Connect with us

Terkini

Hasil laporan RCI Tabung Haji akan diputuskan kabinet – Menteri Agama

Hasil laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji akan diputuskan kabinet, demikian jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar ketika ditanya The Merdeka Times berhubung status butiran mesyuarat RCI Tabung Haji yang dilaporkan selesai Julai tahun lalu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Rasyidah Zulkifli

Published

on

Hasil laporan RCI Tabung Haji akan diputuskan kabinet - Menteri Agama
Foto: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar
  • “Yang itu nanti kita akan perbincangkan. Dalam kabinet akan putuskan itu,” kata Menteri Agama, Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
  • Ditanya lagi bilakah tarikh sebenar akan diumumkan mengenai keputusan laporan tersebut, namun Mohd Na’im enggan mengulas lanjut.
  • “Saya tak tahu lagi (dalam masa terdekat atau apa),” katanya ringkas.
  • Status butiran mesyuarat RCI masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini kerana laporan akhir RCI tidak diperolehi lagi seperti disahkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

 

KAJANG – Hasil laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji akan diputuskan kabinet, demikian jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar ketika ditanya The Merdeka Times berhubung status butiran mesyuarat RCI Tabung Haji yang dilaporkan selesai Julai tahun lalu.

“Yang itu nanti kita akan perbincangkan. Dalam kabinet akan putuskan itu,” katanya dalam Sidang Media International Conference on Professional Huffaz (InFAZ) 2023.

Foto: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar dalam Majlis Perasmian InFAZ 2023.

Mohd Naim turut enggan mengulas lanjut saat ditanya tarikh laporan RCI tersebut akan disiarkan kepada umum.

“Saya tak tahu lagi (dalam masa terdekat atau apa),” katanya ringkas.

Untuk rekod, RCI Tabung Haji ditubuhkan susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Julai 2021 dan 8 Oktober 2021 untuk melaksanakan siasatan serta menyediakan laporan bagi dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam tempoh enam bulan selepas penubuhannya.

Bagaimanapun, status butiran mesyuarat RCI masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini kerana laporan akhir RCI tidak diperolehi lagi seperti disahkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi menegaskan itu bukan di bawah bidang kuasanya, sebaliknya ia tertakluk di bawah bidang kuasa bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

Namun, pada 2 Februari tahun lalu, Idris berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan mencampuri siasatan RCI berkaitan masalah berbangkit mengenai Tabung Haji.

Ahli RCI yang juga bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman juga tidak memberikan butiran lanjut berhubung hasil mesyuarat tersebut.

Katanya, pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu itu dan terma serta syarat RCI Tabung Haji juga tidak didedahkan.– The Merdeka Times

Author