Connect with us

Terkini

Kebangkitan Islam di dunia sedang dihalang dengan fitnah, penipuan – Hadi Awang

Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini menyatakan, Islam di seluruh dunia sedang dihalang walaupun sudah memilih pendekatan secara demokrasi.

Wartawan TMT

Published

on

Kebangkitan Islam di dunia sedang dihalang dengan fitnah, penipuan - Hadi Awang
Foto: Tan Sri Abdul Hadi Awang.
  • Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini menyatakan, Islam di seluruh dunia sedang dihalang walaupun sudah memilih pendekatan secara demokrasi.
  • “Bila umat Islam berkuasa memerintah negara dengan adil, wujudkan kerajaan yang bersih daripada segala penyakit rasuah dan salah urus, ia tetap ditolak oleh golongan berkenaan.”
  • “Namun, demokrasi ala-Barat hakikatnya mengharamkan Islam berkuasa semula. Alasan di sini kerana PAS mendapat kerusi paling banyak, walaupun PAS sedia berta’awun (saling membantu) dengan semua kumpulan yang tidak ekstrem.
  • “PAS secara khusus amat merasai kebenaran al-Quran, apabila anak muda yang dianggap mentah itu sudah mencetuskan kemenangan kepada suara Islam, sehingga mereka menolak segala habuan kebendaan serta slogan kuat menipu, yang kononnya menentang rasuah dan salah laku dengan propaganda yang hebat.

KUALA LUMPUR: Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini menyatakan, Islam di seluruh dunia sedang dihalang walaupun sudah memilih pendekatan secara demokrasi.

Beliau berkata, kebangkitan semula umat Islam untuk berkuasa di seluruh dunia sedang dihalang dengan pelbagai fitnah dan penipuan.

Katanya, apabila umat Islam berkuasa memerintah negara dengan adil, mewujudkan kerajaan yang bersih daripada segala penyakit rasuah dan salah urus, ia tetap ditolak oleh golongan berkenaan.

“Islam tetap dihalang di mana sahaja di seluruh dunia, walaupun sudah memilih pendekatan demokrasi yang dikira sinonim dengan Islam.

“Namun, demokrasi ala-Barat hakikatnya mengharamkan Islam berkuasa semula. Alasan di sini kerana PAS mendapat kerusi paling banyak, walaupun PAS sedia berta’awun (saling membantu) dengan semua kumpulan yang tidak ekstrem.

“Maka, terciptalah satu kumpulan ahzab (barisan, parti dan kumpulan) yang berbeza ideologi dan niat yang tidak ikhlas, bersatu untuk menentang Islam yang pernah dihadapi oleh generasi awal dengan penuh keimanan,” katanya menerusi Minda Presiden, hari ini.

Abdul Hadi berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), baru-baru ini, sudah menyaksikan gelombang kebangkitan anak muda Melayu Islam yang memenangkan PN.

Katanya, PAS secara khusus amat merasai kebenaran al-Quran, apabila anak muda yang dianggap mentah itu sudah mencetuskan kemenangan kepada suara Islam, sehingga mereka menolak segala habuan kebendaan serta slogan kuat menipu, yang kononnya menentang rasuah dan salah laku dengan propaganda yang hebat.

“Ketika itu, dipaparkan sokongan profesor dan ilmuwan yang nyata berilmu tetapi kecil akalnya, semata-mata bagi menggoda anak muda.

“Selain itu, turut digunakan segala media sosial yang canggih tanpa sempadan dan banyak ditaburkan janji bohong yang lama tidak ditunaikan lagi dan janji yang baharu tidak tertunai.

“Semua tawaran sedemikian ditolak oleh anak muda yang ditipu ketika PRU-14 lalu, sekali gus menolak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-15. Sehinggakan, pencapaian kerusi mereka (PH) bergantung kepada undi bukan Islam, manakala BN pula bergantung kepada warga tua di saluran satu yang terlebih (awal) makan garamnya,” katanya.

Beliau berkata, perkara yang terpenting adalah anak muda mendapat petunjuk Allah untuk menunaikan kewajipan mengundi yang bukan lagi fardu kifayah, tetapi jihad fardu `ain, kerana Islam dan umatnya diancam.

“Adapun kalangan mereka yang tua pula tidak menunaikan kewajipan yang besar ini kerana merasakan ia tidak penting, disebabkan jahil murakkab (berganda) setelah dikatakan negara ini sudah merdeka lebih setengah abad.

“Adapun penubuhan kerajaan pasca pilihan raya adalah di luar tabii demokrasi yang sebenar bersama penipuan yang nyata dengan mengumpulkan semua kumpulan penipu, penyangak dan oportunis,” katanya.

Sumber: Berita Harian

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending