Connect with us

Terkini

Kenyataan Anwar tolak LGBT, sekularisme, komunis kukuhkan perpaduan Malaysia – penganalisis

Kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini, dilihat mampu menyatupadukan rakyat Malaysia.

Rasyidah Zulkifli

Published

on

Kenyataan Anwar tolak LGBT, sekularisme, komunis kukuhkan perpaduan Malaysia - penganalisis
Foto: Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain (Kiri), Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan)
  • Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan jaminan menolak pengiktirafan LGBT, konsep sekularisme dan ideologi komunis dilihat dapat menyatupadukan rakyat Malaysia.
  • Penganalisis politik dari Fakulti Ekologi Manusia UPM, Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, tiada tentangan secara terbuka daripada orang ramai berkaitan itu.
  • “Anwar sendiri mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan saya tak nafikan jugalah kenyataan beliau itu cuba untuk meyakinkan orang Melayu,” katanya.
  • Mohd Izani juga nampak ketegasan Perdana Menteri berhubung isu ini memandangkan Anwar mengetahui risiko yang bakal dihadapi jika ia diiktiraf. 

 

KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini, dilihat mampu menyatupadukan rakyat Malaysia.

Ia berkenaan jaminan Ahli Parlimen Tambun itu bahawa golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender), konsep sekularisme dan ideologi komunis tidak mungkin diiktiraf dalam kerajaan campuran hari ini.

Penganalisis politik dari Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, kenyataan itu bagaimanapun tidak mendapat tentangan secara terbuka daripada orang ramai.

“Tiada maklum balas yang keterlaluan sebab bagi saya dalam sistem demokrasi kita mesti menyantuni dan menghormati hak majoriti. 

“Dalam sistem demokrasi kita kena mendahulukan pandangan majoriti tanpa mendiskriminasikan kumpulan minoriti di negara kita. 

“Apa yang disebutkan Anwar itu satu perkara yang baik akan dapat memperkukuhkan lagi masyarakat kita dan memuaskan hati kumpulan majoriti dalam masyarakat negara kita,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.

Ujarnya, tidak dinafikan pemimpin-pemimpin “agak lembut” dengan kumpulan LGBT semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018, jadi seolah-olah kerajaan mengiktiraf kelompok tersebut. 

“Anwar sendiri mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan saya tak nafikan jugalah kenyataan beliau itu cuba untuk meyakinkan orang Melayu dan orang Islam bahawa beliau tidak akan mengiktiraf kumpulan yang telah disebutkan tadi.

“Pada masa sama juga sebenarnya ingin meyakinkan rakyat Malaysia secara keseluruhan bahawa tiada tempat untuk kumpulan-kumpulan LGBT dan komunis ini sebenarnya walaupun tidak dinafikan mereka memang wujud,” jelasnya. 

Menurutnya, pandangan Anwar sebagai ketua kerajaan dalam soal LGBT dan komunis itu dilihat tegas memandangkan beliau mengetahui risiko yang bakal dihadapi sekiranya mengiktiraf puak-puak ini.

“Saya nampak ketegasan Anwar di situlah walaupun tak dinafikan ada beberapa isu yang beliau agak lunak, kalau dulu dia kata dia enggan bekerjasama dengan pihak yang terlibat dengan korupsi dan sebagainya.  

“Apa yang kita boleh harapkan Perdana Menteri agar konsisten dengan apa yang sudah diucapkan kerana rakyat akan berpegang kepada kenyataan-kenyataan beliau.

“PM sedia maklum kalau beliau mengubah kenyataan terhadap isu-isu yang melibatkan LGBT akan mendapat tentangan dalam kalangan masyarakat Melayu Islam di Malaysia. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending