Terkini
Herpes tidak perlu dihebahkan kepada umum, boleh undang salah faham – Dr Sakinah Sulong

- Pandangan itu disuarakan susulan isu video seorang pempengaruh yang juga usahawan didakwa mendedahkan dirinya dijangkiti virus herpes dan mengaitkannya dengan suami.
- Dr Sakinah Sulong berkata pendedahan sedemikian boleh mengundang salah faham dalam kalangan masyarakat.
- Herpes Simplex Virus (HSV) ada dua jenis iaitu HSV-1 ia lebih biasa berlaku dan pesakit boleh mengalami lepuh-lepuh pada mulut dan bibir, serta tidak semestinya berlaku melalui hubungan kelamin.
- HSV-2 pula biasanya berlaku dalam bentuk lepuhan pada alat kelamin.
- Virus itu kekal dalam badan individu yang pernah dijangkiti dan lepuh akan berulang apabila sistem imun menurun seperti semasa haid atau stres.
KUALA LUMPUR — Susulan isu video seorang pempengaruh yang juga usahawan didakwa mendedahkan dirinya dijangkiti virus herpes dan mengaitkannya dengan suami, Pakar Perunding Perubatan Keluarga berpandangan jangkitan itu merupakan isu kesihatan yang sepatutnya tidak dihebahkan kepada umum.
Ini kerana menurut Dr Sakinah Sulong pendedahan sedemikian boleh mengundang salah faham dalam kalangan masyarakat.
Jelasnya, Herpes Simplex Virus (HSV) mempunyai dua jenis iaitu HSV-1, yang mana ia lebih biasa berlaku dan pesakit boleh mengalami lepuh-lepuh pada mulut dan bibir, serta tidak semestinya berlaku melalui hubungan kelamin.
Sementara, bagi HSV-2 pula kebiasaannya ia berlaku dalam bentuk lepuhan pada alat kelamin.
“Lepuh-lepuh tersebut biasanya sakit dan apabila ia melibatkan alat kelamin ia boleh menyebabkan jangkitan kuman lain seandainya ia menjadi luka.
“Bagi ibu mengandung, sekiranya lepuh itu berlaku dalam masa enam minggu sebelum bersalin, dibimbangi ia boleh berjangkit kepada bayi menyebabkan ibu dinasihatkan untuk menjalani caesarean section untuk mengelakkan bayi dijangkiti,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang isu seorang pempengaruh wanita yang baru-baru ini dilapor tular selepas mendedahkan dia dijangkiti herpes menerusi video dimuat naik sewaktu berjumpa doktor.
Mengulas lanjut, Dr Sakinah berkata apabila seseorang itu dijangkiti HSV, virus tersebut akan kekal dalam badan dan lepuh berkenaan juga akan berulang apabila sistem imun individu terbabit mengalami penurunan seperti semasa haid atau stres.
“Semasa lepuh berlaku, ubat antiviral secara oral (ubat tablet) diberi untuk mengurangkan tempoh jangkitan dan pesakit juga boleh mengambil krim antiviral untuk mempercepatkan lepuh itu sembuh,” katanya. — The Merdeka Times
