Connect with us

Terkini

(VIDEO) Bayaran haji akan dinaikkan setiap tahun demi kelangsungan TH

Lembaga Tabung Haji (TH) akan menaikkan kadar bayaran haji pada setiap tahun untuk memastikan kelestarian HAFIS (Bantuan Kewangan Haji) dan kesinambungan institusi itu sendiri.

Hidayah Sani

Published

on

Bayaran haji akan dinaikkan setiap tahun demi kelangsungan TH
Foto: Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Sri Amrin Awaluddin (tengah).
  • Lembaga Tabung Haji (TH) akan menaikkan kadar bayaran haji pada setiap tahun untuk memastikan kelestarian HAFIS (Bantuan Kewangan Haji) dan kesinambungan institusi itu sendiri.
  • “Sekarang ini subsidi haji sudah 60 peratus daripada pembiayaan jadi untuk kesinambungan HAFIS dan Tabung Haji kita perlu laksanakan kenaikan bayaran setiap tahun,” – Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Sri Amrin Awaluddin.
  • TH bagaimanapun akan terus menyediakan subsidi haji atau bantuan kewangan haji tapi pada kadar yang institusi itu dan pendeposit mampu.
  • Peningkatan berterusan Bantuan Kewangan Haji pada setiap tahun akan memberi impak negatif kepada agihan keuntungan TH pada masa hadapan.
  • TH akan terus memohon Arab Saudi untuk menambah kuota jemaah haji Malaysia pada masa sama TH mengkaji bayaran haji setiap tahun dalam usaha memudahkan urusan penggiliran haji.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) akan menaikkan kadar bayaran haji pada setiap tahun untuk memastikan kelestarian HAFIS (Bantuan Kewangan Haji) dan kesinambungan institusi itu sendiri.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Sri Amrin Awaluddin berkata TH bagaimanapun akan terus menyediakan subsidi haji atau Bantuan Kewangan Haji tapi pada kadar yang institusi itu dan pendeposit mampu biayai.

“Sekarang ini subsidi haji sudah 60 peratus daripada pembiayaan jadi untuk kesinambungan HAFIS dan Tabung Haji kita perlu laksanakan kenaikan bayaran setiap tahun,” katanya dalam sidang media pengumuman kos, bayaran dan bantuan kewangan haji 2023 di Menara TH, Tun Razak di sini pada Isnin.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Haji, TH, Datuk Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Pengurus Besar Pengurusan Haji Lembaga TH, Nurrin Anuwar Shamsuddin.

Amrin berkata peningkatan berterusan Bantuan Kewangan Haji pada setiap tahun akan memberi impak negatif kepada agihan keuntungan TH pada masa hadapan.

Beliau berkata tahun lalu surat tawaran haji ada mengemukakan pertanyaan sama ada jemaah haji ingin menerima atau menolak HAFIS di mana jika jemaah haji memilih untuk tidak menerima maka mereka boleh membuat bayaran penuh haji.

“Contohnya, bayaran haji tahun ini RM10,980 dan kos keseluruhan RM30,850 jadi kita tanya nak HAFIS ke tidak, kalau nak HAFIS bayar RM10,980 kalau tak nak kena bayar penuh iaitu RM30,850,” katanya.

Amrin berkata, tahun ini TH turut mengeluarkan surat tawaran dan memperkenalkan tujuh peringkat kadar pembayaran haji yang boleh dipilih jemaah haji di dalam surat tawaran berkenaan.

Katanya, surat tawaran haji bagi jemaah 2023 akan dikeluarkan bermula Rabu ini iaitu 22 Mac 2023 secara berperingkat.

“Sebagai contoh, M40 yang kena bayar RM15,980 tapi mereka merasakan nak lebih ikhlas, ingin ikut tuntutan agama dari segi istito’ah, keberkatan dan mabrur dengan itu dia rasa tak naklah bayar haji RM15,800 (nak bayar lebih).

“… tapi (dalam masa sama) dia tak mampu nak bayar RM30,850 jadi dalam surat itu ada lagi lapisan untuk bayar (jumlah lain) seperti RM17,000, RM19,000, RM21,000, RM24,000 dan sebagainya. 

“Itu tak semestinya dia perlu bayar RM15,980 atau bayar penuh dan ini beri ruang kepada jemaah haji (buat pilihan) serta sedikit sebanyak membantu semula TH mengurangkan jumlah HAFIS yang akan ditanggung (400 juta) tahun ini,” katanya.

Menurutnya, tahun lalu ramai juga jemaah haji dalam kalangan B40 yang sepatutnya membayar RM10,980 tetapi memilih bayar penuh (RM28,632) untuk mendapatkan haji mabrur dan mengurangkan HAFIS.

Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh penggiliran, TH akan terus memohon bantuan kepada Arab Saudi untuk menambah kuota jemaah haji Malaysia dan pada masa sama TH mengkaji bayaran haji setiap tahun dalam usaha memudahkan urusan penggiliran haji. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending