Terkini
Awesome TV saman Amir Raja Lawak, Mamak Puteh dan Abu Mamu, Bidas MP DAP tidak semak fakta
- Tindakan itu, katanya diambil susulan penyebaran dakwaan tidak berasas oleh Amir Raja Lawak, Mamak Puteh, dan Abu Mamu yang menuduh Awesome TV gagal melunaskan bayaran bagi penglibatan mereka dalam program-program televisyen yang disiarkan di saluran berkenaan.
- Jelas Awesome TV, semua program disiarkan di saluran mereka diterbitkan sepenuhnya syarikat produksi luar dan sebarang urusan kontrak serta pembayaran artis di bawah tanggungjawab penuh pihak produksi berkenaan.
- Lebih mengejutkan, menurut Awesome TV adalah apabila isu itu turut dibawa ke Parlimen oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid tanpa sebarang pemeriksaan dan fakta yang lebih teliti.
- “Sebagai ahli parlimen, beliau sepatutnya berlaku adil menyiasat fakta sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak benar,” tambahnya.
KUALA LUMPUR — Awesome TV hari ini mengesahkan telah memfailkan satu tindakan undang-undang ke atas tiga selebriti tempatan berikutan kenyataan berunsur fitnah yang disebarkan melalui laman media sosial masing-masing.
Tindakan itu, katanya diambil susulan penyebaran dakwaan tidak berasas oleh Amir Raja Lawak atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad (Mamak Puteh), dan Abu Musarrif Abu Bakar (Abu Mamu) yang menuduh Awesome TV gagal melunaskan bayaran bagi penglibatan mereka dalam program-program televisyen yang disiarkan di saluran berkenaan.
Jelas Awesome TV, semua program yang disiarkan di saluran mereka adalah diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat produksi luar (production house) dan sebarang urusan kontrak serta pembayaran artis di bawah tanggungjawab penuh pihak produksi berkenaan.
“Kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh ketiga-tiga individu tersebut telah menjejaskan imej serta reputasi Awesome TV,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Lebih mengejutkan, menurut Awesome TV adalah apabila isu itu turut dibawa ke Parlimen oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid tanpa sebarang pemeriksaan dan fakta yang lebih teliti.
Tindakan Ahli Parlimen daripada DAP itu dikatakan telah mengundang salah faham dan memberi gambaran tidak tepat terhadap pihak mereka.
“Sebagai ahli parlimen, beliau sepatutnya berlaku adil menyiasat fakta sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak benar,” tambahnya.
Justeru, pihak Awesome TV telah mengarahkan firma guaman Shafie & Co untuk memfailkan saman berunsur fitnah terhadap mereka bagi melindungi integriti Awesome TV.
Tegasnya, pihak Awesome TV memandang serius terhadap sebarang tuduhan yang tidak berasas dan usaha untuk mencemarkan nama baik mereka.
“Awesome TV kekal komited untuk menyediakan kandungan berkualiti kepada rakyat Malaysia dan akan terus mempertahankan hak serta reputasi kami melalui saluran undang-undang yang sewajarnya. Kerana rakyat keutamaan kami,” katanya.

Foto: Kenyataan Media Awesome TV.
Terdahulu, pelawak, Amir Raja Lawak, 36 dilaporkan mendesak individu-individu dari stesen TV yang berhutang dengannya melunaskan bayaran sebanyak RM18,000 itu secepat mungkin.
Menurut Amir, dia memerlukan wang untuk kos rawatan serta keperluan bapanya yang menjalani rawatan kanser. — The Merdeka Times