Terkini
(VIDEO) Rais Yatim dedah ancaman komunis moden dan isu 1.2 juta warga China tidak pulang
KUALA LUMPUR – Bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mengingatkan bahawa ancaman komunisme masih wujud dalam bentuk baharu yang lebih halus, termasuk penguasaan ilmu pengetahuan, ekonomi dan strategi geopolitik oleh kuasa besar dunia.
Dalam temu bual eksklusif program Analisis bersama Finaz Yunus terbitan The Merdeka Times, beliau menegaskan bahawa ancaman komunis tidak lagi hadir dengan senapang di medan tempur, sebaliknya menggunakan pengaruh ilmu, teknologi serta hegemoni ekonomi.
“Komunis sekarang tak pakai senapang di luar, tapi memakai senapang ilmu yang lebih daripada yang lain.
“China sekarang kuasa kedua hebat dalam mencipta pelbagai rasa, senjata dan dominasi di Lautan Selatan. Mereka sudah monopoli laluan laut serta kepulauan, dan tidak akan berhenti di situ,” katanya.
Beliau turut mengaitkan perkembangan ini dengan strategi besar China melalui inisiatif ‘Belt and Road’, yang menurutnya akan memperluaskan pengaruh ke benua lain.
Di Malaysia, katanya, situasi ini perlu diberi perhatian serius kerana komuniti Tionghoa merupakan kumpulan penduduk kedua terbesar selepas Melayu Bumiputera.
“Orang Tionghoa sekarang sekitar 23 hingga 25 peratus, selepas Melayu Bumiputera 67 peratus. Itu lonjakan yang besar. Apa jadi dengan pelawat yang datang beratus ribu saban tahun? Berapa ramai yang pulang?” soalnya.
Rais turut membangkitkan isu kemasukan besar-besaran warga China ke Malaysia yang pernah menjadi kontroversi di Parlimen.
Katanya, terdapat percanggahan kenyataan rasmi berhubung jumlah pelancong China yang tidak dikesan pulang ke negara asal mereka.
“Pada November tahun lalu dilaporkan sekitar 1.2 juta manusia dari Tiongkok datang ke sini tidak dapat dikesan pulang. Ada versi lain mengatakan 750,000 orang tidak pulang.
“Tetapi jawapan bertulis di Parlimen menyatakan sah bahawa 1.2 juta tidak dikesan. Mana yang betul, kenyataan menteri atau jawapan bertulis kepada ahli Parlimen?” tegasnya.
Beliau menambah bahawa isu ini wajar diberi perhatian segera oleh pihak berkuasa kerana ia membabitkan soal keselamatan negara, kedaulatan demografi serta dasar imigresen yang lebih ketat. -The Merdeka Times