Terkini
DAP minta kerajaan negeri Pahang bela hak pekebun durian Musang King
Parti Tindakan Demokratik (DAP) menggesa kerajaan negeri Pahang untuk membela hak pekebun durian Musang King di Raub berbanding tanah diusahakan mereka dipajakkan kepada kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources-Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (RPDR-PKPP).

- Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berkata walaupun pekebun-pekebun ini tidak memiliki permit, namun mereka memberikan sumbangan besar kepada industri durian Malaysia.
- “Pihak kerajaan tempatan juga mengetahui mengenai kewujudan mereka dan tidak pernah mengambil tindakan,” katanya.
- Pekebun-pekebun menjalankan tindakan semakan kehakiman yang bertujuan untuk menuntut keadilan.
- Pada 23 Disember 2020, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak kebenaran semakan kehakiman difailkan 204 pekebun Musang King Raub.
- Semakan kehakiman itu bertujuan mengenepikan notis pengosongan tanah dikeluarkan kerajaan Pahang pada Ogos 2020.
KUALA LUMPUR – Parti Tindakan Demokratik (DAP) menggesa kerajaan negeri Pahang untuk membela hak pekebun durian Musang King di Raub berbanding tanah diusahakan mereka dipajakkan kepada kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources-Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (RPDR-PKPP).
Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berkata walaupun pekebun-pekebun ini tidak memiliki permit, namun mereka memberikan sumbangan besar kepada industri durian Malaysia.
Yu Hui, yang juga Penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA), berkata pihak kerajaan tempatan juga mengetahui mengenai kewujudan mereka dan tidak pernah mengambil tindakan.
“Perlu diingatkan bahawa pekebun-pekebun tidak pernah membantah untuk membayar cukai tanah kepada kerajaan negeri ataupun bekerjasama dengan kerajaan negeri,” katanya dalam posting Facebook baru-baru ini.
Beliau berkata bantahan mereka adalah berkenaan syarat-syarat skema RPDR-PKPP yang tidak menghargai titik peluh pekebun-pekebun durian.
Antara syaratnya ialah penentuan harga tetap durian yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran.
“Pekebun-pekebun juga dikehendaki untuk menjual kebanyakkan hasil durian kepada korporat swasta tersebut secara mandatori.
“Hal ini berkemungkinan mendorong kepada monopoli pasaran durian oleh korporat tersebut dan menjejaskan seluruh industri durian termasuk kilang-kilang durian yang sedia ada di kawasan Raub dan Pahang,” katanya.
Beliau berkata pekebun menjalankan tindakan semakan kehakiman (judicial review) yang bertujuan menuntut keadilan dan membela hak mereka dari segi undang-undang.
“Saya mengalu-alukan sekiranya pihak kerajaan negeri Pahang sudi menganjurkan dialog awam ataupun program town hall untuk membuka peluang kerjasama yang berbentuk menang-menang (win-win) dengan pekebun-pekebun. Langkah ini penting supaya memajukan industri durian ke suatu kemuncak baru,” katanya.
Pada 23 Disember 2020, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak kebenaran semakan kehakiman difailkan 204 pekebun Musang King Raub bagi mengenepikan notis pengosongan tanah dikeluarkan kerajaan Pahang pada Ogos 2020.
Sebelum ini, dua notis permohonan semakan kehakiman difailkan di mahkamah sama pada 21 Ogos dan 9 Disember 2020.
Semua pekebun itu memfailkan permohonan dengan menamakan enam responden iaitu kerajaan Pahang, RPDR-PKPP, pihak berkuasa negeri, Pentadbir Tanah Daerah Raub dan Pengarah Perhutanan Pahang. – The Merdeka Times
Antarabangsa
Kumpulan hak asasi manusia tuduh Beijing bunuh,dera etnik Uyghur Muslim di kem tahanan Xinjiang
Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.

- Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.
- Kumpulan hak asasi manusia menuduh Beijing melakukan penderaan, termasuk buruh paksa, pengawasan besar-besaran dan menempatkan sejuta atau lebih etnik Uyghur yang kebanyakan Islam dalam rangkaian kem tahanan di Xinjiang.
- Keadaan di Xinjiang ‘sepatutnya memberi amaran kepada dunia mengenai kepimpinan di bawah PKC’.
- Panel Dewan mendengar pengalaman diceritakan seorang wanita Uyghur, Gulbahar Haitiwaji yang berkongsi dia menghadapi penderaan dan pendidikan patriotik yang dipaksa sepanjang berada di dalam kem tersebut.
WASHINGTON: Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.
