Connect with us

Terkini

96.5 peratus sampel air kumbahan pesawat ada virus SARS-CoV-2

Survelan persekitaran Covid-19 menggunakan air kumbahan yang dilaksanakan sejak Jun hingga 31 Disember tahun lepas, merekodkan 96.5 peratus atau 28 daripada 29 sampel dari Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dikesan mempunyai kehadiran virus SARS-CoV-2 dengan varian Omicron. 

Wartawan TMT

Published

on

96.5 peratus sampel air kumbahan pesawat ada virus SARS-CoV-2
Foto: Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
  • Sejak enam bulan lepas, kira-kira 96.5 peratus atau 28 daripada 29 sampel dari PMA  dikesan mempunyai kehadiran virus SARS-CoV-2 dengan varian Omicron. 
  • Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah keputusan itu hasil pengujian Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan manakala satu lagi sampel masih dalam proses pengujian. 
  • Katanya, persampelan air kumbahan dari pesawat diambil sebanyak dua kali seminggu dengan kadar satu liter.
  • Noor Hisham berkata, seiring dengan keadaan semasa, survelan air kumbahan  Pintu Masuk Antarabangsa akan turut melibatkan sampel dari China. 
  • Ini akan membolehkan KKM memantau kemasukan varian SARS-CoV-2 dari China sebagai antara langkah kawalan dalam menghadapi situasi semasa.

KUALA LUMPUR – Survelan persekitaran Covid-19 menggunakan air kumbahan yang dilaksanakan sejak Jun hingga 31 Disember tahun lepas, merekodkan 96.5 peratus atau 28 daripada 29 sampel dari Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dikesan mempunyai kehadiran virus SARS-CoV-2 dengan varian Omicron. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu hasil pengujian Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) manakala satu lagi sampel masih dalam proses pengujian. 

Beliau berkata, bagi tempoh sama, MKAK turut menerima sejumlah 301 sampel dari 15 lokasi sentinel bagi mewakili setiap negeri di negara ini. 

“288 sampel (95.7 peratus) dikesan kehadiran SARS-CoV-2, yang positif Omicron. Tiga tidak dikesan manakala 10 masih dalam proses pengujian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata, Malaysia menjalankan survelan persekitaran Covid-19 menggunakan air kumbahan melibatkan sampel dari PMA dan lokasi sentinel sejak Jun tahun lepas, antara lain bertujuan sebagai survelan sokongan bagi Covid-19 sejajar dengan Fasa Peralihan ke Endemik negara. 

Beliau berkata, survelan tersebut bertujuan sebagai amaran awal melalui pengesanan kehadiran virus SARS-CoV-2 dalam sampel air kumbahan, memberi gambaran trend kepekatan virus SARS-CoV-2 dan mengenal pasti varian SARS-CoV-2 yang terdapat dalam komuniti, serta memantau keberkesanan intervensi kawalan Covid-19 secara amnya. 

“Bagi lokasi sentinel di setiap negeri, sampel air kumbahan diambil dari loji rawatan kumbahan terpilih oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berkenaan. Sebanyak dua atau tiga sampel diambil dari setiap lokasi sentinel setiap bulan, mengikut keperluan. Sampel-sampel ini kemudiannya dihantar ke MKAK bagi proses pengujian. 

“Bagi sampel dari PMA pula, penilaian risiko dijalankan secara berterusan bagi mengenal pasti negara-negara yang berisiko. Hasil penilaian ini, kesemua penerbangan dari negara yang dikenal pasti kemudiannya diteliti dengan lebih lanjut oleh Pejabat Kesihatan (PK) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya. 

Dr Noor Hisham berkata, secara amnya semua air kumbahan kapal terbang akan dibawa keluar dari kapal terbang melalui lori septik pembentung ke kemudahan pelupusan sisa pesawat (AWDF) dan proses ini diselaraskan oleh pihak Pengendali Darat Lapangan Terbang.

Setelah penerbangan yang disasarkan dikenal pasti, proses persampelan air kumbahan dijalankan oleh PK KLIA dengan kerjasama pihak lapangan terbang KLIA sebelum air kumbahan ini dilepaskan ke AWDF. 

Dr Noor Hisham berkata, persampelan air kumbahan dari pesawat dijalankan sebanyak dua kali seminggu. 

“Bagi survelan air kumbahan dari pesawat ini, sebanyak satu liter sampel air kumbahan diambil daripada pesawat terpilih,” katanya. 

Beliau berkata, seiring dengan keadaan semasa, survelan air kumbahan PMA akan turut melibatkan sampel dari China. 

“Langkah itu akan membolehkan KKM memantau kemasukan varian SARS-CoV-2 dari negara tembok besar tersebut sebagai antara langkah kawalan dalam menghadapi situasi semasa, katanya. – Bernama

Sumber: Sinar Harian

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending