Connect with us

Agama

Islam benarkan kubur digali semula untuk post mortem babit kes jenayah

Published

on

Foto: Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle
  • Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata walaupun kubur dibenarkan untuk digali semula untuk tujuan tersebut, kemuliaan jenazah itu hendaklah dijaga sepenuhnya.
  • “Namun jika dipercayai jasad mayat telah mereput atau hancur dan post mortem pada ketika itu tidak memberi manfaat maka tidak dibenarkan untuk digali semula. Apa-apa pun semua ini perlukan pengesahan pakar perubatan,” katanya.
  • Dalam hal ini juga, katanya jika terdapat pihak yang cuai sehingga mengabaikan post mortem sedangkan ia adalah elemen penting dalam siasatan jenayah, dia perlu dipertanggungjawabkan dan dihadapkan ke prosiding tatatertib.

KUALA LUMPUR — Islam membenarkan kubur digali semula untuk tujuan post mortem atau bedah siasat bagi kes melibatkan jenayah dengan keizinan pihak berkuasa, kata Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle.

Beliau yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) berkata, walaupun kubur dibenarkan untuk digali semula untuk tujuan tersebut, kemuliaan jenazah itu hendaklah dijaga sepenuhnya.

Ia termasuk tidak boleh menyebarkan aurat tubuh jenazah kepada umum dengan sewenang-wenangnya, tidak menghina atau mencemuh jenazah serta perlu menyegerakan urusan post mortem tersebut dan jenazah tidak dibiarkan terlalu lama di luar.

“Namun jika dipercayai jasad mayat telah mereput atau hancur dan post mortem pada ketika itu tidak memberi manfaat maka tidak dibenarkan untuk digali semula.

“Apa-apa pun semua ini perlukan pengesahan pakar perubatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tambah Muhamad Rozaimi, dalam hal ini juga sekiranya terdapat pihak yang cuai sehingga mengabaikan post mortem sedangkan ia adalah elemen penting dalam siasatan jenayah, dia perlu dipertanggungjawabkan dan dihadapkan ke prosiding tatatertib.

Mengulas lanjut, katanya dalam kitab fiqh menyatakan kubur itu boleh dibongkar atau digali semula disebabkan beberapa perkara.

Antaranya, disebabkan jenazah yang belum dimandikan, sekiranya jasadnya belum berubah lagi; jenazah dikebumikan dalam keadaan tidak menghadap kiblat dan jenazah itu mati dalam keadaan mengandung dan ada kemungkinan besar bayi dalam kandungan jenazah itu masih hidup.

Selain itu, asbab lainnya adalah harta tercicir atau ditanam sekali dalam kubur, maka digali semula untuk mengambil harta itu serta dikhuatiri kubur itu akan digali semula oleh haiwan buas dan lain-lain. — The Merdeka Times

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr Rozaimi Ramle.

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author