Terkini
TH boleh ambil khidmat bukan Islam jika bawa maslahah, Tegas Mujahid
- “Asas kepada muamalat adalah diharuskan segalanya sehinggalah ada dalil yang menunjukkan pengharamannya. Panduan umum yang boleh dianggap boleh jatuh hukum haram mengambil bukan Islam dalam khidmat kepakaran mereka ialah apabila nasihat mereka membawa kepada fasad dan menghina simbol Islam dan merosakkan nama Islam. Sebaliknya, selagi membawa maslahah dan mencapai kehendak syarikat Islam itu, maka ianya diharuskan.” – Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
KUALA LUMPUR — Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, menegaskan bahawa tiada masalah hukum bagi Lembaga Tabung Haji (TH) menggunakan khidmat kepakaran bukan Islam dalam usaha penjenamaan semula organisasi tersebut, selagi ia tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Dalam satu kenyataan media, beliau menangkis dakwaan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa yang mempersoalkan keputusan TH mengambil syarikat bukan Islam untuk tujuan penjenamaan semula.
“Asas kepada muamalat adalah diharuskan segalanya sehinggalah ada dalil yang menunjukkan pengharamannya.
“Panduan umum yang boleh dianggap boleh jatuh hukum haram mengambil bukan Islam dalam khidmat kepakaran mereka ialah apabila nasihat mereka membawa kepada fasad dan menghina simbol Islam dan merosakkan nama Islam.
“Sebaliknya, selagi membawa maslahah dan mencapai kehendak syarikat Islam itu, maka ianya diharuskan,” jelas beliau.
Menurut Mujahid, TH sejak ditubuhkan telah melalui pelbagai fasa penjenamaan bagi memastikan ia kekal relevan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah haji, termasuk pengurusan kos, logistik dan kebajikan.
Beliau menambah, keputusan berhubung hala tuju penjenamaan semula tidak ditentukan oleh syarikat luar, sebaliknya ditetapkan oleh Pengerusi, Lembaga Pengarah dan pengurusan TH yang terdiri daripada orang Islam.
Mujahid turut menegaskan bahawa perkhidmatan syarikat bukan Islam hanya dipertimbangkan apabila syarikat milik orang Islam tidak dapat memenuhi keperluan strategik TH.
“Apa yang lebih penting ialah maslahat besar untuk memastikan pendeposit mampu menunaikan ibadah haji,” ujarnya.
Beliau memberi contoh, 53 peratus pendeposit TH hanya mempunyai simpanan sekitar RM1,300, sedangkan kos penuh haji kini melebihi RM30,000. Dengan bantuan subsidi haji, jemaah masih perlu membayar sekurang-kurangnya RM15,000.
“Matlamat penjenamaan semula adalah supaya lebih ramai pendeposit meningkatkan simpanan mereka agar layak menunaikan haji apabila tiba giliran,” katanya.
Mujahid juga menyifatkan kenyataan Pengkalan Chepa sebagai retorik sentimen yang boleh mengelirukan umat Islam dan menjejaskan usaha strategik TH dalam berdepan cabaran kos haji pasca COVID-19.
“Saya menyeru para mufti yang berautoriti dalam hukum muamalat untuk bersuara dan memperjelaskan isu ini, agar perdebatan tidak produktif dapat dihentikan. Retorik hanya membawa umat Islam ke belakang,” tegas beliau. -The Merdeka Times