Kumpulan hak asasi manusia menuduh Beijing melakukan penderaan, termasuk buruh paksa, pengawasan besar-besaran dan menempatkan sejuta atau lebih etnik Uyghur yang kebanyakan Islam dalam rangkaian kem tahanan di Xinjiang.
Ahli Kongres, Mike Gallagher yang juga Pengerusi Republikan Jawatankuasa Pilihan Dewan Perwakilan mengenai Parti Komunis China (PKC), memberitahu pemberita sebelum perbicaraan, keadaan di Xinjiang ‘sepatutnya memberi amaran kepada dunia mengenai kepimpinan di bawah PKC’.
China bersungguh-sungguh menafikan penderaan di Xinjiang dan berkata, ia menubuhkan ‘pusat latihan vokasional’ untuk membendung keganasan, pemisahan dan radikalisme agama.
Perbicaraan itu adalah yang terbaru dalam siri acara yang dirancang untuk dua tahun akan datang, manakala Republikan yang mengawal Dewan Perwakilan untuk meyakinkan rakyat Amerika, bahawa mereka perlu mengambil berat untuk menyaingi China dan untuk ‘memisahkan secara terpilih’ ekonomi negara.
Panel Dewan mendengar pengalaman yang diceritakan seorang wanita Uyghur, Gulbahar Haitiwaji yang bercakap melalui penterjemah, apa yang dikatakannya selama bertahun-tahun di kem di mana dia menghadapi penderaan dan pendidikan patriotik yang dipaksa.
Etnik Uzbekistan, Qelbinur Sidik yang ditugaskan sebagai guru di kem sedemikian melalui penterjemah, turut menggambarkan keadaan seperti penjara yang menurutnya tahanan menghadapi penyeksaan dan soal siasat.
Kedua-dua wanita itu berjaya melakukan perjalanan ke Eropah dan kini mereka menetap di sana.
Keterangan juga didengar daripada peguam terkemuka Amerika Uyghur, Nury Turkel dan penyelidik Jerman, Adrian Zenz, yang berusaha mendokumentasikan tahap kem tahanan di Xinjiang dan Naomi Kikoler dari Muzium Memorial Holocaust AS.
Jurucakap Kedutaan China di Washington, Liu Pengyu, berkata saksi yang dirancang jawatankuasa itu telah ‘mencipta pembohongan berkaitan Xinjiang’ berdasarkan motif politik tersembunyi.
“Kami berharap rakyat Amerika dapat mengenali wajah sebenar pasukan anti-China ini dan tidak terpedaya dengan khabar angin dan pembohongan,” kata Liu sambil menambah, hak asasi manusia semua kumpulan etnik di Xinjiang sudah ‘dilindungi sepenuhnya’.
Kerajaan AS dan parlimen di Britain, Kanada dan negara lain menyifatkan pencegahan kelahiran dan dasar penahanan besar-besaran China di Xinjiang sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu menyatakan China mungkin sudah melakukan jenayah terhadap kemanusiaan di rantau itu.
Jawatankuasa dwipartisan tidak akan menulis undang-undang tetapi akan membuat cadangan dasar, pada garis masa keras terhadap China adalah salah satu daripada beberapa dasar dengan sokongan dwipartisan dalam Kongres AS yang sangat berpecah belah.
Kikoler dari muzium holocaust berkata, kerajaan China menggunakan taktik halus untuk ‘memusnahkan orang Uyghur dengan sengaja’ termasuk pengawasan dan penahanan besar-besaran, penyeksaan, pemindahan kanak-kanak dan mengehadkan kelahiran.
Zenz berkata, walaupun kerajaan China mengatakan pihaknya menutup kem di Xinjiang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun ia adalah pusat ‘pendidikan semula’ keselamatan rendah, selain ada perluasan serentak penjara dengan keselamatan lebih tinggi atau kemudahan buruh paksa.
“Kita boleh mengandaikan ratusan ribu sudah dipindahkan ke kemudahan ini, yang telah diperluaskan secara dramatik,” katanya sambil menyatakan terdapat tanda-tanda tahanan beramai-ramai memuncak pada 2018. – REUTERS
Sumber: Berita Harian
-
Antarabangsa2 days ago
10 hakim berdepan hukuman mati di Arab Saudi
-
Terkini2 days ago
Larangan ke gereja adalah manifestasi disiplin Islam
-
Antarabangsa2 days ago
Kumpulan hak asasi manusia tuduh Beijing bunuh,dera etnik Uyghur Muslim di kem tahanan Xinjiang
-
Antarabangsa2 days ago
Peguam nafi Zakir Naik diusir dari Oman