Terkini
(VIDEO) Tender penjenamaan semula Tabung Haji didakwa runding terus, Milik bukan Islam
KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary sekali lagi menuntut penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berhubung dua persoalan utama berkaitan projek penjenamaan semula Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurut Ahmad Marzuk, persoalan pertama yang dibangkitkan adalah dakwaan bahawa syarikat yang memperolehi tender projek tersebut dimiliki sepenuhnya oleh individu bukan Islam.
Jelasnya, persoalan utama yang timbul ialah bagaimana projek penjenamaan semula sebuah institusi yang menjadi kebanggaan umat Islam serta membawa imej Islamik boleh diberikan kepada syarikat bukan Islam.
Tegas beliau, sekiranya perkara itu diajukan kepada kelompok muda sekalipun, pasti mereka juga berpendapat tindakan tersebut tidak wajar, kerana projek sebegini seharusnya diberikan kepada syarikat yang mempunyai kepakaran serta kefahaman tentang agama Islam.
“Saya bukan pertikaikan soal urus niaga biasa Tabung Haji dengan mana-mana syarikat Islam atau bukan Islam, ini urus niaga untuk rebranding imej Tabung Haji yang islamik sepatutnya syarikatnya mestilah syarikat orang Islam.
“Ia berbeza dengan perolehan lain atau nak beli perkara seperti kertas, kain ke atau nak tempah kapal terbang untuk urusan haji dan sebagainya, tidak menjadi satu kesalahan untuk kita berurusan dengan orang bukan Islam.
“Tetapi ini berbeza kerana dia soal rebranding, ertinya nak bawa imej baru, nak remajakan, nak tukar kalau sekarang ini di bawah logo TH ‘Al-Falah’ ke arah kejayaan maksudnya nak ditukar kepada ‘Labbaik Allahumma Labbaik’ sebagai contoh yang apabila orang menyebut sedemikian ia bererti dia menyerah sepenuhnya kepada Allah SWT.
“Nak buat semua itu, yang nak rebranding semua itu syarikatnya bukan Islam?” katanya menerusi video dimuat naik di Facebooknya semalam.
Kenyataan itu dilihat dikeluarkan beliau selepas semalam diarah ‘berehat’ selama dua hari daripada persidangan Dewan Rakyat, berikutan kerap mengganggu dan mencelah penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Mohd Na’im.
Ia timbul apabila Ahmad Marzuk tidak berpuas hati dengan penjelasan Menteri Agama berkait syarikat yang dilantik untuk melakukan penjenamaan TH yang didakwa dimiliki sepenuhnya bukan Islam.
Mengulas lanjut, bekas Timbalan Menteri Agama itu menegaskan bahawa dalam hal ini tiada alasan yang munasabah untuk membolehkan pihak berkenaan memberikan tender tersebut kepada orang bukan Islam.
Tambahnya, persoalan kedua yang dibangkitkan ialah berhubung dakwaan projek itu dianugerahkan secara runding terus kepada sebuah syarikat bukan Islam, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tatakelola dan ketelusan perolehan.
“Di luar sana syarikat-syarikat konsultan yang berkaitan dengan public relation terlalu banyak yang dimiliki orang Islam, mengapa tak di offer kepada mereka, bukannya mereka mahu tender secara award atau rundingan terus kalau open tender pun tak apa.
“Saya cabar menteri semalam, dan menteri pun tak sebut bila iklan tender itu dibuat? Apa nombor tendernya? Bila tarikhnya? Tunjukkan bukti kalau dibuat open tender, (bila tak dinyatakan ini) bermakna perkara ini kalau sudah di award kepada syarikat berkenaan barangkali ianya secara rundingan terus.
“Inilah yang saya bangkitkan sedangkan Perdana Menteri selalu sebut soal tatakelola, soal ketelusan soal integrity soal open tender,” ujarnya yang mendesak sekiranya benar tiada ‘open tender’ dibuat, pihak berkenaan perlu mengakuinya.
Justeru, Ahmad Marzuk mencabar Menteri Agama sekiranya beliau ingin menafikan kesemua dakwaan tersebut, maka nyahsulitkan sebarang fail atau perkara berkaitan penganugerahan projek tersebut kepada syarikat yang didakwa dimiliki bukan Islam. — The Merdeka Times