Malaysia.

“Di samping itu, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) selaku agensi Persekutuan yang membantu MAIN dalam urusan pembangunan wakaf turut menyediakan garis panduan dan manual tadbir urus wakaf seperti Manual Pengurusan Model Perundangan Wakaf.

“Kerjasama dan kolaborasi strategik turut digalakkan antara sektor awam dan swasta. Agensi Persekutuan seperti JAWHAR dan YWM (Yayasan Waqaf Malaysia) giat melaksanakan libat urus bersama semua MAIN dengan penglibatan sektor korporat dan badan bukan Kerajaan (NGO),” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Negara pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang ingin tahu langkah kerajaan untuk mengawal selia pembangunan tanah wakaf dalam memacu ekonomi Islam serta statistik hasil wakaf harta dan wakaf tunai sepanjang 2022 hingga 2024.

Mohd Na’im berkata berdasarkan statistik, kutipan wakaf tunai meningkat daripada RM67.19 juta pada 2020 kepada RM106 juta pada 2022, menunjukkan pembangunan wakaf semakin mendapat perhatian umum, khususnya dalam aspek pembangunan hartanah wakaf dan pengenalan produk-produk wakaf.

Bagi kutipan dana Wakaf Tunai Malaysia di bawah YWM pula, beliau berkata ia berjumlah RM12.8 juta sepanjang tempoh 2022 hingga Mei lepas dengan hasil sumbangan adalah daripada masyarakat dan pihak korporat, sama ada melalui potongan gaji atau secara sekali beri (one-off).

Selain itu, menurutnya, kerjasama agensi Persekutuan dan negeri dalam mengurus aset-aset wakaf seperti The Grand Puteri Hotel di Terengganu dan Puteri Bay Hotel Melaka turut berjaya menjanakan pendapatan kasar berjumlah RM22.8 juta, sepanjang tempoh 2022 hingga Mei lepas.

Bagi Wilayah Persekutuan pula, Mohd Na’im berkata sehingga Jun 2024, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menguruskan 89 lot (64.67 ekar) hartanah wakaf yang terdiri dari 64 lot hartanah wakaf khas dan 25 lot hartanah wakaf am.

“Dalam konteks pengurusan hartanah wakaf, MAIWP menguruskan 38 premis hartanah wakaf sedia ada terdiri daripada 23 rumah (bertanah), 1 buah rumah (bukan bertanah), tiga lot kedai dan sebuah bangunan komersial.

“Selain premis, MAIWP juga menguruskan 51 lot tanah terdiri dari 21 lot tanah kosong, 12 lot tapak masjid, sembilan lot tapak surau atau madrasah, lima tapak perkuburan dan empat tapak sekolah,” katanya menambah perancangan pembangunan juga sudah dibuat ke atas 21 lot tanah kosong termasuk di Setiawangsa dan Setapak. — BERNAMA

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending